ALLAH berfirman bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang
membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak
menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu
ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari
daripadanya.” (An-Nisa: 120-121).
Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri
masing-masing sebenarnya ada kaitan dengan sifat mazmumah yang diamalkan
dalam kehidupan seharian.
Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itu sama ada kita sedar atau
tidak, kita sebenarnya sudah menyediakan ruang kepada syaitan menapak
dalam diri.
pabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan
sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan
nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri. Hati,
suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat dan waktu
itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana
mula merayap menguasai tunjang dalam badan manusia.
Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan itu.
Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10
pintu:
Pertama – melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat ini amat mudah
tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan
manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi
kemewahan.
Kedua – melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan
kemewahan diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan
ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu orang memerlukan
sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.
Ketiga – melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya
bertapak dalam diri manusia yang berasakan dia sudah memiliki
segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan
kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik Allah pada bila-bila masa
saja. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang
yang takbur.” (an-Nahl:23)
Keempat – sifat khianat. Khianat dimaksudkan bukan saja melalui
perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga
mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk
perjanjian, perkongsian dan sebagainya.
Kelima – sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Rasulullah
selalu menasihati sahabat Baginda agar menjauhkan diri masing-masing
daripada menjadi golongan keempat daripada kalangan manusia dibenci
Allah iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau
mendengar nasihat orang lain.
Keenam – melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan
diikuti dengan rasa benci dan dendam berpanjangan. Rasulullah SAW pernah
bersabda bermaksud: “Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia
akan memakan amalan kamu seperti api memakan kayu kering ” (Riwayat
Bukhori dan Muslim).
Ketujuh – melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia
ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu berasakan
dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain
dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia
miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali
orang munafik ialah orang tua Muslim, orang berilmu dan imam yang adil.”
(Riwayat Muslim).
Kelapan – melalui sifat ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang
dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang
bersenang-senang saja.”
(Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)
Kesembilan – melalui sifat suka berangan-angan. Islam adalah
antikemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai
kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia.
Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian tinggi tetapi
amat malas berusaha memperolehnya.
Kesepuluh dan terakhir – melalui sifat buruk sangka. Seseorang suka
menuduh orang lain melakukan kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu
amat dicela Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Nanti akan ada
seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak.
Sesungguhnya orang yang berkata itu sebenarnya sudah rosak dirinya.”
(Riwayat Muslim)
islam itu indah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan