Khamis, 21 Februari 2013

Kompleks K’jaan Jalan Duta Kawasan Wabak Denggi


Denggi 
Kompleks Kerajaan Jalan Duta di sini antara lokasi yang mengalami wabak denggi sejak dua minggu lalu, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman.
 Beliau berkata, kawasan itu dan sebuah lokasi lain iaitu Jalan Tiong Hua di Sibu, Sarawak mempunyai kadar pembiakan aedes yang sangat tinggi iaitu antara 2.3 peratus hingga 37.1 peratus.





“Sebanyak 35 tempat pembiakan aedes ditemui di Kompleks Kerajaan Jalan Duta dengan 29 daripadanya ditemui di sekitar kediaman penduduk manakala sebanyak 11 tempat pembiakan ditemui di kawasan luar rumah di Jalan Tiong Hua.

“Antara bekas yang ditemui mempunyai pembiakan adalah peti sejuk terbiar, kon jalan, lopak air, tong cat dan sampah, polistrine, plastik dan tayar,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Justeru Lokman Hakim menyeru masyarakat di kawasan terbabit supaya membersihkan persekitaran kediaman pada setiap minggu dan memastikan bekas yang boleh menakung air dibuang atau dilupuskan.

Orang ramai turut diminta memastikan tong sampah ditutup rapi bagi mengelakkan objek berkenaan menjadi tempat pembiakan aedes serta menghindari dari lalat, lipas dan haiwan pembawa penyakit yang lain.

Mengulas perkara berkaitan, beliau berkata, sebanyak 408 kes denggi dilaporkan sepanjang minggu lalu dengan dua negeri menunjukkan peningkatan kes iaitu di Pulau Pinang dan Pahang.

Tambah belia, sebanyak lapan kes kematian akibat wabak denggi berlaku setakat tahun ini dan 18 daerah di seluruh negara dikenal pasti mengalami wabak itu.
 – mynewshub.my
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...