Prof. Dato' Dr Haron Din, 18 Feb 2013
Setiap kali kita menunaikan solat Jumaat, kita akan sama-sama mendengar
seruan bilal mengingatkan para makmum sebelum khatib berkhutbah dengan
pelbagai ingatan. Antaranya yang kerap dituturkan ialah bacaan firman
Allah Taala yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya
bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi
(Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu
kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang
sepenuhnya." (Surah al-Ahzab : ayat 56) Ayat yang di atas adalah ayat
al-Quran, ayat itulah kebanyakan bilal di masjid seluruh Malaysia
membacakannya. Akan tetapi makna salawat yang sebenarnya dalam tersebut,
berbeza anta satu dengan yang lainnya.
Salawat Allah ke atas Nabi Muhammad, tidak seperti salawat para
Malaikat. Dan salawat para Malaikat ke atas Nabi s.a.w, tidak seperti
salawat umat Muhammad ke atas Nabi mereka. Semuanya berlainan walaupun
istilah asal masing-masing adalah "salawat". Salawat Allah ke atas Nabi
Muhammad bukan dengan kata-kata seperti yang kita menyebut dalam
ungkapan salawat yang terkenal. Salawat Allah ke atasnya bermaksud Allah
Taala sentiasa memberikan kepadanya kebaikan dan kerahmatan daripada
hidupnya hingga wafatnya dan sehingga pada hari-hari Baginda hidup dalam
alam barzakh hinggalah ke hari kiamat. Inilah yang disebutkan dalam
kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk 14, halaman 222 yang bermaksud, "Salawat
daripada Allah adalah turunnya rahmat Allah dan keredaan-Nya kepada Nabi
Muhammad sepanjang masa".
Salawat daripada para Malaikat bermaksud, "Para Malaikat sentiasa berdoa
kepada Allah untuk kebaikan dan keampunan Nabi Muhammad s.a.w.
sepanjang zaman serta meredhainya. Ada pun salawat umat (kita) Muhammad
kepada Baginda Nabi s.a.w adalah dengan menyebut salawat yang terkenal
itu, yang di dalamnya mengandungi doa kepada Allah, agar Allah
menurunkan rahmat dan kesejahteraannya kepada Baginda. Kita juga memohon
agar Allah membesarkan dan memuliakan Nabi Muhammad sepanjang masa".
Daripada tiga perbezaan jelas bahawa istilah salawat itu begitu unik. Ia
boleh dipakai untuk tiga situasi yang berbeza. Pertama Allah. Kedua,
malaikat dan ketiga, umat manusia. Yang penting kita menghayati dan
memahami bahawa Rasulullah s.a.w. itu makhluk istimewa pilihan Allah,
yang Allah sendiri menjanjikan bahawa Allah sentiasa mencurahkan rahmat
kepada Baginda, hari hidupnya, ke alam kuburnya sehinggalah ke hari
akhirat. Malah Para Malaikat seluruhnya sentiasa memohon kepada Allah
Taala agar dilimpahkan rahmat dan keampunan-Nya kepada Rasulullah
s.a.w.. Di hujung ayat tersebut, selepas Allah dan malaikat berselawat
ke atas Nabi Muhammad, maka Allah menyeru kita, orang-orang beriman
supaya mengucapkan selawat dan salam yang makruf. Baginda
Rasulullah s.a.w. bersabda (mafhumnya), "Sesiapa yang bersalawat ke
atasku satu salawat, maka Allah merahmatinya dengan 10 rahmat."
Oleh itu, ulama dalam memperhalusi persoalan selawat ke atas Nabi
Muhammad itu wajib atau sunat, tidak berlaku khilaf (perselisihan)
daripada kalangan ulama, bahawa salawat ke atas Nabi Muhammad adalah
wajib, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dalam hidup seharian,
bersalawat adalah sunat mu'akkad. Sa'id Ibnu Musayyid meriwayatkan
daripada Umar Al Khattab, beliau berkata, "Doa hamba kepada Allah tidak
diangkat apabila tidak disebut selawat ke atas Nabi dalam doa itu.
Apabila disebut salawat, barulah diangkat doa tersebut. Dan sesiapa yang
menulis salawat ke atas Nabi dalam mana-mana penulisan (kitabnya), maka
malaikat-malaikat terus bersalawat ke atas Nabi dan selama penulisannya
itu kekal, maka selama itulah malaikat-malaikat mendoakan rahmat ke
atasnya."
Sumber: http://blog.tarbawi.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan