Berat rasanya untuk aku menulis yang ini. Tapi siapa tahu jika aku yang akan pergi dahulu (Allah saja yang mengetahui). Buat isteriku; oleh kerana kamu telah bergelar ibu, emak, mama, mami, ummi, bonda, atau apa saja panggilan dari anak-anak untuk seorang ibu; ada beberapa pesanan istimewa untukmu. |
1. Tiada harta bertimbun, tiada emas
berkepuk, tiada wang ringgit berkoyan yang dapat kutinggalkan - hanya
teratak usang buat kamu dan anak-anak berteduh selain anak-anak
penyambung zuriat yang akan mendoakan kita InsyaAllah.
2. Usahlah kamu membezakan anak-anakmu hanya kerana pangkat atau harta; hatta tahap pendidikan yang telah mereka capai. Begitu jua dengan cucu-cucu kamu (jika mereka beroleh zuriat insyaAllah)
3. Janganlah di antara anak-anak kita itu ada 'anak emas' yang sukar ditegur; jangan ada 'anak suruhan' yang dianggap hidup bekerja untuk kamu; jangan ada 'anak yang tidak dipercayai' sehingga sanggup memanggil orang lain untuk kamu walaupun anak berada di depan mata.
4. Setelah mereka berkahwin, lepaskanlah mereka bersama tanggungjawab baru mereka; usah anggap mereka masih lagi anak-anak kecil. Mereka juga ada tanggungjawab untuk sebuah keluarga; dan jika itu anak perempuan - fikirkanlah yang mereka juga akan menjadi seorang ibu, emak, mama, mami, ummi, bonda, atau apa saja panggilan dari anak-anak untuk seorang ibu; sama seperti kamu nanti.
5. Hargailah pengorbanan anak-anak serta menantu (jika mereka telah berkahwin) yang sedia menemani kamu bila keseorangan setelah tiadanya aku nanti.
6. Janganlah mengharap keajaiban berlaku di depan mata, sekelip mata bila apa yang kamu hajati dan ingini itu sebenarnya perlukan waktu untuk disedia dan disempurnakan.
7. Sebaiknya usah diperguna kuasa terhebat kepada anak-anak kita. Janganlah sesekali ungkap perkataan 'derhaka' itu hanya kerana sedikit tersinggung. Kita masing-masing berbuat kesilapan.
8. Dan yang paling penting; aku akui amal ibadatku amat kurang serta cetek berbanding kamu. Akan tetapi segala yang kamu lakukan selama ini janganlah dicampur aduk dengan prasangka yang menuju kepada syirik/khurafat. Percayalah kepada Allah Yang Esa; bukan kepada mereka yang menyengutukan Allah (Nauzubillah...)
Aku doakan yang terbaik untukmu, semoga kamu tabah; semoga hatimu berubah bila membaca tulisan ini atau setidak-tidaknya ianya disampaikan ke telingamu oleh mereka.
http://empayarutama.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan