Khamis, 16 Oktober 2014

Pulangan Maaf Luar Biasa

Memaafkan kali pertama itu biasa, kali kedua bagi kesalahan yang sama itu istimewa namun jika berkali-kali memaafkan atas kesalahan yang sama itu sangat-sangat luar biasa.

Manusia atau makhluk yang manakah boleh menjadi sesuci dan sesabar itu? Anak yang kita sayangi dan bela dengan penuh perhatian tiba-tiba tidak mahu mendengar kata pasti yang akan menimbulkan kemarahan dan juga kesedihan.

Pekerja yang digaji bagi membuat kerja tertentu sesekali tidak bersetuju malah membangkang serta tidak melaksanakan tugasan dengan baik pasti menimbulkan kemarahan majikannya.

Jika perkara tersebut berlanjutan meskipun berkali-kali maaf diminta, mungkin sahaja si polan itu diberhentikan kerja. Kerana ia kesalahan yang sama dan berulang-ulang.




Keampunan abadi

Di sinilah jika kita renungi dengan mata hati dan akal bagaimana Allah dengan rahmat dan rahim tetap sahaja mengampunkan sesiapa sahaja yang pernah berdosa kepada Nya.

Meski dosa tersebut adalah dosa yang sama dan berulang-ulang kali dilakukan oleh seseorang hamba Nya. Maha luas keampunan Allah tiada tolak banding jika dihayati sebagaimana yang digambarkan dalam al-Quran dan Sunah itu sendiri.

Daripada Anas bin Malik r.a. Katanya, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. Bersabda - Allah SWT berfirman: ‘Wahai anak Adam, sesungguhnya apabila kamu berdoa kepada Ku dan mengharap daripada Ku, Aku ampunkan dosa-dosamu dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Jika dosa-dosamu mencapai awan di langit kemudian kamu mohon keampunan daripada Ku, Aku ampunkan dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya jika kamu datang kepada Ku dengan dosa-dosa yang memenuhi bumi kemudian engkau datang berjumpa dengan Ku tanpa menyekutukan Ku dengan sesuatu, maka Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi’.” [HR. al-Tirmizi]

Subhanallah, ada tiga fokus dalam firman Allah berkenaan keampunan Nya bersama hadis Qudsi di atas iaitu:

1. Jika seseorang itu berdoa dan mengharap kepada Nya.
2. Jika dosa seseorang itu setinggi langit namun keampunan tetap diminta kepada Nya maka diampunkan.
3. Jika dosa seseorang itu memenuhi bumi namun dirinya pergi berjumpa dengan Allah tanpa menyekutukan Nya dengan sesuatu yang lain maka Allah datang kepadanya dengan keampunan seluruh bumi.

Subhanallah. Begitu besar sekali doa dan memohon keampunan kepada Allah. Tidak sama dengan agama lain yang mewajibkan pengantara seperti rahib-rahib dan ‘ustaz-ustaz’ mereka sebagai wakil Tuhan, ironinya proses itu memerlukan mereka diupah dengan upah yang agak tinggi.

Meski 70 kali sehari

Ajaibnya istighfar dan doa yang melengkapkan kebesaran rahmat dan rahim Allah jallawaala dapat dilihat dengan jelas dalam hadis-hadis ini. Tidak logik bagi manusia biasa memaafkan kesalahan yang berulang-ulang apatah lagi kesalahan yang sama.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seseorang itu tidak dianggap melakukan dosa secara berterusan jika dia memohon ampun  (istaghfara) meskipun dirinya mengulangi (dosa itu) sebanyak 70 kali sehari.” [HR. Abu Dawud dan al-Tirmizi]

Maha luas keampunan Tuhan kita semua, Allah... tidak terjangkau dengan akal manusiawi kita sendiri. Malah dalam sebuah hadis lagi, juga menceritakan bagaimana Allah mengampuni dosa yang berulang kali oleh seorang hamba Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa kemudian dia berkata: ‘Ya Tuhanku, aku telah melakukan dosa maka ampunilah aku’.

Allah berfirman: ‘Hamba Ku mengetahui dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dan menghapuskan dosanya, Aku ampuni hamba Ku’.
Kemudian dia tinggal dalam masa yang dikehendaki oleh Allah dan melakukan dosa lagi lalu mengucapkan sebagaimana yang diucapkan... maka Allah (mengampunkannya sebagaimana) kali pertama untuk kemudiannya.” [HR. al-Bukhari dan Muslim]

Oleh: Zahiruddin Zabidi
(Editor Kanan Karya Bestari)
mingguan wanita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...