Kesenangan itu satu ujian yang mungkin lebih mencabar dan membahayakan. Sebagaimana sabda baginda s.a.w: “Berikanlah khabar gembira dan harapan apa yang menyenangkan kalian, demi Allah bukan kefakiran yang aku takutkan menimpa kamu tetapi aku takut dibukanya dunia untuk kamu sebagaimana telah dibuka untuk orang-orang sebelum kamu dan kamu akan berlumba-lumba mendapatkannya sebagaimana mereka berlumba-lumba dan akan menghancurkanmu sebagaimana menghancurkan mereka.” (Hadis Al-Bukhari dan Muslim)



Jadi kalau ditimpa kesenangan seharusnya kita lebih kuat beribadah, lebih takutkan Allah, lebih berhati-hati dengan dosa yang kecil apatah lagi yang besar, kena selalu bermuhasabah sambil mencambuk hati, kuat bersangka buruk pada diri sendiri apabila mempersoalkan niat kita dalam beramal.

Sentiasa merasai kenikmatan itu boleh mendatangkan musibah untuk kehidupan akhirat, amat bergantung pada Allah ketika susah terlebih-lebih bila senang. Perbuatan ini semua mendatangkan kesejukan dalam mata hati kita saat panas dunia memanggang dengan bara apinya.



Pengurusan Rumah Tangga

Ramai yang terkandas selepas beberapa tahun menikah, bukan kerana tak beriman dan bukan juga tak berduit tapi disebabkan jahil dalam pengurusan kewangan rumah tangga . Kalau negara diterajui oleh koruptor dan manipulator yang benar-benar kotor akan tiba kehancurannya, begitu juga jika rumah tangga dipegang oleh kuasa suami dan isteri yang tak beramanah.

Jauh sekali merancang masa depan dengan mengukuhkan pendapatan bahkan tak peduli jika perbelanjaan lebih besar daripada gaji. Malangnya pasangan ini juga menjadi penyusu tetap kepada ibu bapa mereka sampai ke tua.


Ingat ya, perkahwinan adalah amanah Allah, harta dan anak-anak merupakan fitnah yang boleh memporak-perandakan kehidupan jika tidak diurus dengan betul.

Kestabilan kewangan memang bukanlah satu-satunya faktor kebahagiaan dalam rumah tangga tetapi menjadi pelengkap dalam ilmu pengurusan rumah tangga. Jika tiada maka cacatlah yang lain, walaupun orang beragama tapi tak pandai bab mencari nafkah tak kan ke mana.



Pada hari jadi perkahwinan anda takkan sempurna kad ucapan cinta itu tanpa diiringi dengan pembuktian. Buktikan bahawa anda mampu membahagiakan pasangan dengan merenovasi sikap lapuk dan tabiat buruk!

mingguan wanita