Khamis, 4 Julai 2013

Kenali Makanan Tradisi Kaum Kadazandusun di Sabah

Keunikan dan kepelbagaian makanan tradisi yang diperkenalkan oleh masyarakat tempatan Sabah hari ini merupakan salah satu keistimewaan yang terdapat di negeri di bawah bayu ini. Dalam entri ini, saya menyenaraikan beberapa makanan tradisi bagi suku kaum kadazandusun.
Hinava


Hinava merupakan salah satu hidangan tradisional istimewa bagi suku kaum KadazanDusun di Sabah. Ia merupakan hidangan yang dihasilkan daripada isi ikan segar yang dicampurkan dengan biji buah bambangan yang telah diparut, cili merah, halia, bawang merah , limau kapas dan garam. Isi ikan tersebut tidak perlu dimasak kerana ia akan masak dengan menggunakan perahan jus limau samada menggunakan limau nipis ataupun limau kasturi (menyerupai shushi). Terdapat pelbagai jenis ikan yang boleh digunakan, tetapi biasanya isi ikan tenggiri, sungguhpun isi ikan yu juga boleh digunakan. Selain itu isi sotong atau udang juga boleh digunakan bagi penyediaan Hinava ini.
 
 

Noomsom
            ikan (sada)                                tuhau (sejenis ulam)                     bambangan (buah)
Noonsom dikenali sebagai jeruk dalam Bahasa Malaysia. Terdapat beberapa jenis Noonsom dalam masakan Kadazandusun, antara yang paling popular ialah Noonsom Sada (Ikan), Noonsom Tuhau (ulam) dan Noonsom Bambangan (buah).
Noonsom Sada - Ikan yang digunakan ialah jenis ikan air tawar, dibersihkan dan dijeruk menggunakan isi buah Pangi (ditumbuk ), nasi dan garam. Kesemua bahan tersebut akan dicampur dan diisi ke dalam bekas botol/tajau kecil dan biarkan selama sepuluh atau dua belas hari sebelum dihidangkan.
Noonsom Bambangan - Isi Buah Bambangan dihiris dan dicampur dengan biji buah bambangan yang telah diparut dan sedikit garam. Apabila kesemua bahan dicampurkan, isikan ke dalam bekas botol atau tajau kecil dan biarkan selama seminggu sebelum dimakan.
Noonsom Tuhau - Isi Tuhau (sejenis tumbuhan) dihiris halus dan dijeruk dengan cuka, garam dan cili merah. Apabila kesemua bahan telah dicampurkan, isikan ke dalam bekas botol dan biarkan beberapa minit sebelum dihidangkan.

Pinaasakan
Pinaasakan merupakan sejenis hidangan yang dihasilkan dengan menggunakan isi ikan (ikan air tawar/ikan air laut). Ikan akan dibersihkan dan dicampur dengan sedikit biji kunyit dan halia yang telah ditumbuk, sedikit biji asam jawa atau buah asam 'takob-bakob' , garam, serbuk perasa dan sedikit air. Kemudian ia akan dipanaskan sehingga mendidih sehingga air hampir kering.

Bosou
Bosou atau juga dikenali sebagai Tonsom merupakan salah satu merupakan salah satu hidangan sampingan tradisional istimewa bagi suku kaum Kadazan-DusunSabah. Bosou merupakan makanan tradisi yang menyerupai perkasam atau 'jeruk'. Bagi suku kaum Ranau, ia dikenali sebagai 'tinamba'. Bosou biasanya dihasilkan dari ikan Kepayang atau daripada daging mentah hasil perburuan.
Cara Pembuatan:
Bosou disediakan daripada daging atau ikan mentah yang akan digaul bersama-sama dengan nasi putih, garam, dan buah. Ia juga boleh ditambah dengan buah nangka, nenas muda, dan tuhau bagi menambah perisa. Batang pisang atau 'polod' juga kadang-kala dicampurkan kepada bosou ini. Pangi iaitu sejenis bahan pengawet juga boleh ditambah untuk mengelakkannya daripada menjadi basi dan berbau busuk.
Campuran ini kemudiannya akan diperam di dalam bekas dan ditutup rapat selama seminggu atau sehingga betul-betul telah masak sebelum dapat dimakan. Sekiranya nasi yang digunakan baru di masak, campuran itu akan dibiarkan sehingga mencapai suhu bilik sebelum disimpan. Bosou biasanya disimpan dalam bekas tertutup kemas dan kedap udara.
Oleh kerana bosou mempunyai bau yang kuat, biasanya bekas menyimpan bosou dibuat kedap udara. Ini bagi mengelakkan ia menarik dan dicemari lalat dan bagi mengelakkan pertumbuhan fungi. Bekas tradisi bagi menyimpan bosou adalah botol berbentuk labu yang ditutup dengan lilin lebah. Bekas tradisi lain termasuk kakanan (tajau), tetapi kini ia telah digantikan dengan bekas plastik dan botol kaca. Biasanya bosou disimpan selama lima sehingga tujuh hari sebelum dihidangkan.
Bosou boleh dihidangkan begitu sahaja atau dimasak terlebih dahulu. Bosou biasanya dimasak bagi menghilangkan bau dan bagi menambah perisanya. Bawang, cili , dan bahan lain boleh ditambah bagi menambah perisa semasa memasak. Asasnya, masakan kaum dusun ini adalah makanan yang direbus sahaja. Kebanyakan masyarakat Dusun menggemari sayur-sayuran segar sebagai hidangan yang dinikmati bersama nasi putih bersama bosou ini, sama seperti hidangan budu atau tempoyak yang terdapat di semenanjung Malaysia.

Tuhau
           batang tuhau                                       hidangan                                boleh juga dijual
Tuhau adalah sejenis makanan tradisional kaum Kadazan-Dusun yang diperbuat daripada tumbuhan E. coccinea (nama saintifik). Tuhau banyak terdapat di Tambunan, Ranau dan Keningau, Sabah. 
Batang tuhau yang baru diambil akan dihiris atau dihancurkan. Biasanya tuhau akan dicampurkan dengan cili merah dan cuka untuk menambahkan rasanya. Tuhau boleh dihidang sebagai makanan tambahan pada bila-bila masa.

Sup Manuk Lihing (Sup Ayam Lihing)
Sup Manuk Lihing atau lebih dikenali sebagai 'Sup Ayam Lihing' dalam Bahasa Melayu merupakan sejenis hidangan tradisional istimewa bagi suku kaum Kadazan-Dusun, Sabah.
Bahan yang diperlukan ialah seekor ayam kampung , sejenis minuman keras yang lebih dikenali 'Lihing' di kalangan kaum Kadazandusun dan hirisan halia.
Cara menyediakan, rebus daging ayam yang telah dipotong dengan setengah cawan lihing , hirisan halia, garam dan serbuk perasa. Biarkan ia mendidih sehingga daging ayam betul-betul lembut sebelum dihidangkan.
 http://blogsanasini.blogspot.com

1 ulasan:

  1. tulakan.............................saya tau makanan sabah yang sadap-sadap sajatu ada bambangan,tuhau,hinava dan macam-macam lagi tu.........

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...