PUTRAJAYA: Pelakon Diana Amir sah bergelar isteri kepada Mohd
Habibbullah A Rahman, seorang petugas di Universiti Teknologi Mara
(UiTM), Merbok, Kedah dengan sekali lafaz.
Majlis pernikahan telah berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini kira-kira pukul 9.30 malam, Jumaat.
Akad nikah telah disempurnakan oleh Imam Besar masjid berkenaan iaitu Hazaruddin Baharuddin.
Pengantin perempuan diwalikan oleh bapanya sendiri, iaitu Amir Hashim Mohd Kassim.
Pada majlis itu Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 27,
turut menerima mas kahwin sebanyak RM1,000, senaskhah Al-Quran dan
cincin.
Kedua-dua belah pihak tidak menyediakan sebarang hantaran pada majlis tersebut.
Pasangan tersebut sebelum ini telah mengikat tali pertunangan pada
September tahun lalu dalam satu majlis tertutup di rumah keluarga
pelakon berkenaan.
Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 orang
jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga rapat pengantin, rakan
artis dan wakil media.
Turut kelihatan adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Metrowealth
International Group (MIG), David Teo dan beberapa rakan artis seperti
Irma Hasmie, Heliza, Adam Corrie, Anita Baharom dan Yatt Hamzah.
Satu majlis doa selamat, khatam Al-Quran dan berinai telah
berlangsung secara tertutup di Wisma Metrowealth pada Khamis lalu yang
dihadiri ahli keluarga terdekat dan sahabat andai.
Dalam pada itu, Diana yang anggun dengan busana rekaan pereka fesyen
Ezuwan Ismail berkata, dia bersyukur dan lega kerana majlis berkenaan
berjalan lancar seperti dirancang.
"Alhamdulillah majlis berlangsung seperti dirancang dalam suasana
cukup sederhana dan seperti pasangan lain kami berharap perkahwinan ini
akan dilimpahi berkat dan akan berkekalan sehingga ke akhir hayat,"
katanya.
Diana dan suaminya belum menetapkan lokasi bulan madu mereka ekoran kesibukan jadual kerja masing-masing.
mstar dan oh bulan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan