ISU peningkatan pesakit mental di Malaysia yang dilaporkan di dalam media massa baru-baru ini sewajarnya membuka mata kita semua. Satu daripada 100 orang rakyat di negara ini dikatakan menghidap penyakit mental termasuklah skizofrenia.
Walaupun laporan ini mungkin tidak memberikan gambaran yang jelas, terdapat data lain menunjukkan bahawa lebih tiga juta rakyat Malaysia dikatakan sedang menghidap masalah mental.
Kita selalu beranggapan bahawa seseorang yang menghidap penyakit mental ialah seorang manusia gila bahkan berkemungkinan besar tidak mempunyai peluang untuk dirawat. Hakikatnya, penyakit mental merupakan sebahagian penyakit yang boleh dirawat seperti penyakit fizikal yang lain.
Kebanyakan orang awam mempunyai tanggapan bahawa penyakit mental ini kerana ‘diganggu’ oleh makhluk-makhluk halus malah tanggapan ini dapat memburukkan lagi keadaan yang sedia ada. Terdapat juga sesetengah ibu bapa yang gemar mendapatkan nasihat bomoh apabila anak atau ahli keluarga berkelakuan pelik.
Kita percaya bahawa nasihat bomoh merupakan satu-satunya jalan yang boleh menyembuhkan pesakit pelik ini.
Selain itu, kita juga percaya bahawa pesakit akan ditempatkan di dalam wad mental sekiranya dihantar ke hospital untuk rawatan, malah hal itu menyebabkan mereka digelar sebagai orang gila, satu istilah yang sangat memalukan.
Walhal pada hakikatnya, manusia adalah sama. Ada yang menghidap penyakit fizikal dan ada pula yang tidak bernasib baik untuk menghidap pelbagai penyakit mental.
Adakalanya, ia disebabkan oleh faktor biologi atau faktor persekitaran. Ada sesetengah individu, mewarisi genetik tertentu daripada ibu bapa mereka.
Ada pula yang pada awalnya mengalami tekanan emosi tetapi kerana tidak dirawat dengan betul, ia kemudiannya menular menjadi penyakit mental yang teruk.
Ciri-ciri
Umumnya, simptom penyakit mental ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama. Pada peringkat permulaan, ia akan dimulai dengan kemurungan, perasaan was-was terhadap sesuatu perkara, berasa diri bersalah, berfikir hal yang tidak rasional dan sebagainya.
Apabila ia bertambah teruk, seseorang akan mula mengalami satu lagi peringkat termasuk berhalusinasi atau dalam bahasa yang mudah, seseorang berupaya untuk mendengar suara-suara halus yang menyuruh pesakit melakukan sesuatu. Dalam istilah psikologi, ia dinamakan sebagai false beliefs of persecution.
Dalam keadaan yang teruk, pesakit ini boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain termasuklah melakukan pembunuhan. Terdapat banyak kes yang telah dilaporkan di seluruh negara termasuk bapa menyembelih anaknya sendiri.
Pada waktu-waktu tertentu, pesakit ini kembali normal dan menjalani kehidupan seperti biasa. Jika terdapat ahli keluarga yang disyaki menghidap penyakit mental atau tingkah lakunya berubah mendadak, rujuklah kepada pakar.
Misalnya, jika dahulu Ali seorang yang periang tetapi tiba-tiba berubah menjadi seorang yang pendiam atau pemarah, berkemungkinan besar Ali mempunyai tanda-tanda menghidap penyakit mental.
Personaliti manusia pada umumnya dianggap sebagai sesuatu yang tekal dan tidak mudah berubah secara mendadak. Sekiranya berlaku sebarang perubahan pada diri pesakit maka ada sesuatu yang tidak kena.
Bukan mudah untuk menerangkan kepada pesakit bahawa kesihatan mental mereka terjejas. Hampir kebanyakan pesakit berada dalam ‘dunia’ mereka sendiri.
Mereka percaya bahawa apa yang mereka fikirkan adalah benar dan pendapat orang lain adalah salah. Sebab itu, tidak mudah untuk meyakinkan golongan ini bahawa mereka sebenarnya sedang mengalami masalah mental.
Hal ini menyebabkan mereka perlu didampingi oleh orang-orang yang rapat seperti ahli keluarga dan teman rapat untuk meyakinkan bahawa mereka memerlukan rawatan untuk pulih.
Lebih membimbangkan lagi, gejala penyakit mental ini ada kalanya sudah mula ditunjukkan ketika seseorang masih di peringkat kanak-kanak dan remaja lagi namun tidak mencapai tahap yang serius seperti di peringkat dewasa.
Menyeksa haiwan
Misalnya, anak-anak ketika semua rakannya sibuk bermain, dia pula bermain dalam dunianya sendiri. Kanak-kanak ini mungkin bermain dengan cara yang aneh seperti menyeksa dan mencederakan binatang. Kanak-kanak ini mungkin membawa simptom sadisme iaitu salah satu personaliti yang berisiko untuk membawa gejala kecelaruan mental.
Jika pembaca mempunyai kesempatan, bacalah kisah Ben Mohammed Ezzedine Sabai, seorang pendatang Tunisia di Itali yang membunuh lebih 15 wanita, kesemuanya berusia 70 tahun ke atas. Kebanyakan mangsanya ditikam di bahagian kiri leher.
Mengapakah dia melakukan sedemikian? Kesemuanya berpunca daripada penyakit mental. Perkara ini berkemungkinan besar tidak akan berlaku sekiranya dia dirawat dengan lebih awal.
Penyakit mental boleh dirawat seperti penyakit-penyakit yang lain asalkan kita mencarinya di jalan yang dan bertemu dengan orang yang betul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan