Sabtu, 18 Oktober 2014

Info - Tahap Tahap Mendidik Anak

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

4 Tahap Mendidik Anak. Panduan ini sebenarnya aku dapat daripada guru besar taska anak aku melalui ucapan beliau ketika hari sukan taska. Dah lama juga aku nak kongsikan cuma belum sampai masa.

Dalam kita berusaha sedaya upaya membentuk pemikiran anak-anak sebenarnya penting juga untuk kita tahu beberapa perkara berkenaan tahap mendidik anak-anak menurut yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Sememangnya apa yang dianjurkan itu merupakan pendedahan yang terbaik buat kita sebagai ibu bapa untuk sentiasa memastikan anak-anak sentiasa mengikut acuan yang sempurna menurut Islam.

  4 Tahap Mendidik Anak

Tahap PertamaUmur antara 0 sehingga 6 tahun. Kita disuruh untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak tanpa batasan. Tidak kira samada anak sulung atau bongsu, perlu berlaku adil dalam kasih sayang yang diberikan. Ketika ini juga kita tidak boleh merotan mereka walaupun atas dasar untuk mengajar. Ini penting dalam mendekatkan anak-anak dengan kita dan mereka akan merasa aman setiap masa.

Tahap Kedua – Umur antara 7 sehingga 14 tahun. Ketika ini kita disuruh untuk menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-anak. Perkara yang terpenting sekali untuk kita ajar ialah solat. Ini merupakan masa yang terbaik untuk memprogramkan sahsiah anak dan membentuk peribadi yang baik. Dalam hadis ada juga menyatakan bahawa kita perlu memerintahkan mereka solat ketika berumur 7 tahun dan dibolehkan kita memukul (sekadar menggerunkan mereka sahaja dan bukan menyeksa) sekiranya meninggalkan solat ketika berumur 10 tahun.

Tahap Ketiga – Umur antara 15 sehingga 21 tahun. Ini dikatakan suatu fasa dimana mereka dikenali sebagai remaja dan fasa yang penuh dengan sikap memberontak. Ketika ini pula, kita perlu berkawan dengan mereka. Bagaimana? Gunakan kaedah berborak dan berbincang terutama ketika mereka menghadapi konflik. Sebaiknya anak laki-laki didekati oleh ayah manakala anak perempuan pula didekati oleh ibu. Jadilah pendengar setia kepada mereka, jangan cepat memarahi atau mengherdik mereka. Gunakan pendekatan terbaik supaya mereka tidak menggunakan orang lain seperti kawan (orang luar) sebagai tempat berbincang kerana dikhuatiri mereka akan terpengaruh ke arah yang lebih teruk.

Tahap Keempat – Umur antara 22 ke atas. Fasa ini ialah fasa dimana ibu bapa perlu memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak untuk membuat keputusan sendiri. Cuma perlu memantau segala tindakan mereka sahaja disamping nasihat-nasihat yang membantu memperingati mereka. Berdoa lah semoga mereka kekal sebagai seorang Muslim sejati. Teruskan memberi motivasi dan nasihat kepada mereka.

  4 Tahap Mendidik Anak
Papa minat MU, anak mesti follow juga.
Semoga kita semua mampu menjadi pemimpin keluarga yang baik yang mampu menjadi contoh kepada anak-anak. Walaupun segalanya seolah-olah ujikaji dalam kehidupan kerana kita tidak dapat meramal apa yang bakal berlaku, bersangka baiklah.

Perkara yang baik itu amat disukai Allah jua. Sekian.
 http://mohd-ridzwan.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...