Rabu, 30 Januari 2013

Sejarah dan asal usul kasut berjenama BATA


Pengasas Bata, Tomas Bata bersama keluarganya. Beliau meninggal pada 1932 kerana kemalangan pesawat.
Saya tahu mesti ramai yg pernah pakai kasut BATA ni..termasuk saya pun ada banyak, selipar, dan kasut jenis ini., rupa-rupanya kasut BATA ini keluaran luar negeri dan bukannya dalam negara kita.

Setiap dari kita walaupun sekali dalam seumur hidup pastinya pernah menggunakan kasut berjenama Bata yang sememangnya terkenal sebagai satu jenama kasut yang mampu dimiliki.

Jenama Bata itu sendiri telah telah melalui sejarah yang panjang sebelum menjadi satu jenama yang gah dan dikenali hampir di semua peringkat usia di seluruh dunia.
 
 
 




Penulis masih ingat lagi ketika melalui zaman persekolahan, memiliki kasut berjenama Bata, sudah dianggap sebagai anak orang berada dan pastinya pelajar wanita akan mengerling kepada penulis bukan kerana orangnya tetapi kerana kasut yang dipakai.

Jenama Bata mula dikenali di Malaysia atau Malaya pada waktu itu, apabila kedai Bata pertama di negara ini dilancarkan pada 1930 di bangunan Capitol, Singapura.

Lima tahun kemudian, kilang kasut Bata ditubuhkan di Klang, Selangor untuk pasaran dalam dan luar negara.

Namun kelmarin orang yang bertanggung jawab membina dan memajukan jenama Bata sebagai satu jenama yang unggul di dunia, Thomas J. Bata meninggal dunia pada usia 93 tahun.

Beliau yang dilahirkan pada 17 September 1914 di Zlin, Czechoslovakia dan berasal dari sebuah keluarga yang sememangnya telah menceburi bidang pembuatan kasut secara turun temurun sejak lebih tiga ratus tahun lalu.
 


Mendiang bapanya Tomas Bata, merupakan pengasas dan orang yang bertanggung jawab mewujudkan industri kasut ini di wilayah Zlin, Czechoslovakia pada 1894.

Bersama-sama dengan ahli keluarganya Anna dan Antonin Bata, mereka bertanggung jawab kepada penubuhan syarikat ini yang kini menjadi satu fenomena dalam industri kasut.



Sejarah


Pada permulaannya mereka hanya beroperasi di sebuah ruang kecil dengan tenaga kerja seramai empat orang.

Namun hasil kesungguhan dan keupayaan mereka, kilang pertama Bata dibina pada 1900 dan agensi pertamanya di luar negara ialah di Jerman, negara-negara Balkan dan Timur Tengah pada 1909.

Perniagaan beliau semakin menguntungkan dengan tercetusnya perang dunia pertama pada 1914.

Syarikat tersebut telah mengeluarkan lebih dua juta pasang kasut dalam setahun dengan lebih 10,000 pasang kasut dikeluarkan dalam masa sehari melalui 5,000 orang pekerja ketika Perang Dunia pertama berlangsung.
 
 


Bagaimanapun berikutan dari hutang yang berlambak akibat penghantaran yang tidak dibayar ke negara Austria Hungary (kerajaan yang baru ditubuh, Chechoslovakia tidak mengiktiraf hutang tersebut) mereka terpaksa mengurangkan pengeluaran kepada 1,700 sehari dan mengambil beberapa langkah untuk menjimatkan operasi.

Bagaimanapun di bawah kepimpinan Tomas beliau banyak memperkenalkan revolusi baru dalam bidang pengurusan kilang serta banyak mempelajari teknik pengurusan dari pengeluar kereta terkenal Amerika Syarikat (AS), Henry Ford.

Beliau sememangnya terkenal dengan kesedaran sosiol yang tinggi terhadap pekerjanya malah turut mewujudkan sebuah bandar industri yang lengkap dengan kawasan perumahan, pendidikan malah wayang gambar untuk kegunaan para pekerjanya.

Ungkapan bekerja secara berkumpulan dan hidup bersendirian merupakan kata-kata semangat yang diperkenalkan Tomas dalam memberi semangat kepada pekerjanya.

Malah beliau turut diberi gelaran Henry Ford Eropah Timur?kerana menggunakan kaedah pengeluaran secara besar-besaran bagi menjimatkan kos pengeluaran.

Beliau juga melihat teknologi sebagai alat untuk memajukan lagi perniagaan dan mahu mengeluarkan kasut pada harga yang murah bagi membolehkan orang ramai mampu memilikinya sekaligus jumlah penggunaan kasut keluarannya meningkat berkali ganda.

Bagaimanapun beliau meninggal dunia pada 1932 setelah pesawat yang dinaikinya terhempas di Lapangan Terbang Zlin ketika cuba berlepas dalam keadaan cuaca buruk.

Pada ketika itu, syarikatnya Bata telah mengambil 16,560 orang sebagai pekerja, menguruskan 1,645 buah kedai kasut dan sebanyak 100,000 pasang kasut dikeluarkan dalam sehari menjadikan Bata sebagai pengeksport utama kasut di dunia.

Adik Tomas, Jan Antonin Bata kemudiannya dilantik untuk memimpin syarikat Bata dan di bawah pengurusannya beliau telah berjaya meluaskan lagi empayar perniagaan ke 63 negara serta terlibat dalam beberapa industri lain antaranya dalam industri tayar, tekstil, perlombongan, perfileman malahan pembuatan pesawat.

Beliau turut membangunkan beberapa bandar industri baru di serata dunia berdasarkan wawasan Bandar Harapan antaranya di Bataipora, Batatuba dan Bataguassu di Brazil serta di Perancis, Belanda, Belgium, AS dan India.

Sebelum Perang Dunia ke Dua tercetus, syarikat Bata telah mempunyai pekerja seramai 105,770 orang dan sebanyak 30 juta kasut telah dijual di lebih 30 negara.

Bagaimanapun akibat perang ini keluarga Bata terpaksa melarikan diri ke Kanada selepas tentera Nazi menjajah Czechoslovakia dan Antonin ditahan oleh pihak yang pro komunis selepas Perang Dunia Kedua tamat.

Kesemua industri Bata dimilik negarakan oleh kerajaan komunis mengakibatkan syarikat Bata terpaksa memulakan semula perniagaannya melalui syarikat milik mereka di luar negara.

Keadaan ini telah memaksa anak kepada pengasas Bata iaitu Thomas J. Bata memulakan operasi perniagaan mereka di Batawa, Toronto di Kanada sebelum melangkah lebih jauh dengan pembinaan kilang baru serta menjadikan kawasan ini sebagai ibu pejabat baru Bata.

Di bawah kepimpinan Thomas Junior, beliau telah memperkemaskan lagi sektor pemasaran, reka bentuk, peruncitan, pembuatan dan pengagihan menjadikan syarikat ini antara pengeluar kasut yang paling disegani di seluruh dunia.

Beliau juga melancarkan beberapa label baru bersesuaian dengan imej pasaran yang disasarkan bagi mempelbagaikan lagi industri ini.

Thomas akhirnya kembali ke negara asalnya yang kini dikenali sebagai Republik Czech pada 1989, dan membeli kembali syarikat Bata yang masih wujud di sana namun membuat keputusan untuk kembali semula ke Kanada.

Selepas dunia mengalami perubahan dalam pelaksanaan ekonomi sekitar tahun 1990-an, Bata turut menutup hampir kesemua kilangnya yang beroperasi di negara-negara maju seperti di AS, Perancis, dan England.

Tindakan ini mengakibatkan beribu-ribu peluang kerja terpaksa ditamatkan dan hanya mengekalkan rangkaian kedai untuk beroperasi di negara ini.

kitamanusiakelana.blogspot.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...