Khamis, 19 Mac 2015

Kepentingan Dan Jenis-Jenis Air


Manusia sangat memerlukan kepada air dan 2/3 daripada bumi dilitupi dengan air. Malahan 70% daripada badan manusia terdiri daripada air. Jadi air sangat penting kepada sistem badan manusia. Kekurangan air dalam badan akan menyebabkan sistem pengaliran darah tidak lancar dan akan menjadikan seluruh organ tidak mendapat oksigen dengan kadar yang mencukupi. Apabila seluruh organ tidak dapat kadar oksigen yang mencukupi, maka proses untuk setiap organ bekerja akan menjadi sukar dan lambat. Contohnya otak. Jika otak tidak mendapat oksigen yang dikehendaki, setiap pekerjaan seseorang itu akan menjadi lambat dan kucar-kacir. Memang tidak dapat dinafikan bahawa air merupakan sumber utama dalam kehidupan seharian manusia.
 



Antara kepentingan air dalam diri manusia ialah :


1. Mengawal suhu badan.
2. Melancarkan perjalanan darah.
3. Membantu bawa nutrien dan oksigen ke seluruh tubuh badan.
4. Membantu penyerapan oksigen.
5. Mengawal geseran sendiri.
6. Menyingkirkan bahan buangan.
7. Membantu menyingkirkan toksin daripada badan.
8. Melindungi dan melapisi organ penting.

Terdapat banyak lagi kepentingan air dalam kehidupan manusia selain daripada yang penulis senaraikan di atas. Selain daripada kepentingan air, terdapat juga jenis-jenis air yang telah ditetapkan oleh Islam mengikut beberapa kategori. Ianya adalah bertujuan supaya manusia mendapat air yang bersih dan tidak tercemar serta suci untuk kegunaan harian.

Antara jenis air tersebut ialah :

1. Air Mutlaq


Menurut Syeikh Abu Abdullah Hussin Nasir Bin Muhammad Taib dalam kitabnya Hidayatul As-Subyan mengatakan bahawa :

“Tiada sah mengangkat hadas dan menghilangkan najis melainkan dengan air yang mutlak iaitu tiap-tiap air yang suci daripada qaid yang lazim seperti tebu, gula, sabun dan umpamanya, dan iaitu tiap-tiap air yang turun daripada langit seperti hujan dan embun atau air yang keluar daripada bumi seperti air laut, air sungai dan air telaga. Maka sekelian itu suci dirinya dan suci bagi yang lainnya atas barang apa sifat adanya.”

Secara ringkasnya maksud air mutlaq ialah air yang suci pada dirinya dan dapat menyucikan yang lain. Air mutlaq adalah air yang belum bercampur dengan najis, air takungan yang lebih dari dua kolah dan air yang tidak digunakan lagi dan tidak bercampur dengan zat-zat yang lain. Jenis-jenis air yang terdapat dalam bahagian air mutlaq ialah air sungai, air perigi, air hujan, air embun, air laut, air salji,air mata air dan air paip.

Sukatan dua kolah : Panjang = 60 cm (22.5 inci). Lebar = 60 cm (22.5 inci). Dalam = 62.5 cm (25 inci).

Ukuran timbangan atau sukatan : Liter = 174 liter. Kilogram = 190 kilogram. Kati = 317 kati. Tin minyak tanah = 11 tin


2. Air Mustakmal


Menurut Ibnu Akhil di dalam kitabnya yang berjudul Zadul Al-Mutaalim mengatakan bahawa :

“Air mustakmal adalah air yang kurang daripada dua kolah yang telah digunakan bagi mengangkat hadas seperti air yang telah digunakan pada wuduk dan mandi atau air yang telah digunakan pada menghilangkan najis.”
Secara ringkasnya air mustakmal ialah air yang telah digunakan, seperti air bekas mandi, air bekas wuduk, air bekas basuhan dan seumpamanya. Air mustakmal tidak sah dan tidak suci digunakan untuk menyucikan yang lain.


3. Air Mutannajis


Air mutannajis ialah air yang bercampur dengan najis. Ada beberapa ketetapan mengenai air mutannajis iaitu :

# Air yang mengandungi najis kurang dari dua kolah, sekalipun air itu tidak berubah warna, bau dan rasa. Maka hukum air itu adalah mutanajis dan tidak sah untuk bersuci.

# Bila air melebihi dua kolah, tetapi air tersebut berubah warna, bau dan rasa disebabkan najis. Maka air itu dinamakan air mutannajis dan tidak sah digunakan untuk bersuci.

# Air dicampuri barang yang tidak najis, tetapi mempunyai warna, bau dan rasa pada air tersebut, maka air itu tidak sah digunakan untuk bersuci.

4. Air Musyammas


Menurut Syeikh Abdul Faqir Al-Fatani Muhammad Bin Ismail Daud Al-Fatani di dalam kitabnya Matla Al-Badrain mengatakan bahawa :

“Air musyammas suci lagi menyucikan tetapi makruh isti’mal (menggunakannya) pada badan orang yang takut terkena penyakit sopak. Air Musyammas adalah yang berkekalan tetapnya dan ia dipanaskan oleh cahaya matahari pada negeri yang panas di dalam bekas (bejana).”


Secara ringkasnya air musyammas ialah air yang bertakung di dalam tin yang terdedah pada sinar matahari di negeri yang panas. Air ini suci lagi menyucikan tetapi makruh digunakan untuk bersuci.

5. Air Muqayyad


Air muqayyad ialah air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya sama ada dari segi warna, bau atau rasa yang menyebabkan air tersebut tidak dipanggil air mutlaq lagi. Contohnya air mawar, air kopi, air tebu, air sabun dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, qayyad pada air terbahagi dua :

# Qayyad Lazim iaitu qayyad yang tidak bercerai sehingga menjadikannya berbeza langsung dari air mutlak seperti air kopi, air madu, air mawar.

# Qayyad Musfaq iaitu qayyad yang bercerai iaitu yang tidak lazim bagi air seperti air hujan, air perigi. Maka air tersebut masih lagi dinamakan sebagai air mutlak.

Qayyad Lazim juga turut dinamakan sebagai air muqayyad yang membawa pengertian air bervariasi. Kesimpulannya air muqayyad ialah air yang suci bercampur dengan benda suci yang boleh mengubah air itu. Hukumnya suci tetapi tidak boleh menyucikan benda yang lain. Contohnya air kopi, air teh, air sirap , air kelapa, air mawar, air tebu dan sebagainya.


Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat membuatkan kita lebih berhati-hati apabila hendak menggunakan air sama ada untuk minum, untuk bersuci atau untuk kegunaan seharian. Bila menggunakan air yang tidak suci untuk bersuci, kita akan sentiasa dalam keadaan berhadas dan ibadah kita tidak sah. Semoga bermanfaat. WALLAHUA’LAM… - eberita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...