Rabu, 11 Mac 2015

Sejarah Kongsi Gelap Melayu

KEMUNCULAN kongsi gelap Melayu yang paling awal di Tanah Melayu dikesan di Pulau Pinang pada pertengahan abad ke-19.
Tinjauan awal tentang kewujudan dan kegiatan kongsi gelap yang dinamakan Bendera Merah dan Bendera Putih telah dibuat oleh pegawai-pegawai British yang pernah berkhidmat di negeri itu.
Malah, kumpulan berkenaan dirumuskan oleh British hanya sebagai persatuan kampung yang ditubuhkan oleh ketua-ketua kampung yang berpengaruh bagi tujuan memulau musuh, mencari bantuan guaman bagi membantu ahli-ahli yang menghadapi masalah dengan pihak polis dan sebagainya.
Istilah kongsi gelap dalam situasi sejarah sosiol bangsa Malaysia lazimnya sinonim dengan masyarakat Cina yang dibawa masuk sebagai tenaga buruh oleh penjajah British.
 
 
 
Perihal kongsi gelap Cina di Malaya (ketika itu) sehingga selepas kemerdekaan lebih diketahui kerana ia menjadi bahan pemerhatian atau penyelidikan oleh residen-residen British yang ditugaskan di sini.
Penulisan mengenai kongsi gelap Cina di negara-negara selat atau secara ringkasnya Malaya boleh disifatkan meluas kerana British cenderung membuat perbandingan kes dengan jajahan takluk mereka lain di Hong Kong, Macau dan Singapura terutamanya, ketika itu.

Keadaan ini berbeza dengan kongsi gelap Melayu, entiti ini tidak banyak diketahui atau menjadi bahan tulisan dalam buku. Ini berkait rapat dengan apa yang dirumuskan oleh Mahani Musa dalam buku ini, bahawa British tidak berminat mencampuri hal ehwal orang Melayu.
British mencari jalan mudah dengan menyerahkan hal ehwal orang Melayu atau pribumi kepada raja-raja Melayu, sejajar dengan dasar pecah dan perintah British yang merangkumi adat istiadat dan hal-hal berkaitan agama Islam.
“ Alasan lain terhadap kekurangan minat ini ialah tanggapan biasa bahawa kegiatan tersebut lebih sinonim dengan masyarakat Cina atau dalam perkataan lain, kongsi gelap bukanlah budaya orang Melayu.
EKSTREM
“ Dengan tanggapan sebegini tidak wujud satu desakan di kalangan pelajar dan pengkaji sejarah untuk meninjau aspek ini walhal pada hakikatnya gejala berkomplot sulit bukanlah asing dalam kehidupan sosiopolitik orang Melayu sejak zaman-berzaman.
“ Budaya berkomplot sulit ini bukan sahaja kelihatan di kalangan kaum lelaki malah juga kaum wanita. Sejarah Melayu, misalnya, memperihalkan beberapa kisah penglibatan wanita golongan kerabat dalam intrik politik di istana terutamanya berhubung pemilihan bakal sultan.
Lantaran itu, perihal kongsi gelap dalam sosiobudaya orang Melayu tidak langsung disentuh waima dalam buku sejarah di peringkat sekolah menengah di negara ini.
Seingat pengulas, paling dekat perkaitan orang Melayu dengan kongsi gelap hanyalah sebagai sahabat pakatan kongsi gelap Cina dalam Perang Larut atau perang antara pemilik lombong di Perak.
Itu pun, gengster Melayu tidak disebut sebagai anggota kongsi gelap, sekadar orang-orang raja tertentu yang memihak kepada kongsi Ghee Hin atau Hai San.
Faktor ini menjadikan kajian Mahani Musa ini, merupakan pembuka mata mengenai asal usul dan perkembangan kongsi gelap Melayu di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu antara tahun 1821 dan 1941.
Mengapa hanya di negeri utara dan bukan seluruh Semenanjung ?
Jawapannya mudah, aktiviti ekonomi dan fokus British ketika itu, sememangnya di wilayah utara dengan Pulau Pinang dan Perak menjadi pintu masuk kepada generasi awal buruh import dari India dan China yang turut membawa elemen kongsi gelap masing-masing. Manakala Kedah dijajah oleh Siam yang diwakili Raja Ligor, seorang Siam berketurunan Cina dan menggunakan elemen kongsi gelap Cina dalam sistem pemerintahannya dan menangani penentangan nasionalis Melayu.
Mahani, pensyarah sejarah di Universiti Sains Malaysia mendedahkan kepada beberapa pertubuhan yang memiliki beberapa sifat tersembunyi daripada yang diisytiharkan kepada British, selaku kerajaan ketika itu.
Paling ekstrem ialah kumpulan Bendera Merah dan Bendera Putih di Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
Menurut Mahani, kongsi gelap Melayu bermula sebagai persatuan kebajikan dan keagamaan, tetapi kemudian ada persatuan yang mengubah bentuk kegiatan mereka menjadi kegiatan berbau jenayah.
Profil ini sama dengan sejarah-sejarah awal kemunculan pertubuhan jenayah di lain-lain tempat di muka bumi ini seperti mafia di Sicily (untuk membela nasib penduduk tempatan daripada penindasan penjajah) dan triad di China (sebagai gerakan bawah tanah untuk menumpaskan maharaja yang dibenci).
Mujurlah entiti bendera-bendera dalam masyarakat Melayu berjaya dilupuskan dan tidak membentuk sebagai suatu igauan buruk kepada rakyat Malaysia hari ini seperti yang mencengkam Itali akibat kesuburan aktiviti mafia. Sisa-sisa aktiviti gengster Melayu Bendera Merah dan Putih di Pulau Pinang tidak mungkin Bukit Bendera.
Mahani menyorot kegiatan dua kelompok yang bertentangan ini dalam setiap acara persembahan boria, perayaan Muharam dan kegiatan kelab-kelab bola sepak.
Sebagai sebuah kajian ilmiah, Mahani mengetengahkan kajiannya daripada manuskrip silam, catatan pegawai British atau Syarikat Hindia Timur British dan juga kajian kontemporari daripada Prof. Khoo Kay Kim dan Zainal Jusoh dari Universiti Malaya.
Kajian Mahani terhadap topik yang sangat kurang ditemui dalam media popular ini adalah begitu menyegarkan dalam usaha mengkaji perihal sikap dan kecenderungan orang Melayu di zaman penjajahan sehinggalah ke hari ini.
Sumber : Kongsi Gelap Melayu Di Negeri-Negeri Utara Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu 1821-1940-an. Oleh : Mahani Musa
 scriptersnews.blogspot.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...