Khamis, 2 Julai 2015

Menarik.. Kisah Mona Fandey Didedahkan Pegawai Penjara


PASTI anda tertanya-tanya siapakah gerangannya pemilik nama Maznah Ismail, tetapi bila disebut nama Mona Fandey pasti ramai tahu sejarah wanita tersebut.

Tidak asing namanya daripada mendapat liputan media, wajah Mona sering kali dirakam dan menjadi tajuk utama berita sejak 1993 sehinggalah dirinya dihukum gantung sampai mati pada November 2001.

Untuk menyelami sisi lain mengenai wanita yang ‘digeruni’ seluruh masyarakat Malaysia ini, portal berita Malaysian Digest telah mendapatkan keterangan daripada pegawai penjara yang ditugaskan memantau Mona pada saat-saat akhir hidupnya di Penjara Kajang.



Temu ramah eksklusif itu telah dilakukan dengan pegawai penjara, Sarjan Azizah yang mana beliau telah mendedahkan kebaikan yang dimiliki serta menepis kisah-kisah mistik yang sering dikaitkan dengan Mona Fandey.

Sarjan Azizah yang kini berusia 53 tahun masih mengingati kisah manisnya bersama Mona sepanjang 30 tahun kariernya sebagai pegawai penjara.

“Saya sedang bercuti ketika Mona dimasukkan ke Penjara Kajang, tapi saya telah diberitahu terlebih dahulu bahawa Mona akan diletakkan di bawah lokap yang dipantau saya. Ketika itu kes dia sedang hangat diperkatakan.

“Saya memang takut nak berhadapan dengan dia malah saya sempat berpesan kepada seorang ustaz untuk menyediakan air bacaan Yassin untuk saya.

“Sel Mona merupakan sel paling hadapan sekali dalam barisan sel yang perlu saya pantau, bermakna dia merupakan banduan pertama yang perlu saya lalui.

“Ketika hari pertama saya kembali bertugas selepas bercuti, saya dengar satu suara memberi salam sebaik saya melangkah masuk ke sel.

“Saya tahu itu suara Mona tetapi saya sengaja tidak mengendahkan sapaannya itu. Keesokan harinya dia memberi salam lagi kepada saya tetapi saya masih tidak menghiraukannya.

“Hanya pada hari keempat, barulah saya beri respon terhadapnya. Mona kemudiannya memberitahu dalam banyak-banyak pegawai penjara dia paling suka dengan saya. Saya tanyalah dia, kenapa? Dan dia menjawab itu adalah kerana menerusi kata hatinya sendiri.

“Tidak terlintas di fikiran saya hanya dengan sapaan Assalamualaikum daripada Mona, akhirnya saya mula berkawan dengannya,” kata Azizah.

Azizah berkongsi cerita yang Mona sering berkongsi cerita mengenai anak-anaknya, bekas suami, suaminya selain gemar berkongsi resipi masakan.

Azizah turut mendedahkan dia merupakan satu-satunya pegawai penjara yang berani bertentang mata secara terus dengan Mona memandangkan ramai tidak berani berbuat demikian kerana takut dengan ‘sihir’ Mona yang hangat diperkatakan pada ketika itu.

“Saya panggil dia Aunty sementara dia panggil saya Cik Jah. Percaya atau tidak, tapi benar Mona merupakan seorang yang taat dengan agama apabila dia langsung tidak meninggalkan solat wajib lima kali sehari.

“Bukan itu sahaja, arwah juga tidak lupa melakukan amalan-amalan sunat seperti solat Wirid, mengaji Al-Quran pada setiap hari, itu yang membuatkan saya kagum dengan arwah.

“Saya juga pernah menyuruh arwah baca bacaan Wirid dengan kuat takut-takut dia tersalah baca ke dan saya selalu dengar dia sering menyebut Subhanallah (Maha Suci Allah).

“Arwah merupakan seorang wanita yang peramah, bercakap dalam nada lembut dan tidak pernah sekali pun bercakap buruk mengenai orang lain. Banyak staf penjara gemar bercakap buruk mengenainya, tapi arwah sentiasa positif dan bersabar dan tidak pernah sekali pun mengeluh mengenainya.

“Mona gemar berkongsi resipi dengan saya. Dia pernah berkata dia gemar memasukkan daun pandan dalam setiap masakannya kerana ia akan menambahkan bau wangi dalam masakan. Apa yang saya nampak dalam diri Mona ialah dia merupakan seorang wanita yang penyayang dan ikhlas,” tambah Azizah.

Azizah berkata dia turut mengumpul keratan akhbar yang memaparkan kisah ‘mistik’ mendakwa Mona boleh terapung dalam selnya, membaca surah Al-Fatihah dalam bacaan terbalik serta boleh menghaibkan diri dari sel penjara ke Jalan Chow Kit.


Untuk mendapatkan kepastian, Azizah pernah bertanya sendiri kepada Mona mengenai hal itu kepadanya.
“Saya bertanya kepadanya adakah dia boleh terapung seperti mana dilaporkan pihak media. Kemudian dia menjawab, “awak gila ke, saya tak boleh langsung terapung.

mona
“Saya juga menyuruhnya membaca Al-Fatihah dalam bacaan terbalik tapi dia membalas, “macam mana saya boleh baca Al-Fatihah dalam bacaan terbalik, sedangkan nak baca Bismillah dalam bacaan terbalik pun saya tak boleh”.

“Yang paling menarik sekali dia cakap “Kenapa saya nak pergi ke Chow Kit jika betul saya boleh ghaibkan diri, lebih baik saya balik rumah dan tidak duduk dalam sel penjara”.

“Kata-katanya memang benar, siapa yang nak ghaib dari penjara dan pergi ke Chow Kit kan?” kata Azizah lagi.

Isteri Yang Setia

Azizah turut mengakui ada cerita lain di sebalik kes pembunuhan ngeri yang tidak diketahui oleh sebilangan besar rakyat Malaysia.

Azizah mengakui Mona sering memberitahu dan meyakinkannya perkara sebenar yang berlaku ketika hari pembunuhan itu berlaku.

Pembunuhan yang menggemparkan negara itu berlaku pada Julai 1993 di mana seorang ADUN Pahang, Datuk Mazlan Idris telah dibunuh dengan kejam hanya untuk mendapatkan tangkal bagi mengukuhkan kedudukannya dalam bidang politik.

Mangsa telah dipancung, badannya dikerat dan sebahagian kulitnya disiat. Mayatnya ditemui dipotong kepada 18 bahagian dan ditanam di sekitar rumah Mona di Raub.

Pada mulanya Azizah pun tak nak percaya bulat-bulat dengan kata-kata Mona tetapi memandangkan kenyataan polis dan kenyataan yang diberikan Mona di mahkamah adalah sama dan tidak bertukar membuat Azizah lama-kelamaan mempercayai kisah yang diceritakan Mona.

Mona bukanlah suspek utama dalam kes terbabit sebaliknya dia merupakan suspek ketiga (OKT3) sementara suaminya, Affandi merupakan suspek utama dan pembantu suaminya, Juraimi merupakan suspek kedua.

Pada hari kejadian Mona dikatakan hanya ditugaskan untuk memetik bunga untuk mandian bunga yang bakal dilakukan terhadap mangsa.

Azizah kalau boleh mahu menceritakan kisah selanjutnya yang membawa kepada pembunuhan tersebut namun dia mengambil keputusan untuk tidak berkongsi cerita itu untuk menghormati keluarga-keluarga suspek.

“Sepanjang perbicaraan, Mona meminta hanya saya untuk menemaninya, bukan pegawai yang lain.

“Disebabkan permintaannya itu, tangan kiri saya sentiasa digari dengan tangan kanan Mona ke mana saja dia pergi sepanjang perbicaraan.

“Mona mengaku tidak bersalah di atas pertuduhannya dan mahkamah telah membebaskannya.

“Sebaik itu, dia pun merayu agar suaminya turut diberikan pembebasan dan jika Affandi tidak dibebaskan, Mona rela mengikut dan menerima hukuman sama yang bakal diterima oleh suaminya.

“Peguam Mona ada juga menasihatinya agar menerima pembebasannya tetapi dia menolak kerana itu merupakan keputusannya sendiri.

“Dia memilih untuk setia bersama suaminya. Saya saksikan sendiri bagaimana Mona merupakan seorang yang sangat mencintai Affandi. Secara jujurnya, sepanjang dia di bawah jagaan saya, memang tidak ada benda-benda tak baik mengenai dirinya.

“Saya masih ingat lagi satu cerita yang mana individu yang ditugaskan memandikan jenazah Mona mengatakan dia tidak menjumpai sebarang cela di tubuh arwah dan ianya dalam keadaan sempurna. Jenazahnya dalam keadaan bersih dan mudah diuruskan,” kata Azizah lagi.

Azizah turut mengimbau kembali fakta menarik yang mana bekas suami Mona, seorang anggota polis tidak pernah ketinggalan hadir pada setiap perbicaraan kes Mona.

mona1
Dari situ Azizah menegur bekas suami Mona dan bekas suaminya menyatakan satu kenyataan yang tidak akan dilupakan Azizah sampai bila-bila, “Mona tak sanggup nak bunuh semut, inikan pula nak bunuh manusia?”

Anak-anak Mona turut hadir sepanjang perbicaraan kes berlangsung demi memberi sokongan moral buatnya dan anak-anak mengatakan mereka tahu luar dalam peribadi Mona yang sebenar yang merupakan ibu terbaik buat mereka.

Mereka setia menemani ibu mereka sehingga akhir hayatnya dan terpaksa menelan segala kata-kata negatif yang dilemparkan terhadap ibu mereka selama ini.

Seorang isteri yang mengorbankan kebebasannya demi cinta yang sangat mendalam terhadap suami, itulah yang dibuat Mona yang sanggup sehidup semati dengan Affandi.

Masa Untuk Ubah Persepsi

“Saya pelik macam mana orang yang tak pernah berjumpa dengan Mona dalam penjara, tak pernah menjaganya boleh kata macam-macam perkara buruk mengenainya?

“Macam mana orang luar boleh tahu banyak kisah mengenainya sedangkan sayalah yang sentiasa menemaninya berborak ketika dia berada dalam sel?

“Satu perkara yang menyedihkan saya adalah sehari sebelum hukuman ke atasnya dilaksanakan. Saya nampak dia dibawa dari tingkat atas ke tingkat bawah. Dia nampak begitu ceria dan tersenyum lebar.

“Saya tanya dia “nak ke mana Aunty?” dan dengan selamba dia membalas, “saya nak pergi shopping” yang mana sebenarnya dia sedang menuju ke sel berdekatan untuk berjumpa Affandi. Dia tetap tersenyum walaupun dengan tangan bergari dan matanya tak lepas memandang saya sehinggalah dia sampai ke penghujung bangunan.

“Saya terlupa hari itu merupakan hari Khamis dan hari Jumaat esoknya, banduan Muslim akan dihukum gantung selepas solat Subuh. Seorang rakan setugas memaklumkan Mona akan digantung pada keesokan hari.

“Saya terduduk dan menangis tak berhenti. Itu merupakan kali terakhir saya berjumpa Mona dan sehingga ke hari ini, saya masih ingat lagi senyuman terakhir yang dilemparkannya kepada saya.

“Kalaulah saya tahu dia bakal digantung, hanya satu perkara yang saya nak lakukan pada dia iaitu saya nak sangat peluk dia. Saya tahu Mona Fandey. Saya sangat merindui dia,” kata Azizah dalam keadaan berlinangan air mata.

Azizah turut mengakui Mona tidak seperti banduan-banduan lain, yang mana keikhlasannya dapat dirasai selain Mona seorang yang suka mengusik dan itu merupakan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan Azizah mengenai diri Mona.

Sehingga ke hari ini Azizah masih teringat memori lamanya dengan Mona walaupun wanita itu ‘ditakuti’ seluruh rakyat Malaysia kerana kes pembunuhan ngeri yang tidak akan dapat dilupakan oleh sesiapa pun.
Walaupun Mona sudah meninggal dunia dan pergi menghadap Ilahi, namun di hati Azizah biarlah hanya Allah SWT yang memberikan balasan setimpal untuk orang yang ikhlas seperti Maznah Ismail.

Setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan dalam hidup mereka dan kita juga tidak boleh cepat menghukum seseorang individu itu.

Memetik kenyataan Ustaz Abdul Rasyid yang berpengalaman menguruskan hal ehwal agama banduan selama 30 tahun, “Mona berjaya menghafaz tafsir Al-Quran, sekurang-kurangnya dia tahu ajalnya sudah sampai. Dia reda dengan hukuman yang diterimanya di dunia. Balasannya dengan Tuhan, biar Allah yang tentukan. Yang mana kita tak tahu mungkin Mona lebih baik daripada kita semua yang masih hidup ini.”
Mona, Affandi dan Juraimi dihukum gantung sampai mati pada 2 November 2001.

Adakah selepas membaca artikel ini tanggapan anda terhadap Mona Fandey berubah ataupun masih sama seperti mana yang difikirkan sebelum ini? Pilihan di atas anda sendiri.
– MYNEWSHUB.CC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...