KEMUNCULAN kongsi gelap Melayu yang paling awal di Tanah Melayu dikesan di Pulau Pinang pada pertengahan abad ke-19.
Tinjauan awal tentang kewujudan dan kegiatan kongsi gelap yang dinamakan
Bendera Merah dan Bendera Putih telah dibuat oleh pegawai-pegawai
British yang pernah berkhidmat di negeri itu.
Malah, kumpulan berkenaan dirumuskan oleh British hanya sebagai
persatuan kampung yang ditubuhkan oleh ketua-ketua kampung yang
berpengaruh bagi tujuan memulau musuh, mencari bantuan guaman bagi
membantu ahli-ahli yang menghadapi masalah dengan pihak polis dan
sebagainya.
Istilah kongsi gelap dalam situasi sejarah sosiol bangsa Malaysia
lazimnya sinonim dengan masyarakat Cina yang dibawa masuk sebagai tenaga
buruh oleh penjajah British.
Perihal kongsi gelap Cina di Malaya (ketika itu) sehingga selepas
kemerdekaan lebih diketahui kerana ia menjadi bahan pemerhatian atau
penyelidikan oleh residen-residen British yang ditugaskan di sini.
Penulisan mengenai kongsi gelap Cina di negara-negara selat atau secara
ringkasnya Malaya boleh disifatkan meluas kerana British cenderung
membuat perbandingan kes dengan jajahan takluk mereka lain di Hong Kong,
Macau dan Singapura terutamanya, ketika itu.
Keadaan ini berbeza dengan kongsi gelap Melayu, entiti ini tidak banyak
diketahui atau menjadi bahan tulisan dalam buku. Ini berkait rapat
dengan apa yang dirumuskan oleh Mahani Musa dalam buku ini, bahawa
British tidak berminat mencampuri hal ehwal orang Melayu.
British mencari jalan mudah dengan menyerahkan hal ehwal orang Melayu
atau pribumi kepada raja-raja Melayu, sejajar dengan dasar pecah dan
perintah British yang merangkumi adat istiadat dan hal-hal berkaitan
agama Islam.
“ Alasan lain terhadap kekurangan minat ini ialah tanggapan biasa bahawa
kegiatan tersebut lebih sinonim dengan masyarakat Cina atau dalam
perkataan lain, kongsi gelap bukanlah budaya orang Melayu.
EKSTREM
“ Dengan tanggapan sebegini tidak wujud satu desakan di kalangan pelajar
dan pengkaji sejarah untuk meninjau aspek ini walhal pada hakikatnya
gejala berkomplot sulit bukanlah asing dalam kehidupan sosiopolitik
orang Melayu sejak zaman-berzaman.
“ Budaya berkomplot sulit ini bukan sahaja kelihatan di kalangan kaum
lelaki malah juga kaum wanita. Sejarah Melayu, misalnya, memperihalkan
beberapa kisah penglibatan wanita golongan kerabat dalam intrik politik
di istana terutamanya berhubung pemilihan bakal sultan.
Lantaran itu, perihal kongsi gelap dalam sosiobudaya orang Melayu tidak
langsung disentuh waima dalam buku sejarah di peringkat sekolah menengah
di negara ini.
Seingat pengulas, paling dekat perkaitan orang Melayu dengan kongsi
gelap hanyalah sebagai sahabat pakatan kongsi gelap Cina dalam Perang
Larut atau perang antara pemilik lombong di Perak.
Itu pun, gengster Melayu tidak disebut sebagai anggota kongsi gelap,
sekadar orang-orang raja tertentu yang memihak kepada kongsi Ghee Hin
atau Hai San.
Faktor ini menjadikan kajian Mahani Musa ini, merupakan pembuka mata
mengenai asal usul dan perkembangan kongsi gelap Melayu di bahagian
utara Semenanjung Tanah Melayu antara tahun 1821 dan 1941.
Mengapa hanya di negeri utara dan bukan seluruh Semenanjung ?
Jawapannya mudah, aktiviti ekonomi dan fokus British ketika itu,
sememangnya di wilayah utara dengan Pulau Pinang dan Perak menjadi pintu
masuk kepada generasi awal buruh import dari India dan China yang turut
membawa elemen kongsi gelap masing-masing. Manakala Kedah dijajah oleh
Siam yang diwakili Raja Ligor, seorang Siam berketurunan Cina dan
menggunakan elemen kongsi gelap Cina dalam sistem pemerintahannya dan
menangani penentangan nasionalis Melayu.
Mahani, pensyarah sejarah di Universiti Sains Malaysia mendedahkan
kepada beberapa pertubuhan yang memiliki beberapa sifat tersembunyi
daripada yang diisytiharkan kepada British, selaku kerajaan ketika itu.
Paling ekstrem ialah kumpulan Bendera Merah dan Bendera Putih di Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
Menurut Mahani, kongsi gelap Melayu bermula sebagai persatuan kebajikan
dan keagamaan, tetapi kemudian ada persatuan yang mengubah bentuk
kegiatan mereka menjadi kegiatan berbau jenayah.
Profil ini sama dengan sejarah-sejarah awal kemunculan pertubuhan
jenayah di lain-lain tempat di muka bumi ini seperti mafia di Sicily
(untuk membela nasib penduduk tempatan daripada penindasan penjajah) dan
triad di China (sebagai gerakan bawah tanah untuk menumpaskan maharaja
yang dibenci).
Mujurlah entiti bendera-bendera dalam masyarakat Melayu berjaya
dilupuskan dan tidak membentuk sebagai suatu igauan buruk kepada rakyat
Malaysia hari ini seperti yang mencengkam Itali akibat kesuburan
aktiviti mafia. Sisa-sisa aktiviti gengster Melayu Bendera Merah dan
Putih di Pulau Pinang tidak mungkin Bukit Bendera.
Mahani menyorot kegiatan dua kelompok yang bertentangan ini dalam setiap
acara persembahan boria, perayaan Muharam dan kegiatan kelab-kelab bola
sepak.
Sebagai sebuah kajian ilmiah, Mahani mengetengahkan kajiannya daripada
manuskrip silam, catatan pegawai British atau Syarikat Hindia Timur
British dan juga kajian kontemporari daripada Prof. Khoo Kay Kim dan
Zainal Jusoh dari Universiti Malaya.
Kajian Mahani terhadap topik yang sangat kurang ditemui dalam media
popular ini adalah begitu menyegarkan dalam usaha mengkaji perihal sikap
dan kecenderungan orang Melayu di zaman penjajahan sehinggalah ke hari
ini.
Sumber : Kongsi Gelap Melayu Di Negeri-Negeri Utara Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu 1821-1940-an. Oleh : Mahani Musa
scriptersnews.blogspot.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan