Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)
berharap cadangan kenaikan imbuhan tetap perumahan (ITP) penjawat awam
dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat berikutan lonjakan harga dan
sewa rumah.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata ITP penjawat awam bagi gred 1 hingga 40 sebanyak RM180 tidak lagi relevan, ketika ini.
"Imbuhan tetap perumahan ini dah lama tidak disemak, hari ini kita
(Cuepacs)pergi mana-mana memang ia menjadi rintihan utama kerana tidak
ada lagi sewa rumah berharga RM180," katanya kepada pemberita selepas
menyampaikan taklimat kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Awam Angkatan
Tentera Malaysia (Kesatria) di Kem Terendak di sini, Khamis.
Beliau berkata Cuepacs telah membuat permohonan mengenai perkara itu
sejak lima tahun lepas dengan mencadangkan imbuhan tetap perumahan
diselaraskan kepada RM450.
Katanya jumlah tersebut juga sebenarnya tidak mencukupi namun ia
boleh disifatkan sebagai subsidi oleh kerajaan dalam meringankan beban
penjawat awam.
Dalam pada itu, Omar turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan
cadangan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan penjawat awam
daripada 4 peratus kepada 1 peratus.Katanya peningkatan harga rumah
menyebabkan ramai penjawat awam tidak mampu memiliki rumah.
"Kalau kos rumah PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) berharga
RM300,000 ke bawah, kadar faedah 4 peratus itu tinggi jika kumpulan
pelaksana ini nak membuat pinjaman," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan