Semalam 25/12 merupakan hari perayaan bagi orang Kristian. Bukan di
sini saya ingin sebutkan berkenaan perbahasan yang berkaitan tentang
hari tersebut dari segi ucapan atau meraikannya. Namun jika kita lihat
agama Kristian, ia amat berkait dengan salah seorang nabi yang wajib
juga kita imani iaitu Isa a.s. Mereka beranggapan bahawa Isa a.s adalah
anak Allah. Namun, dalam surah Al-Ikhlas ayat yang ke 3, Allah menafikan
perkara tersebut kerana sebenarnya ia menyifatkan kekurangan kepada
Allah dengan adanya sesuatu yang menyerupainya.
Berbalik kepada perkara yang ingin saya tekankan dalam artikel ini bukanlah mengenai aqidah Kristian, namun kisah Isa a.s berkaitan sebelum kelahiran baginda, juga sebelum kelahiran ibu baginda iaitu Maryam yang mana ada ibrah yang bisa kita teladani berkenaan konsep tawakkal dalam kehidupan seharian kita.
Kisah mereka
Konsep tawakkal. Kadang-kadang kita tersalah sangka, dan seringkali
terjadi pada diri kita iaitu kita melazimi sifat tawakkal dan meletakkan
tawakkal itu betul kepada Allah tetapi malangnya atas usaha yang kita
lakukan bukan atas kemampuan dan ihsan Allah s.w.t
Apabila kita menyebutkan tentang sifat tawakkal (berserah) seringkali
kita kaitkan dengan usaha. Ada benarnya. Cuma kadang-kadang maksud
tawakkal itu tidak sampai pada tahapnya iaitu kita acapkali berserah
dengan usaha yang kita lakukan, kita harap kita mendapat ganjaran. Bukan
salah perkara tersebut, namun sifat tawakkal ini sebenarnya lebih
tinggi dari amal iaitu kita berharap dengan segala usaha yang kita
lakukan dalam pada menjaga keikhlasan, maka Allah ganjarkan dengan
sesuatu kebaikan meskipun bukan dalam jangkaan.
Suka saya memetik kisah-kisah yang pernah berlaku dalam ruangan
kehidupan Maryam ibu nabi Isa a.s iaitu sebelum kelahiran beliau. Ibu
beliau yang bernama Al-Yasaban dan ayah beliau Imran merupakan pasangan
yang amat tua yang mana hampir mustahil untuk mereka mendapatkan anak.
Namun, ibu Maryam tidak berputus berdoa dan berserah hanya kepada Allah,
dan membuat nazar sekiranya dia dikurniakan anak maka dia akan jadikan
anak itu sebagai hamba yang mengabdikan dirinya kepada Allah.
Allah memperkenankan permintaan tersebut seperti mana firmannya:
(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku!
Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku
sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat
kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah
Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Ali-Imran:35)
Walaupun begitu, Allah menguji si ibu dengan memberinya anak
perempuan yang dinamakan Maryam yang mana kita tahu sifat insani seorang
wanita kurang sesuai untuk mereka terlibat dalam lapangan (luaran)pada
setiap masa. Bukan bermaksud menghalang para wanita daripada terlibat
dalam aktiviti luaran, namun ruang bagi kaum wanita adalah agak terhad
berbanding kaum lelaki. Demikian juga, faktor seorang nabi dipilih dalam
kalangan lelaki.
Bukan juga maksud saya me
ninggi atau merendahkan mana-mana jantina,
malah adanya kedua ini adalah saling lengkap melengkapi. Bahkan Maryam
ibu Isa a.s merupakan seorang contoh yang baik dan dijadikan ikon dalam
kalangan orang yahudi pada usianya masih muda terutama bagi golongan
belia. Namun, sifat seorang ibu semestinya ada kegusaran dalam hatinya
ingin melepaskan seorang anak perempuan untuk diabadikan sebagai hamba
yang hanya tinggal ditempat ibadat. Kesedihan ibu ini dirakam oleh
Allah, namun atas tiket tawakkal yang tinggi kepada Allah, akhirnya
Allah pelihara anak perempuan tersebut (Maryam):
Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai
Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan
(sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang
mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama
anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah
menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu,
demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam
(yang dikutuk dan disingkirkan)”. (Ali-Imran:36)
Berterusan daripada kisah kehidupan Maryam dalam tempat ibadat yang
dipelihara oleh bapa saudaranya yang merupakan seorang nabi iaitu
Zakaria a.s, suatu hari nabi Zakaria masuk menemui Maryam dalam mihrab
(tempat khusus ibadat) dan baginda mendapati ada makanan di sisi beliau.
Anehnya makanan tersebut adalah makanan yang tidak akan dapat ditemui
pada musim ketika itu. Lalu, timbul rasa ganjil dalam sudut hati Zakaria
a.s akan peristiwa tersebut namun baginda tetap yakin bahawa ia datang
dari Allah sepertimana yang dikhabarkan oleh Maryam kepadanya.
Rentetan pada peristiwa tersebut, nabi Zakaria yang juga tua pada
ketika itu ditambah isterinya yang mandul tetap berharap dan berserah
kepada Allah agar dikurniakan kepada mereka zuriat yang baik yang boleh
menjadi tali menghubungkan dakwah baginda kepada sekalian manusia
selepas kewafatan baginda nanti.
Dalam keadaan nabi Zakaria yang tua dan isterinya yang mandul itu,
akhirnya Allah memperkenankan permintaan mereka di atas ketinggian
pergantungan mereka kepada kuasa yang Maha Esa dengan seorang anak yang
juga merupakan seorang nabi iaitu Yahya a.s. Allah member khabar gembira
itu melalui firman-Nya:
Lalu ia diseru oleh malaikat sedang dia(Zakaria a.s)
berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): “Bahawasanya Allah memberi
khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki
bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan
menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan
menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh”.
Nabi Zakaria berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”. (Ali-Imran:39-40)
Tawakkal itu bagaimana?
Melalui kisah yang telah saya nukilkan di atas sebenarnya ada
beberapa perkara yang bisa kita jadikan pedoman dalam hidup kita
terutama berkenaan perlunya ketinggian tawakkal itu melebihi segalanya.
Jika kita lihat sebentar tadi, pasangan Imran (ibubapa Maryam) dan
juga pasangan Zakaria a.s (ibubapa Yahya a.s) adalah merupakan dua
pasangan yang tua bahkan ada di antara isteri mereka yang mandul yang
mana hampir mustahil untuk mereka dapatkan anak pada sisi pandangan
manusia. Namun kehendak Allah mengatasi segalanya. Dia (Allah) mampu
membatasi logik fikiran manusia, berdasarkan kesungguhan pengharapan
hamba kepada-Nya.
Mungkin dari satu sisi, kita memandang bahawa mereka ini adalah
termasuk dalam golongan manusia pilihan dan juga merupakan dari kumpulan
para nabi yang mana diberikan kepada mereka kelebihan. Namun, percaya
dan yakinlah, kita sebagai manusia biasa yang terlalu banyak kelemahan
ini juga boleh mendapat kelebihan-kelebihan yang tidak disangka-sangka
yang membatasi usaha-usaha kita apabila kita benar-benar bergantung dan
berharap kepada-Nya. Sebab itu, tawakkal kita jangan kita harapkan
dengan apa yang telah kita usahakan sahaja, tetapi mohonlah kepada Allah
dengan sifat Pemurah dan Penyayang-Nya agar kita dikurniakan nikmat
atas dua sifat ini bukan semata-mata atas usaha kita kerana Dia mampu
berbuat segalanya.
Usaha Jangan Dinafi
Walaupun saya tuliskan bahawa pergantungan kepada-Nya itu diletakkan
pada kemuncak yang tertinggi, tetapi usaha untuk mengejar bahagia dan
cita-cita jangan pula kita lupa. Bahkan disebutkan dalam kisah nabi Isa
a.s juga sebelum kelahiran baginda, ketika ibu baginda didatangi
malaikat Jibril yang membawa berita kelahiran Isa a.s, lalu Maryam pergi
keluar dari tempat tinggalnya ke suatu tempat yang jauh.
Dalam keadaan mengandung itu, apabila beliau keletihan selepas
berjalan, beliau (Maryam) bersandar pada sebuah pohon kurma sambil
menanggung sakit untuk bersalin. Dalam keadaan itu, tetap Allah
beritakan kepada malaikat Jibril untuk diberitahukan kepada Maryam agar
beliau menggoncangkan pohon tersebut untuk mendapatkan makanan.
Sedangkan jika kita fikirkan semula, boleh sahaja Allah berikan
serta-merta makanan kepada Maryam di atas pengorbanan beliau, juga
seperti yang diberikan kepada beliau ketika beliau berada di mihrabnya,
namun di sinilah terdapat pengajaran yang boleh dijadikan teladan bahawa
tawakkal itu perlu diimbangi dengan usaha. Kisah ini dipotretkan
sepertimana firman Allah:
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. (Maryam:25)
Oleh itu, usaha itu merupakan sesuatu
perkara yang dominan untuk kita jadikan ia sebagai penyebab kita beroleh
sesuatu kebaikan. Hal ini juga disebutkan oleh baginda s.a.w dalam
hadis daripada Umar Al-Khattab r.a:
“Sekiranya kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah
s.w.t dengan sebenar-benarnya, sungguh kalian akan diberikan rezeki
sebagaimana seekor burung diberika rezeki ketika ia pergi pada pagi hari
dalam keadaan lapar, dan pulang di petang hari dalam keadaan
kenyang.”(HR Ahmad: no 208/373/376)
Jika kita teliti sebaiknya, nabi menyifatkan orang yang benar-benar
tawakkal akan diberika rezeki seperti seekor burung diberikan makanan.
Namun tidakkah kita sedar bahawa burung yang disifatkan itu ‘keluar’
yang membawa maksud berusaha untuk mendapatkan rezeki? Justeru,
pengharapan perlu disusuli dengan usaha.
Kesimpulan
Mungkin sebahagian daripada kita menganggap bahawa kita seolah-olah
‘mendesak’ untuk dikurniakan sesuatu nikmat tetapi kurang berusaha.
Justeru, saya sebutkan juga kepentingan untuk kita berusaha, cumanya
hakikat kita sebagai manusia ini sememangnya fakir di hadapan Allah,
bahkan kita tidak mampu untuk memenuhi ruangan hidup kita dengan
sebulatnya kepada-Nya kerana kita lemah dan adakalanya jatuh ke lembah
dosa.
Tambahan lagi, jika Allah takdirkan kita masuk ke syurga-Nya pun
bukan atas usaha kita tetapi Rahmat-Nya.Oleh itu, pengharapan dan
pergantungan kepada Allah dengan sebenar-benarnya membolehkan seseorang
manusia itu diberi kenikmatan menjangkaui logik akal manusia jika
dibumikan sifat percaya.
http://langitilahi.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan