Bila anak anda yang berusia antara enam bulan hingga enam tahun demam, pastikan suhu badannya tidak terus tinggi sehingga mencecah 39 darjah selsius ke atas.
Suhu badan yang terlalu tinggi berisiko menyebabkan anak mendapat serangan sawan.

Sawan demam adalah sawan yang berlaku ketika demam. Ia boleh berlaku daripada umur enam bulan hingga enam tahun tapi biasanya banyak berlaku pada peringkat umur 12 hingga 18 bulan.

Menurut Dr.Mohamed Nazir Abu Bakar, Pakar Pediatrik, Salam Specialist Hospital, Shah Alam memberitahu serangan sawan pada bayi atau kanak-kanak memang menakutkan tetapi ia biasanya tidak berlaku dalam tempoh lama dan akan berhenti dengan sendiri.

Berikut adalah fakta tentang sawan demam yang ibu bapa perlu tahu.


1. Sawan demam tidak meninggalkan apa-apa kesan sampingan seperti kerosakan kepada otak.

2. Punca sawan demam ini tidak diketahui. Ada yang mengaitkannya dengan beberapa jenis virus. Ada juga mengatakan kematangan pada otak mungkin penyebab.

3. Kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga sawan demam ini lebih berisiko berbanding dengan yang tiada.

4. Sawan demam ini bukan penyakit sawan dan lazimnya tidak berulang selepas mencecah umur lima dan enam tahun.

Apa perlu buat bila anak kena sawan?

1. Ibu bapa dan penjaga perlu berada dalam keadaan bertenang dan fokus.

2. Pastikan anak berada dalam tempat yang selamat, tidak boleh terjatuh atau terhentak pada benda.

3. Pastikan anak berada dalam posisi mengereng dengan muka ke tepi supaya bendalir dari mulut atau muntah tidak mengganggu pernafasan dan membuat kanak-kanak tersedak.

4. Biasanya sawan jenis ini tidak lama, mungkin berlangsung selama tiga hingga lima minit  dan jarang sekali mencecah sehingga 15 minit.

5. Selepas sawan berhenti, biasanya pesakit akan kelihatan seperti mengantuk dan mungkin tertidur seketika. Mereka selalunya akan kembali aktif dan cergas seperti biasa.

6. Ibu bapa yang melalui sawan demam ini buat kali pertama harus mendapatkan nasihat dan pendapat pakar mengenai hal ini.
Sumber: Pa&Ma