ALLAH berfirman yang bermaksud : “Sesungguhnya solat itu ialah satu
ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman, yang tertentu
waktunya.” (Surah al-Nisa’, ayat 103)
Semua amal ibadat manusia disukai dan diterima oleh Allah. Ibadat adalah
jambatan menghubungkan manusia dengan Penciptanya. Hasil pelaksanaan
ibadat dapat meningkatkan darjat ketakwaan ke hadrat Allah di samping
menggilap kualiti jiwa kemanusiaannya.
Semakin baik dan ikhlas ibadat seseorang Muslim, maka semakin dekat
hatinya kepada Allah dan semakin baik hubungannya sesama manusia.
Petikan al-Quran : Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya
solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Dan
sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan
kesannya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu
kerjakan. – Surah al-Ankabut, Ayat 45
Untuk berhubung secara terus dengan Allah tidak memerlukan sebarang alat
komunikasi canggih, memadailah seorang Muslim bermunajat pada bila-bila
masa dan di mana juga melalui ibadat solat. Solat itu tiang agama dan
kemuncak nilai atau etika kehidupan Muslim.
Rasulullah menganjurkan umatnya melaksanakan ibadat solat tepat pada
waktunya. Baginda SAW pernah ditanya oleh Ibnu Mas’ud: “Apakah amalan
yang paling afdal? Jawab Baginda: Menunaikan solat tepat ada waktunya.
Kemudian Ibnu Mas’ud bertanya lagi: Selepas itu, apa pula? Jawab
Baginda: Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Akhirnya Rasulullah
ditanya lagi: Kemudian, apa lagi? Ujar Baginda: Berjihad pada jalan
Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)
Antara hikmah solat ialah mendidik umat hidup dengan budaya ‘tepat pada
waktunya’ sekali gus menggambarkan pentingnya masa dalam kehidupan
seorang Muslim. Di samping itu, ibadat solat juga melatih umat hidup
secara tertib dan berperaturan. Fungsi solat juga sebagai penawar
ketenangan hati di samping membersihkan jiwa dan raga daripada sebarang
kekotoran.
Rasulullah SAW menegaskan bahawa solat adalah penyejuk mata hati
Baginda. Kesan yang paling besar terhasil daripada pelaksanaan ibadat
solat dengan penuh khusyuk dan ikhlas, ia berupaya menghalang seseorang
Muslim daripada keinginan melakukan kemungkaran, baik tindakan mahupun
perkataan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat (dengan tekun),
sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan
mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya
dan kesannya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu
kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)
Firman ini secara jelas menegaskan solat penawar atau jalan penyelesaian
ampuh untuk mencegah amalan tidak bermoral dan jenayah yang membarah
dalam kehidupan manusia sejagat. Dalam erti kata lain, ibadat solat
tonggak mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan hidup umat Islam.
Sesaat seorang hamba Allah berdiri tegak menunaikan ibadat solat, dia
tidak boleh menoleh ke kanan mahupun kiri melainkan meluruskan pandangan
wajahnya ke arah tempat sujud. Mereka juga terikat dengan ikrar dibaca
dalam solat, inilah solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanya
untuk-Mu ya Allah Tuhan sekalian alam. Ibadat solat jika dilaksanakan
dengan sempurna dan ikhlas akan memantulkan ketenangan hati, keimanan
mapan dan ketrampilan akhlak yang terpuji.
http://luvislam92.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan