Rabu, 23 Januari 2013

Menyingkap Kebenaran: Firaun Tahu Kalimah Tauhid

Menyingkap sejarah Firaun yang bongkak dan sombong..Allah SWT menunjukkan keadaan fizikal mumia Firaun utk menjadi pengajaran kepada pemerintah2 dunia sekarang. Jangan jadikan golongan pemerintah2 di dunia ini "Firaun Ke-2 atau ke-3-ke-4". Cerita mengenai keangkuhan Firaun menjadi topik hangat dalam dunia Islam dari dahulu hingga sekarang, untuk menunjukkan sebagai contoh yang tidak baik kepada masyarakat hari ini. Allah SWT telah menceritakan panjang lebar di dalam Al-Qur'an mengenai kejahatan Firaun.






Apa yang hendak Al-Hikmah ringkas di sini adalah mengenai cerita Nabi Musa a.s. tatkala hendak menyelamatkan kaumnya Bani Israil dari cengkaman Firaun yang durjana itu. Sebagaimana Allah ceritakan di dalam Surah Taha ayat 77, 78 dan 79.

Dan demi sesungguhnya! Kami (Allah swt) telah wahyukan kepada Nabi Musa: Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar memgembara pada waktu malam, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh dan jangan pula engkau takut tenggelam. (77) Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu dia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya. (78) Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan dan tidaklah dia membawa mereka ke jalan yang benar. (79) Quran Explorer – [Sura : 20, Verse : 77 - 79]

Dalam kisah itu Nabi Musa yang bersama kaumnya diperintahkan oleh Allah untuk meninggalkan Mesir. Ketika telah sampai di tepi Laut Merah, Allah memerintahkan Nabi Musa untuk memukulkan tongkatnya hingga laut luas yang berada di hadapan mereka terbelah membentuk jalan dengan dua dinding air yang tinggi. Pernahkah kita semua membayangkan betapa hebatnya kejadian tersebut?

Mengapa tidak hebat? Membayangkan berapa tenaga dan gaya pukulan yang diperlukan untuk dapat menyibakkan air laut hingga memiliki lebar lintasan 900 meter dengan jarak 1800 meter pada kedalaman perairan yang rata-rata mencapai ratusan meter untuk waktu yang cukup lama. Jumlah kaum Nabi Musa yang menurut sejarah berjumlah ribuan? (menurut tulisan lain diperkirakan jaraknya mencapai 7 km, dengan jumlah pengikut Nabi Musa sekitar 600.000 orang dan waktu yang ditempuh untuk menyeberang sekitar 4 jam). Ini semua kerana kuasa Allah swt. Allah Maha Kuasa, makhluk langsung tiada kuasa. Semua ini terjadi dengan qudrat Allah swt. Allahu Akhbar.

Sebagaimana Allah telah ceritakan di dalam surah Al-Shuara ayat 60 hingga ayat 68 yang mana terjemahan seperti berikut,
“Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit. (60) Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan. (61) Nabi Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku. (62) Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Pukullah laut itu dengan tongkatmu. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. (63) Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ. (64) Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. (65) Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya). (66) Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman. (67) Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (68) Quran Explorer – [Sura : 26, Verse : 60 - 68]

Maka tatkala itulah Firaun tersedar bahawa Allah swt yakni Tuhan Nabi Musa adalah lebih berkuasa daripada dirinya tetapi pada saat itu segala-galanya sudah terlambat buat Firaun yang lupa, sombong dan bongkak itu sebagaimana Allah swt berfirman di dalam Surah Yunus ayat 90, 91, dan 92.

“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah dia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah). (90) (Allah berfirman): Adakah sekarang (baru engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?. (91) Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar) dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”. (92) Quran Explorer – [Sura : 10, Verse : 90 - 92]


 
 
Di kala itu Firaun menyakini bahawa Allah swt Maha Kuasa tetapi sudah terlambat dan Allah swt berfirman: “Adakah sekarang (baru engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?”. Dan untuk dijadikan pengajaran kepada kita umat sesudah itu dan umat hari ini maka Allah swt berfirman lagi, “Maka pada hari ini, Kami (Allah) biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar) dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami (Allah)!”

Jelas peringatan untuk kita semua kerana yang diselamatkan Allah ialah tubuh kasarnya, menurut sejarah, setelah Firaun itu tenggelam mayatnya terdampar di pantai dan ditemui oleh orang-orang Mesir lalu dibalsem (diawet), sehingga keras atau utuh sampai sekarang dan dapat dilihat di musium Mesir. Allah menerangkan seperti ayat di atas bahawa selepas firaun dilemaskan dan mati, barulah Allah selamatkan badannya,(jasadnya tanpa roh). Allah menyelamatkan badan firaun untuk pengajaran. Antara pengajarannya ialah Firaun itu manusia, Firaun itu bukan Tuhan maka pecahlah tembelang manusia yg mengaku tuhan itu.


Satu lagi pengajarannya adalah Firaun yang tidak percaya Allah itu, yang sombong dan bongkak itu akhirnya mengaku kekuasan Allah, Kalimah Tauhid dan tatkala maut di hujung nyawanya dia segera mengucapkan “…..Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil…..” dan kita sekarang ini yang mempunyai kalimah tauhid di dada kena periksa Iman kita. Adakah kita benar-benar tawajuh kepada Allah atau sebaliknya. Nauzubillah jangan sampai kita terleka akan kalimah yang ada di hati kita ini. Jangan sampai ianya terlucut tatkala kita meninggalkan dunia yang fana ini.  
wanhayden1040.blogspot.c


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...