Isnin, 19 Disember 2011

Dulu tidak berminat, sekarang berebut nak masuk


                                                                 
 


























Ditulis oleh SARINA ISMAIL

GUAR CHEMPEDAK, 18 Disember 2011 – Kerajaan negeri akan memberi kerjasama sewajarnya terutama dalam pembinaan insan demi melahirkan golongan muda yang berakhlak, beragama, jati diri yang tinggi serta menghayati Islam sebagai cara hidup dan berusaha melahirkan pemuda yang dibesarkan dalam suasana beribadat kepada Allah.

Demikian antara ucapan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak ketika menyampaikan ucapan penutup sempena Majlis Penutup Kem Bina Syahsiah (KBS) 2011, di Perkarangan Masjid Al-Wusto, Guar Chempedak di sini.

“Pada peringkat awalnya, ibubapa seperti tidak berminat untuk menghantar anak ke kem ini kerana mereka menyangka ianya sama seperti kem-kem biasa yang lain. Tetapi sekarang, Alhamdulillah, mereka berebut-rebut untuk mendapatkan tempat dan saya difahamkan bukan sahaja pesertanya dari negeri Kedah malah dari luar negeri Kedah,” celahnya.

Beliau menambah, tujuh golongan yang diselamatkan Allah di Padang Masyhar nanti, antaranya pemuda yang dibesarkan dalam suasana beribadat kepada Allah dan dua orang sahabat yang bertemu dan berpisah kerana Allah. Oleh itu katanya, ibubapa perlu memantau anak-anak masing-masing dan pastikan kemana mereka pergi dan dengan siapa mereka berkawan .

“Kawan merupakan satu perkara yang sangat penting kerana orang boleh menilai kita dengan hanya melihat siapa kawan kita.

“Dalam hadis juga ada memberitahu kita, nak tengok seseorang, tengok siapa kawannya. Jangan silap memilih kawan, ” jelasnya.

Katanya lagi, pendidikan bermula di rumah, sekiranya elok di rumah maka eloklah diluar tapi sekiranya pincang di rumah lagi, maka hasilnya akan pincang di luar. Kasih sayang ibubapa ada kalanya tidak dapat dizahirkan kerana kesibukan dengan tugas-tugas seharian dan anak-anak secara tidak langsung merasakan seolah-olah mereka tidak diberi perhatian. Anak dilahirkan fitrah dan ibubapalah bertanggungjawab mencorakkannya samada menjadi yahudi, nasrani atau pun majusi.

“Ibubapa dulu tidak bersekolah tapi boleh mendidik anak sehingga masuk universiti. Ibubapa sekarang pandai-pandai, kebanyakannya keluar universiti tapi anak-anak  ramai yang terjebak dengan gejala sosial.

“Oleh itu kita perlu membina kekuatan ummah untuk melahirkan  genarasi bermoral dan berakhlak yang akan menjadi pemimpin untuk masa akan datang,” ujar beliau.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang bertungkus lumus menjayakan program ini.

“Tahniah juga pada para peserta kerana sabar serta istiqamah sehingga habis program.

“Kepada ibubapa, berilah perhatian dan pantauan sewajarnya kepada anak masing-masing dan pastikan apa yang mereka dapat di sini tidak hilang begitu sahaja,” katanya.

Beliau juga turut mengingatkan hadirin bahawa siapa yang bertaqwa kepada Allah, ia akan berjumpa pelbagai masalah dan rintangan tetapi ingatlah, Allah akan membantunya memberi jalan keluar pada setiap permasalahan yang dihadapinya.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sijil kepada fasilitator dan para peserta. Masjid Al-Wusto selaku tuan rumah untuk majlis penutup berkenaan juga mendapat sumbangan dari beliau sebanyak RM20 ribu.

Kira-kira 1500 orang termasuk waris para peserta hadir di majlis tersebut. 

warta kedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...