Ia berlaku kepada kanak-kanak yang demam dengan suhu badan mencecah 38 darjah celsius (100.4 darjah Farenheit).

Lumrahnya sawan demam tidak menyebabkan kerosakan otak mahupun menggugat tahap intelektual kanak-kanak.

Kanak-kanak yang mengalami sawan demam tidak diberi diagnos epilepsi. Epilepsi bermaksud kejadian sawan sekerap dua episod atau lebih tanpa demam.




Sawan demam berlaku apabila kanak-kanak demam yang secara amnya akibat jangkitan virus atau bakteria (selain radang pada otak dan saraf di mana sawan merupakan salah satu petanda klinikal).

Terdapat dua jenis sawan demam iaitu ringkas (simple) atau kompleks. Sawan demam yang berlaku ringkas merupakan majoriti kes yang berlaku pada kanak-kanak melibatkan seluruh anggota badan. Ia juga berlaku sekali dalam episod demam dan tidak berulang.

Sawan kompleks pula jarang-jarang berlaku. Apabila berlaku ia mengambil tempoh lebih 15 minit yang adakalanya hanya satu anggota badan kaki atau tangan yang terlibat. Sawan ini berlaku lebih dari sekali dalam episod demam dan juga boleh berulang kali.

Selaku penjaga, ibu bapa perlu peka kepada perubahan suhu badan kanak-kanak supaya ubat demamdapat diberi mengikut dos dan tempoh masa yang sesuai.

Pada kebanyakan masa, sawan banyak berlaku serentak dengan demam. Penting bagi ibu bapa supaya tidak panik apabila berdepan dengan situasi tersebut.

Beberapa langkah boleh diamalkan oleh ibu bapa apabila anak mereka diserang sawan supaya mereka tidak mencederakan diri sendiri.