Rabu, 27 Februari 2013

Kenali Manuskrip Melayu

Manuskrip Melayu merupakan lambang kesarjanaan para cendekiawan Melayu dahulu. Kegiatan penulisan dan penghasilan manuskrip dalam pelbagai subjek bagi mewariskan ilmu dan pengetahuan mereka mengenai sesuatu perkara kepada generasi Melayu yang seterusnya.
Antara bidang penulisan manuskrip Melayu yang sering diketengahkan ialah seperti bidang keagamaan yang terdiri daripada ilmu tajwid, fekah, tasawuf, akhlak dan sejarah manakala dalam bidang tradisi Melayu tempatan seperti hikayat, budaya dan perubatan.

                                         MANUSKRIP yang ditulis di atas papan.
 
 
 
 
 

                                         MANUSKRIP yang ditulis di atas daun nipah.

Manuskrip adalah nama yang diberikan kepada naskhah penulisan yang bertulis tangan. Manakala tulisan yang digunakan ialah Jawi.

Tulisan Jawi ialah tulisan yang diadaptasi daripada huruf-huruf Arab sebanyak 30 huruf dan Parsi sebanyak lima huruf bagi membentuk perkataan bahasa Melayu.

Bahan yang digunakan untuk menulis manuskrip Melayu ialah pen, dakwat dan kertas.

Pen yang digunakan oleh para penulis Melayu dahulu diperbuat daripada batang pelepah pokok resam.

Pokok resam ialah sejenis pokok daripada keluarga paku-pakis yang besar dan kebanyakannya tumbuh di kawasan hutan terutamanya di kawasan sejuk seperti di kawasan tanah tinggi.

Pelepah daun pokok resam diambil dan dibersihkan sebelum dipotong mengikut saiz dan mata pen yang diperlukan oleh penulis.

Bagi menghasilkan tulisan Jawi yang kemas, sudut potongan mata pen perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mudah pecah dan boleh digunakan untuk masa yang lama.

Selepas pen, bahan lain yang diperlukan ialah dakwat untuk menulis. Terdapat beberapa bahan digunakan sebagai dakwat seperti yang ditemui oleh para pengkaji manuskrip Melayu. Selalunya dakwat yang digunakan oleh penulis Melayu ialah hitam.

Bahan-bahan untuk menghasilkan dakwat ini terdiri daripada bahan daripada sumber alam semula jadi yang berada dalam dengan kehidupan masyarakat Melayu seperti; jelaga, arang dan dakwat sotong.

Jelaga juga penting dalam penggunaan cap mohor seperti yang diterangkan oleh Annabel Gallop (2012) dalam buku Lasting Impression - Seals from the Islamic World bagaimana salah seorang Undang Johol telah menggunakan lampu minyak tanah dan mengasapi cap mohor beliau bagi menghasilkan jelaga sebelum mengecap dokumen rasmi dalam satu majlis pada 1948.

Satu lagi bahan asas penting yang diperlukan untuk menulis ialah kertas. Dalam penulisan manuskrip Melayu, kertas yang digunakan bukan seperti kertas yang boleh didapati pada hari ini.

Kertas di alam Melayu di panggil deluang yang diperbuat daripada lapisan kulit pokok seperti mulberi yang diketuk sehingga leper selepas lapisan dalam kulit pokok tersebut direndam sehingga lembut.

Kertas ini mempunyai tekstur dan tahan lama. Selain daripada kertas deluang, bahan lain yang digunakan untuk menulis ialah seperti; kayu, daun nipah dan daun lontar.

Permukaan setiap bahan yang digunakan untuk menulis menggunakan dakwat dan pen perlulah licin dan tidak terlalu kesat kerana ia akan mengganggu penulisan dan tulisan yang dihasilkan tidak jelas dan sukar untuk dibaca.

Selain kertas deluang, kertas yang diimport dari negara luar terutamanya dari Barat seperti; Belanda, Perancis dan England. Kertas-kertas import ini kebanyakannya ditanda dengan cap perniagaan tersendiri yang dikenali sebagai tera air.

Kredit: http://tungkaranhati.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...