Rabu, 21 Disember 2011

Islam beri ketenangan kepada Chef Rasdan





Chef Robert Rasdan Storum (tengah) bersama chef-chef lain bakal memberikan layanan istimewa kepada setiap pengunjung Hotel Shangri-La, Putrajaya.





Lelaki kelahiran Norway yang kini dikenali sebagai Robert Rasdan Storum itu ditemu bual bagi memahami persoalan yang bermain di minda penulis.


Chef Eksekutif di Hotel Shangri-La, Putrajaya, ini mengakui tidak pernah menyangka akan bergelar seorang Muslim suatu hari nanti.


"Saya tidak pernah terlintas dan terbayang untuk menukar agama. Tetapi semuanya berubah selepas bertemu dengan seorang gadis Melayu ketika mula sampai di negara ini enam tahun lalu.


"Bagaimanapun kami terpaksa berpisah kerana saya mendapat tawaran kerja di negara lain. Tiga tahun lalu saya kembali ke sini dan hubungan kami kembali rapat sehingga akhirnya sampai ke jinjang pelamin," katanya ketika ditemui pada Program Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia Bersama Media, di Putrajaya baru-baru ini.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka kini dikurniakan empat orang cahaya mata.


Chef Rasdan mengakui, sebelum memeluk Islam, beliau tidak tahu apa-apa mengenai agama tersebut, namun segala-galanya jadi lebih mudah selepas mengucap kalimah syahadah.


Beliau kini gembira memilih Islam, malah berasa lebih tenang dan akur akan ketauhidan Allah, sekali gus menerima Islam secara ikhlas tanpa paksaan.


"Saya gembira yang keluarga saya memahami situasi bahawa pengislaman saya bukan kerana paksaan atau pengaruh dengan sesiapa dan bukan kerana wanita tetapi hanya untuk mencari kebenaran," jelasnya.


Mengenai penglibatannya dengan kerja-kerja di bahagian dapur, Chef Rasdan berkata, beliau boleh menghasilkan pelbagai jenis masakan daripada Barat sehingga ke sajian Timur.


Tetapi kepakarannya lebih kepada masakan berasaskan makanan laut.


"Saya berasal dari Bergen yang merupakan bandar kedua terbesar di Norway. Tempat kelahiran saya itu amat terkenal dengan makanan laut.


"Secara tidak langsung, ia membuatkan kepakaran masakan saya lebih kepada bahan-bahan seperti ikan, udang, sotong dan lain-lain," ujarnya.


Tambah beliau, bagi menyediakan sajian makanan laut, bahan-bahan yang digunakan perlulah segar untuk mendapatkan kelazatan tanpa mengira cara penyediaannya.


"Bagi saya, makanan laut lebih enak dimakan menggunakan rasa asli tanpa sebarang perisa kerana rasanya lebih segar tanpa perlu mencampurkannya dengan pelbagai rempah ratus.


"Cara penyediaan terbaik pula ialah dengan menggunakan kaedah stim atau barbeku," katanya.
UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...