Pakaian adalah
sebahagian nikmat Allah yang tertentu bagi manusia. Pakaian adalah satu
keperluan penting bagi manusia. Secara lahirnya, pakaian melindungi
manusia, tetapi secara batinnya adalah lambang kemuliaan insan.
Memelihara dan melindungi diri daripada panas, sejuk, cahaya matahari
dan hujan adalah tujuan asas berpakaian. Hal ini seperti firman Allah
bermaksud :
“Dan Allah menjadikan
bagi kamu sebahagian daripada yang diciptakan-Nya, benda untuk berteduh
dan Dia menjadikan bagi kamu sebahagian daripada gunung-ganang sebagai
tempat berlindung, dan Dia juga menjadikan bagi kamu pakaian yang
memelihara kamu daripada panas dan sejuk, juga pakaian yang memelihara
kamu ketika berjuang. Demikianlah Dia menyempurnakan nikmat-Nya kepada
kamu, supaya kamu berserah diri kepada-Nya dan mematuhi perintah-Nya.” (Surah An-Nahl ayat 81)
Aspek pemakaian adalah
perkara penting dalam membentuk keperibadian seseorang. Hari ini, umat
Islam diperlihatkan dengan pelbagai bentuk fesyen pakaian yang
menampakkan sebahagian tubuh.
Oleh itu, kedatangan nur
Islam sebagai agama suci yang sifatnya sebagai penjamin keselamatan dan
kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat menggariskan beberapa adab
berpakaian. Ia bagi memelihara kesucian diri dan membentuk peribadi
Muslim sejati.
Antara adab itu ialah :-
- Disunatkan dimulakan
dengan membaca Bismillah apabila hendak memakai pakaian. Hal ini kerana
memang disunatkan membaca Bismillah dalam setiap pekerjaan.
- Berniat untuk
menjunjung perintah Allah iaitu menutup aurat, bukan dengan tujuan
bermegah dengan pakaian itu. Ia juga bukan maksud untuk menunjuk-nunjuk
kepada orang lain.
Firman Allah bermaksud:
“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu (bahan
untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan, dan pakaian
yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah
daripada tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya)
supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Surah al-A'raaf, ayat 26)
- Berdoa ketika
mengenakan pakaian. Hal ini seperti sabda Rasulullah saw yang
diriwayatkan Ibnu Sunni bermaksud: “Daripada Said Al-Khudri bahawas Nabi
apabila memakai baju, baju luar atau serban, Baginda berdoa: Ya Allah,
aku memohon kepada-Mu daripada kebaikannya dan kebaikan yang ada
padanya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan
keburukan yang ada padanya.“
Di samping itu,
Rasulullah berdoa ketika memakai pakaian baru berdasarkan hadis yang
diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Ibn Umar, katanya: “Aku mendengar
Rasulullah bersabda: Sesiapa yang memakai pakaian baru hendaklah dia
berdoa: “Segala puji bagi Allah yang memakaikan aku dengan pakaian yang
boleh menutup auratku, dan ia membuat aku indah dalam hidupku”.
“Baginda kemudian
mengambil pakaian lama dan menyedekahkannya. Nescaya ia berada dalam
pemeliharaan Allah dan di jalan Allah ketika hidup dan selepas mati.”
- Memakai pakaian biasa dan sederhana, tidak terlalu mahal dan tidak terlalu murah.
- Memastikan pakaian itu
sentiasa bersih supaya sah dipakai untuk beribadah kerana orang beriman
hendaklah sentiasa bersih badan dan pakaiannya. Firman Allah bermaksud:
“Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (Surah Muddasir, ayat 4)
- Menjauhi pakaian ketat
dan jarang (nipis) bagi lelaki dan wanita dan berusaha mendapatkan
pakaian yang dapat menutup tubuh dan selesa ketika memakainya.
- Menghindari berhias-hias dan tidak mendedahkan aurat yang wajib ditutup.
Ada beberapa hadis yang
memperkatakan aspek pemakaian yang digariskan oleh Rasulullah sebagai
prinsip asas pemakaian sopan bagi umat Islam.
Antara hadis itu adalah
lelaki tidak boleh memakai pakaian yang menyerupai wanita dan
sebaliknya. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abi
Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: “Allah mengutuk lelaki
yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.”
Hadis lain menyebutkan
bahawa haram bagi kaum lelaki memakai pakaian yang dibuat daripada
sutera. Diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Abu Musa bahawa Rasulullah
bersabda bermaksud: “Haram pakaian sutera dan emas atas kaum lelaki
dari kalangan umatku, dan dihalalkan bagi kaum wanita mereka."
Disebutkan juga pakaian
yang baik adalah yang mempunyai lengan baju sampai ke pergelangan
tangan. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Abu Daud
daripada Asma' Biniti Yazid, katanya: “Lengan baju Rasulullah hingga ke
pergelangan tangan.”
Syarak turut
mendefinisikan bahawa aurat adalah sesuatu yang wajib disembunyikan dan
haram dilihat. Menurut pendapat jumhur ulama, disyaratkan menutup aurat
sekiranya terdaya, sekalipun ketika bersendirian dalam gelap.
Menurut pendapat Imam
Hanafi, wajib menutup aurat ketika berada di khalayak ramai, begitu juga
ketika berseorangan. Sabda Rasulullah bermaksud: “Wahai Asma',
perempuan apabila meningkat umur haid (umur baligh), tidak boleh dilihat
padanya kecuali ini dan ini.” (Baginda pun menunjukkan muka dan
kedua-dua tapak tangannya)
Menurut ijmak ulama, wajib menutup aurat dalam semua keadaan sama ada waktu sembahyang atau tidak.
Secara keseluruhannya
empat mazhab utama dalam fiqh Islam iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie
dan Hanbali menetapkan bahawa aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan
lutut.
Bagi wanita keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan berdasarkan nas yang kuat daripada al-Quran dan sunnah.
Ada banyak nas yang
menyatakan kewajipan menutup aurat antara hadis riwayat Bahzu Bin Hakim
daripada datuknya yang bermaksud : “Aku berkata, wahai Rasulullah, aurat
apakah boleh kita dedahkannya dan apakah ditegah? Sabda Baginda:
“Peliharalah aurat kamu melainkan daripada isteri dan hamba milikmu.
Kataku, sekiranya ramai orang?”
Sabda Baginda: “Jika terdaya mengelak daripada dilihat oleh sesiapa pun, maka jangan dibiarkan dilihat.”
Kataku: “Jika salah seorang daripada kami berseorangan? Baginda bersabda: “Maka Allah lebih utama untuk malu kepadanya.”
Menutup aurat bagi
lelaki tidak wajib dari pandangan sendiri, tetapi makruh melihat
auratnya, apatah lagi bagi pandangan orang lain.
Aurat bagi wanita ketika
di luar sembahyang dan hadapan orang lelaki bukan mahramnya adalah
seluruh badannya. Ketika di hadapan wanita bukan Islam juga wajib
ditutup seluruh tubuhnya kecuali anggota yang terpaksa dibuka untuk
keperluan pekerjaan dan menunaikan hajat.
Ini berdasarkan hadis
yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri bermaksud: “Orang lelaki tidak
boleh memandang memandang aurat lelaki lain dan orang perempuan tidak
boleh memandang aurat perempuan lain, dan orang lelaki tidak boleh tidur
bersama lelaki lain dalam satu pakaian dan orang perempuan tidak boleh
tidur bersama perempuan lain dalam satu pakaian.”
*Sumber dari al-munir.edu.my/artikel.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan