Semasa Ramadan
“Eh
Joyah, kau nak tahu tak? Semalam aku nampak tok imam pergi mengendap
rumah janda tua tu. Entah apa yang di… Eh, Astaghfirullah. Sekarang
bulan puasa lah, bulan puasa tak baik mengumpat. Tak apalah, aku balik
dulu. Dah nak berbuka, nasi pun belum ditanak lagi.”
“Apa adik ni,
janganlah sentuh laptop abang. Habis ‘download’ tazkirah Ramadan abang
terbatal. Terpaksa abang ‘download’ balik. Nasib bulan puasa. Kalau tak,
siaplah…”
“Ish, banyak lagi juzuk yang belum dibaca. Kena ekspres sikit ni. Sekarang dah dalam tempoh sepuluh malam terakhir Ramadan.”
Selepas Ramadan
“Ya
Allah Joyah, kau tahu tak semalam aku nampak siapa dengan janda tua tu?
Haa, tok imam itulah. Nampak macam anak janda tua tu sakit, mulalah tok
imam menggatal nak menolong. Dasar orang tua tak sedar diri..”
“Itulah, siapa suruh sentuh laptop abang. Berapa kali dah abang cakap, tak nak dengar. Padanlah muka kena penampar dua kali..”
“Em,
malas pula rasa mengaji hari ni. Baca satu muka surat sehelai sahaja
cukuplah. Lagipun dah cover baca banyak-banyak waktu Ramadan kan.
Rehatlah pulak..”
Hebatnya POWER of Ramadan
POWER bukan sebarang power, POWER ada makna di sebaliknya.
P stands for Platform
Apabila
tiba sahaja Ramadan, kebiasaannya kata-kata atau ucapan seperti “aku
mahu Ramadan kali ini lebih baik” dan “moga Ramadan kali ini lebih
terisi dengan ibadah berbanding Ramadan sebelumnya” yang kedengaran.
Tiada terdengar ada yang berharap “moga Ramadan pada tahun ini lebih
buruk”.
Kerana apa? Kerana Ramadan salah satu platform untuk menjadikan diri seseorang itu ke arah menjadi yang lebih baik.
A platform to be a better person!
Dan kerana itu saat tiba sahaja Ramadan, kita semua mula mempersiapkan diri bersama senarai what-to-do-in-Ramadan. Pada bulan yang lain ada? Mungkin ada namun jarang dan kurang kesungguhan.
O stands for Opportunity
Opportunity bermaksud
peluang. Ramadan membuka banyak peluang. Peluang menjadi hamba yang
lebih baik dan peluang untuk menambahkan amalan serta meraih segala
fadhilat yang tersedia. Andai sebelum ini bukanlah satu kebiasaan solat
berjemaah di masjid maka pada bulan Ramadan rajin menjejakkan kaki ke
masjid untuk solat terawih. Bukan 8 rakaat malah 20 rakaat. Tambahan,
tiada satu hari yang ketinggalan.
Ramadan juga membuka peluang
untuk mengajak tadarus Al-Quran bersama-sama. Ramadan membuka peluang
meningkatkan lagi status ajakan terhadap kebaikan di Facebook. Ramadan
membuka peluang meraih keampunan Allah dengan Lailatul Qadr.
W stand for Wish
Wish membawa
maksud keinginan atau harapan. Pada bulan Ramadan ini begitu ramai yang
terlihat memasang keinginan dan harapan. Harapan supaya dapat
menghabiskan 30 juzuk Al-Quran dengan jayanya. Harapan supaya mulut
terjaga daripada umpatan dan cacian. Harapan supaya lebih rajin
mendirikan qiamullail.
Seribu satu harapan tertulis di minda.
E stands for Encouragement
Bulan
Ramadan bulan galakan dan dorongan. Terasa ada satu semangat baru dalam
diri terutama pada saat awal kedatangannya. Semangat begitu
berkobar-kobar agar hari-hari yang dilalui dalam bulan ini diisi dengan
pengisian yang bermanfaat. Diri terdorong untuk berazam agar hari-hari
pada bulan ini penuh dengan ibadah yang terancang.
Galakan dan dorongan untuk melakukan pembaharuan dalam diri terutama.
R stands for Reckon
Reckon membawa
maksud menghitung. ‘Self-reckoning’ bermakna muhasabah diri. Menghisab
dan memuhasabahkan diri sendiri. Bulan Ramadan bulan yang sesuai
dirasakan untuk lebih merenung kekhilafan dalam diri. Banyak manakah
amalan selama ini? Bagaimanakah hubungan dengan Allah? Bagaimanakah pula
akhlak terhadap manusia selama ini?
Sejauh mana bisa mengawal
marah? Sejauh mana bisa mendidik hati menjadi seorang yang pemurah
memberi dan berkongsi? Sejauh mana percakapan dihalakan kepada
perkara-perkara yang positif?
Kerana itu ada yang muhasabah pada
bulan Ramadan membawa kepada keputusan untuk istiqamah menutup aurat
dengan sempurna walaupun selepas berlalunya Ramadan. Alhamdulillah.
Hebatnya
Ramadan mendidik peribadi. Hebatnya Ramadan menghembus semangat dalam
diri. Hebatnya Ramadan bisa mengetuk pintu hati insani melakukan
pengislahan atau pembaikan terhadap diri. Benarlah Ramadan itu madrasah
diri, tarbiyah hati.
Bekalan sepanjang tahun
Namun, kita
bukan mahu hanya hebat beribadah pada roh bulan Ramadan yang hebat. Kita
mahu membawa tarbiyah dari bulan Ramadan untuk tetap dijadikan bekalan
pada bulan-bulan mendatang.
Jika pada bulan Ramadan sedayanya belajar untuk tidak mengumpat maka begitu juga yang akan diusahakan selepas Ramadan.
Jika
pada bulan Ramadan sedayanya belajar menggagahkan diri untuk bangun
malam maka begitu juga yang akan diusahakan selepas Ramadan.
Jika
pada bulan Ramadan sedayanya cuba mengkhatamkan Al-Quran maka begitu
juga yang akan diusahakan malah lebih baik lagi bersama tadabbur.
Kita
mahu Ramadan hebat begitu maka pada bulan-bulan selepasnya juga begitu.
Kita bukan mahu roh ibadah pada bulan Ramadan sahaja tetapi kita juga
mahu roh ibadah itu pada bulan-bulan selepasnya. Ibadah, kebaikan,
akhlak bukan hanya pada bulan Ramadan tetapi mesti diusahakan terlaksana
hari-hari jua.
Wahai hamba, bawalah roh Ramadan itu hari-hari. Kerana kita bukan hamba Ramadan tetapi hari-hari kita merupakan hamba Ilahi!
http://www.iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan