Jumaat, 9 Ogos 2013

Faktor Risiko dan Gejala Keguguran

Assalamualaikum...
 
 
Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Assunta, Dr Cecelia Wong, keguguran berlaku sebelum 20 minggu kehamilan, iaitu ketika janin belum mampu untuk hidup di luar rahim. 
 
Katanya, keguguran pada awal kehamilan adalah satu perkara biasa. Kajian menunjukkan kira-kira 10 hingga 20 peratus wanita yang tahu mereka mengandung mengalami keguguran sebelum kehamilan mereka masuk minggu ke-20; di mana 80 peratus daripadanya terjadi pada 12 minggu pertama (tiga bulan pertama). 
 
Ada yang bertanya, adakah risiko mengalami keguguran meningkat selepas berumur 35 tahun kerana kadar kesuburan wanita merosot selepas melewati usia ini? Berdasarkan kajian, 12 hingga 15 peratus wanita dalam lingkungan 20-an mengalami keguguran dan kadar ini meningkat kepada 25 peratus apabila mencecah umur 40-an. Peningkatan insiden ketidaknormalan kromosom menyumbang kepada pertambahan risiko keguguran bagi wanita berusia. 
 
Mengapa keguguran berlaku dan kenapa ia hanya membabitkan sesetengah wanita saja yang kadangkala mengalami kehilangan berulang kali? Sebenarnya sampai hari ini, punca keguguran masih belum difahami sepenuhnya dan tiada siapa boleh menjawab dengan tepat mengapa sesetengah wanita mengalaminya berulang kali, kata Dr Cecelia. 
 
Bagaimanapun katanya, kebanyakan keguguran berlaku apabila kehamilan itu tidak berkembang secara normal atau cacat. Jika kecacatan itu terlalu teruk, badan kecacatan bayi yang terlalu teruk akan membuatkan badan secara semula jadi menolak kehadiran bayi berkenaan pada peringkat awal lagi. Inilah kebesaran Tuhan, kerana hanya Dia yang tahu sejauh mana kemampuan mental dan fizikal kita jika dikurniakan anak cacat teruk. 
 
Faktor risiko dan gejala keguguran 
 
Menurut Dr Cecelia, dalam kebanyakan kes, punca keguguran tidak diketahui. Namun, ada beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada keguguran ­dalam tempoh trimester pertama (tiga bulan pertama) ini iaitu: 
 
Ketidaknormalan kromosom pada janin 
 
Ketidaknormalan kromosom akan menyebabkan kecacatan pada janin. Kromosom ialah struktur yang sangat kecil dalam sel, ia membawa banyak maklumat genetik (gen). Gen inilah yang menentukan sifat fizikal seseorang seperti jantina, warna mata dan rambut serta jenis darah. Kebanyakan masalah kromosom berlaku sendiri dan tiada kaitan dengan keadaan kesihatan ibu atau ayah. 
 
Lebih 50 peratus keguguran trimester pertama disebabkan masalah kromosom pada janin. Lazimnya, ketidaknormalan kromosom ini berpunca daripada sel telur atau sperma kurang baik yang mempunyai terlalu banyak atau sedikit kromosom. 
 
Akibatnya, embrio yang terhasil ­daripada persenyawaan telur dengan sperma akan mempunyai jumlah kromosom yang salah dan biasanya berakhir dengan keguguran. Ketidaknormalan kromosom ini meningkat dengan pertambahan usia. Ini bermakna wanita yang mengandung pada usia yang agak lanjut juga mempunyai risiko lebih tinggi mengalami keguguran. 
 
Ovum rosak 
 
Ia adalah kantung kehamilan yang tidak mengandungi janin. Keadaan ini juga dipanggil kehamilan anembrionik. Ia berlaku apabila embrio tidak terhasil atau pembentukannya terhenti pada peringkat awal. Pada awalnya, telur atau ovum yang tersenyawa akan melekat pada dinding rahim, tetapi embrio tidak terbentuk. Sel-sel akan membentuk kantung kehamilan, bukannya embrio. 
 
Ia juga boleh disebabkan oleh ketidaknormalan kromosom. Pada awal kehamilan, seseorang wanita mungkin mendapati gejala kehamilannya terhenti dan boleh mengalami pendarahan berwarna coklat gelap. Ujian imbasan ultrabunyi akan menunjukkan kantung kehamilan yang kosong. Keadaan ini akan berakhir dengan keguguran walaupun ia mungkin berlaku selepas beberapa minggu. 
 
Keadaan kesihatan ibu 
 
Keadaan kesihatan si ibu ketika mengandung sama ada mengalami kencing manis yang tidak terkawal, masalah hormon, jangkitan, penyakit tiroid, lupus (SLE) dan penyakit autoimun yang lain juga boleh meningkatkan risiko keguguran pada trimester pertama. Jika anda segera mendapatkan rawatan, ia mungkin boleh menyelamatkan kandungan anda. 
 
Apakah faktor risiko yang ­boleh menyebabkan keguguran? 
 
Umur - Kata Dr Cecelia, wanita berusia lebih berisiko mengalami keguguran berbanding wanita lebih muda. 
 
Pernah mengalami keguguran - Risiko untuk satu-satu kehamilan mengalami keguguran meningkat jika kehamilan terdahulu juga terhenti separuh jalan. Contohnya selepas satu keguguran, risiko berlaku keguguran seterusnya ialah 20 peratus; 28 peratus selepas dua kali gugur dan risiko ini melonjak kepada 43 peratus jika pernah tiga kali atau lebih mengalami keguguran. 
 
Merokok - Walaupun ada wanita yang berani meneruskan tabiat merokok ketika hamil, ketahuilah bahawa tindakan mementingkan diri ini boleh menyebabkan risiko keguguran khususnya jika anda menghisap 10 batang rokok sehari. 
 
Pengambilan alkohol - Jika anda mengambil minuman beralkohol, berhentilah apabila merancang untuk hamil. Sehingga kini tidak diketahui had pengambilan alkohol yang selamat ketika hamil. Ada kajian menunjukkan risiko keguguran meningkat jika wanita hamil minum lebih daripada tiga gelas minuman beralkohol seminggu dalam tempoh tiga bulan pertama ini. 
 
Penyalahgunaan dadah - Penyalahgunaan dadah ketika hamil juga boleh meningkatkan risiko keguguran. 
 
Demam - Jika anda berasa tidak sihat ketika hamil, segeralah dapatkan bantuan doktor. Ini kerana demam dengan suhu badan melebihi 37.8 darjah Celsius atau lebih juga boleh membahayakan kehamilan. 
 
Kafein - Kajian mendapati keguguran lebih kerap berlaku pada wanita yang banyak mengambil makanan dan minuman mengandungi kafein khususnya jika jumlahnya melebihi 300 miligram sehari. Walaupun kandungan kafein bergantung kepada kaedah membuat, jenama dan jumlah yang diminum, secara umumnya satu cawan kopi mengandungi lebih kurang 135 miligram kafein. Wanita hamil disaran supaya tidak mengambil lebih 200 miligram kafein sehari. Ini bermakna anda hanya boleh minum satu cawan kopi saja sehari. 
 
Gejala keguguran 
 
Biasanya gejala keguguran yang sering dipaparkan dalam drama ialah pendarahan. Ya, benar. Adakalanya pendarahan ini ditemani rasa sakit perut seperti senggugut ketika haid atau kesakitan yang lebih teruk. Ini semua adalah tanda keguguran akan berlaku. 
 
Bagaimanapun, ia bukan satu kemestian kerana pendarahan dan rasa tidak selesa pada perut (abdomen) biasa dialami kebanyakan wanita hamil. Dalam kebanyakan kes, pendarahan ini akan berhenti sendiri tanpa memberi kesan pada kehamilan. 
 
“Namun, jangan pandang ringan perkara ini. Sekiranya anda mengalami pendarahan, segeralah hubungi doktor anda walaupun pendarahan yang dialami sedikit saja. Doktor boleh menjalankan pemeriksaan dalaman untuk melihat sama ada serviks (saluran peranakan) terbuka yang menandakan keguguran mungkin berlaku. Selain itu, doktor juga akan menjalankan ujian ultrabunyi dan darah,” katanya. 
 
Rawatan
 
“Doktor biasanya tidak melakukan sebarang ujian selepas keguguran pertama yang berlaku dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan. Ini kerana punca keguguran itu biasanya tidak diketahui, walaupun ia mungkin ada kaitan dengan ketidaknormalan kromosom. 
 
“Tetapi jika keguguran itu berlaku dalam trimester kedua (tiga hingga enam bulan kehamilan) atau wanita berkenaan sudah mengalami beberapa kali keguguran sebelum itu, maka doktor akan menyarankan beberapa ujian untuk mengetahui puncanya,” terang Dr Cecelia. 
 
Antara ujian berkenaan termasuk: 
 
  • Ujian darah untuk mengesan ketidaknormalan kromosom pada ibu dan ayah (dipanggil kariotip), masalah hormon tertentu dan gangguan sistem imun pada ibu.
  • Ujian untuk mengesan ketidaknormalan kromosom pada tisu keguguran (jika ada).
  • Ujian ultrabunyi pada rahim.
  • Histerokopi (melihat ke dalam rahim menggunakan alat khas yang dimasukkan melalui saluran peranakan)
  • Histerosalpingongrafi (ujian sinar-X ke atas rahim).
  • Biopsi endometrium (di mana sedikit tisu diambil dari dinding rahim untuk memeriksa kesan hormon).
Kedengarannya seperti sangat sukar dan banyak, tetapi tidak perlu risau kerana ia penting untuk rekod kesihatan.
happyhealthylifeshop.blogspot

1 ulasan:

  1. Usia, Pemakanan dan Corak kehidupan, keadaan kesihatan...antara faktor utama penyebab keguguran...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...