Membina rumah tangga bukan seperti membina istana pasir di tepi
pantai. Sekali ombak melanda, istana roboh berderai. Sebaik-baiknya
jadikanlah binaannya kukuh, sekukuh istana konkrit, biar dilanda ombak
dan taufan, ia tetap utuh dan teguh.
Namun kekukuhan dalam perkahwinan itu memerlukan ramuan yang padat,
bukan sahaja dari segi kekuatan fizikal, mental, spiritual malah
kemantapan ekonomi dan sosial. Perkahwinan adalah manifestasi cinta
antara pasangan kekasih. Namun ironinya cinta di alam rumahtangga bukan
sandaran yang kukuh untuk satu hubungan yang kekal hingga ke hujung
nyawa. Ia menagih begitu banyak pengorbanan, pengertian serta yang
paling utama ialah kejujuran.
Dalam usaha memberi kefahaman itu kepada pasangan suami isteri seharusnya sikap kerjasama dan tolak ansur adalah penting dalam melayari hubungan rumah tangga. Selain aspek kasih sayang, tanggungjawab dan kewangan, hubungan seksual juga amat mempengaruhi kebahagiaan hidup rumah tangga. Kerjasama hidup berkekalan Setiap perhubungan mesti ada kerjasama, baru hidup berkekalan. Yang paling utama kita sebagai pasangan perlulah berkongsi hidup sama ada dari segi intelektual, sosial, emosional, kerohanian dan kebatinan serta fizikal.
Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra yang
bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu, jam 10.15 pagi berkata,
dalam setiap institusi rumah tangga, setiap pasangan suami isteri perlu
menyedari bahawa masing-masing mempunyai hak tersendiri. Dalam Islam,
setiap suami wajib melayani isterinya dengan baik dan setiap isteri juga
wajib taat dan melayani suami dengan sebaiknya. Islam adalah agama yang
sempurna, setiap hukum dan peraturan yang terdapat bukan hanya memihak
kepada lelaki, tetapi juga kepada isteri dan semua pihak. Islam
menetapkan suami bertanggungjawab memimpin rumah tangganya dan memenuhi
hak isterinya serta memerintahkan supaya mereka berlaku baik terhadap
isteri mereka sesuai dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Oleh itu, apabila hak isteri tidak ditunaikan dengan baik oleh suami
sedangkan ia menyedari dan mampu melaksanakannya, maka dia dianggap
sudah menderhakai Allah dan Rasul-Nya, juga menderhakai isterinya.
Umumnya, masyarakat kita pada hari ini jarang menghayati perkara ini
mengikut tuntutan syariat bahkan lebih cenderung untuk mengikuti tradisi
yang berlaku dalam masyarakat. Tatacara kehidupan dalam rumah tangga
diperoleh daripada amalan tradisi masyarakat atau pengalaman yang
diperoleh daripada keluarga tanpa berpedoman kepada ketentuan Allah dan
Rasul-Nya. Sedangkan apa yang ditimba dari masyarakat dan keluarga
kemungkinan besar jauh daripada ketentuan Allah dan Rasul-Nya, sehingga
suami sering melakukan pelanggaran terhadap hak isteri dan menganggapnya
suatu yang lumrah dalam masyarakat. Perkahwinan sangat digalakkan dalam
konteks agama. Pelbagai bentuk kebaikan boleh diperoleh melalui ikatan
perkahwinan.
Ustaz Muhamad turut menjelaskan mengenai tauhid dalam memperbaiki
hidup berumahtangga iaitu menerusi konsep tauhid. Kita sering mendengar,
seseorang mengucapkan tauhid atau ‘jadilah seorang yang bertauhid’,
‘mari menegakkan tauhid’ dan ‘orang yang tidak bertauhid maka akan kekal
di neraka’. Namun tahukah kita apa makna tauhid itu? Bagaimana
seseorang dikatakan bertauhid. Ustaz Muhamad ada menyebut bahawa suami
isteri perlu saling membantu dalam menguruskan hal rumah tangga. Rumah
tangga pada hari ini rata-ratanya dibina suami dan isteri yang
masing-masing mempunyai kerjaya tersendiri. Setelah seharian di tempat
kerja, kepenatan adalah sama. Maka tidak sesuai jika hanya isteri yang
bertungkus-lumus seorang diri di rumah. Andai si isteri menjawat status
suri rumah sepenuh masa sekali pun, bukan bererti si isteri tidak berhak
dibantu si suami. Dalam kepenatan menguruskan rumah tangga sebenarnya
lebih penat berbanding kerja harian di pejabat.
Malangnya, tidak ramai suami yang bersedia membantu membuat kerja
rumah. Perkara paling utama adalah dengan meminta bantuan suami sejak
awal perkahwinan. Jika sejak mula anda telah membiasakan suami untuk
membantu anda, tidak akan ada masalah lagi di kemudian hari. Masalahnya,
ramai isteri yang hendak tunjuk hebat pada awal perkahwinan. Semua dia
hendak buat hinggakan suami mahu menolong pun tidak dibenarkan. Pemimpin
dalam rumah tangga Tanggungjawab suami sebagai pemimpin dalam sebuah
rumah tangga adalah satu amanah Allah yang wajib ditunaikan. Ini
bermakna menjadi tanggungjawab suami menanggung perbelanjaan keluarga
mengikut kemampuannya. Kewajipan ini termasuk juga sama ada isteri
mempunyai harta atau pendapatan sendiri.
Bagaimanapun, isteri boleh menyumbang untuk perbelanjaan keluarga dan
dikategorikan sebagai satu sedekah. Oleh itu, sebagai suami, mestilah
sedaya upaya berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab menyediakan
perbelanjaan keluarga seperti tempat tinggal, pakaian, makan dan minum.
Menurut Islam, seorang isteri berhak mendapat keperluan hidup dan nafkah
yang mencukupi daripada suaminya, dan bukan sebaliknya. Ini jelas
berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Cuai dalam memberikan
nafkah zahir adalah satu dosa.
Suami isteri perlu memahami peranan masing-masing dalam perkahwinan,
jika mahu melihat ia terus utuh. Suami wajib memberi nafkah zahir pada
isteri dalam tiga perkara iaitu makan minum, pakaian, dan tempat
tinggal. Termasuk juga dalam nafkah adalah barang-barang keperluan lain
seperti alat berhias, bersuci dan ubat-ubatan. Nafkah makan, minum,
pakaian, tempat tinggal yang wajib itu semua adalah hak isteri. Tetapi
jika isteri tidak berkata demikian dan suami pula mengabaikannya, maka
haram dan berdosa besarlah suami dan itu juga mengakibatkan solat dan
segala amalannya yang lain tidak diterima. Jika isteri derhaka kepada
suami pula, segala amalan isteri ditolak, jika suami abaikan
tanggungjawabnya pada isteri, segala amalan suami ditolak
epondok.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan