Tip serta panduan bagaimana membina keluarga bahagia berdasarkan kepada keluarga bahagia Rasulullah SAW.
Membina keluarga Bahagia
Asas pertama membina keluarga bahagia
ialah keimanan serta ketakwaan kepada Allah kerana perkara itu
dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud:
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan
dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang
disediakan untuk orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133)
Hanya mereka yang memiliki keimanan dan
ketakwaan kepada Allah mampu melayari kehidupan berumah tangga yang
bahagia. Malah, perkara itu turut dijelaskan Rasulullah SAW mengenai
cara memilih pasangan.
Apabila kita berkahwin, pastinya kita
ingin bahagia. Hakikatnya, bahagia itu subjektif kerana ada melihat
bahagia dari segi material yang dimiliki tetapi ada juga yang kaya namun
hidup tidak bahagia.
Oleh itu, Rasulullah sudah memberi
panduan jika ingin memilih pasangan, pilih yang beriman dan bertakwa
kepada Allah. Jika kita pilih pasangan yang memiliki ciri-ciri ini, akan
bahagia dunia dan akhirat.
Mawaddah Warahmah Atau kasih sayang
Asas kedua ialah mawaddah warahmah atau
kasih sayang yang juga ditunjukkan Rasulullah SAW melalui dua pendekatan
iaitu dengan kata-kata dan perbuatan yang melambangkan kasih sayang
antara suami isteri.
selain memanggil pasangan dengan
panggilan elok penuh penghormatan, kasih sayang juga perlu ditunjukkan
menerusi kebiasaan memberi hadiah, sentuhan, khidmat serta meluangkan
masa bersama.
Kehidupan Yang Seimbang
Untuk hidup yang seimbang pula, Muslim perlu ada empat unsur yang sentiasa dipelihara dengan bersungguh-sungguh.
Empat unsur itu ialah fizikal yang
merujuk kepada perlunya menjaga makan minum. Emosi membabitkan kasih
sayang diikuti rohani iaitu ibadat kita kepada Allah. Akhirnya, akal
yang makanannya adalah ilmu. Semua unsur ini dapat membantu mencapai
kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Pergaulan Yang Baik
Asas lain ialah pergaulan yang baik,
amanah dan tanggungjawab, rezeki halal, berdoa kepada Allah dan berbuat
baik kepada ibu bapa. Kesemua asas itu jika dipelihara oleh suami dan
isteri akan melahirkan kehidupan bahagia serta membina anak salih.
Pergaulan yang baik antara suami, isteri
dan anak penting kerana suasana yang baik itu secara tidak langsung
akan mendorong setiap ahli keluarga menghargai serta menghormati,
akhirnya mengukuhkan hubungan kasih sayang.
Maksud pergaulan baik ialah berbicara
dengan penuh lemah lembut terhadap pasangan masing-masing dan anak-anak.
Meniru cara Khadijah bergaul dengan Rasulullah SAW.
Ketika Khadijah ingin menghidangkan
makanan kepada Rasulullah, Jibril sudah memberitahu Baginda akan
kedatangan Khadijah yang membawa makanan. Jibril meminta Baginda
menyampaikan salam Jibril dan salam daripada Allah yang sudah membina
istana untuk Khadijah di syurga.
Apabila ditanya kenapa Khadijah mendapat
penghormatan itu, Allah berkenan dengan dua perkara yang dilakukan
Khadijah kepada Rasulullah SAW iaitu:
Tutur katanya yang lembut dan layanan baik diberikan kepada Baginda.
Justeru, bagi isteri atau suami yang
menginginkan ganjaran syurga, maka berkatalah dengan lemah lembut dan
berikan layanan baik kepada pasangan. Inilah yang sepatutnya dilakukan
untuk membina keluarga bahagia.
Sumber Rezeki Yang Halal
Ramai yang tidak memberi perhatian
kepada sumber rezeki kerana beranggapan ia bukan sebahagian daripada
faktor yang membantu keluarga mencapai kebahagiaan sedangkan aspek itu
memainkan peranan penting.
Rasulullah SAW sudah menjelaskan bahawa
makan yang dimakan akan menjadi darah daging. Makanan yang haram
tempatnya di neraka sementara makanan daripada sumber halal serta suci
membolehkan doa dimakbulkan.
Begitu juga berbuat baik kepada ibu bapa
kerana selain menjaga hati kedua-duanya, anak juga bertanggungjawab
untuk berkhidmat kepada ibu bapa termasuk menyelesaikan hutang serta
tuntutan haji mereka.
Oleh: Wan Akashah Wan Abdul Hamid
dan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood. Program Bicara Keluarga Bahagia
anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan dengan kerjasama
Badan Khairat The News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).
Wallahu’alam….hasnulhadiahmad.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan