Orang berilmu melihat banyak langkah di hadapan
MATA si jahil mudah terpukau dengan kilauan dunia.
Mereka sangka timbunan harta menjadi lambang kemuliaan manusia. Mata
hati si alim pula terang menembusi alam akhirat. Mereka sedar harta
adalah pinjaman dan amanah yang bakal diaudit ketat di akhirat kelak.
Ketika si jahil mabuk dengan kemilau dunia sehingga menyangka ia
adalah kilauan berlian, si alim sudah tahu bahawa itu hanyalah kilauan
kaca.
Kisah pengkagum harta dan manusia berilmu dalam cerita Qarun sangat
bagus dijadikan pedoman setiap orang yang beriman dengan al-Quran:
“Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya.
(Pada saat itu) berkatalah orang yang semata-mata inginkan kesenangan
kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang
didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib
baik”. Dan berkata pula “orang yang diberi ilmu (di antara mereka):
“Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi
orang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala
yang demikian) itu melainkan orang yang sabar,” (al-Qasas[28:79-80]).
Semua sedia maklum Qarun adalah manusia kaya yang sangat angkuh.
Ketika dia keluar menayang segala kekayaannya, manusia jahil yang rabun
akhirat lekas terpukau. Untung rugi pada mata mereka hanyalah pada
timbunan harta dan pengaruh.
Lain pula mata hati orang berilmu. Mereka tahu mana kaca dan berlian.
Ketika si jahil hanya melihat apa yang terhidang di hadapan mata, mata
orang berilmu sudah nampak beberapa langkah ke hadapan sehingga mencecah
alam akhirat.
PIALA KEBENARAN
Soalnya, siapakah yang betul antara dua kelompok pada ayat di atas? Biar ayat ini memberikan piala kebenaran kepada yang berhak:
“Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah,
maka tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya
daripada azab Allah” dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.
Dan orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti
Qarun – mulai sedar sambil berkata:
“Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendakinya daripada hamba-hamba-Nya, dan Dialah juga yang
menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita
tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti
Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak
akan berjaya!” (al-Qasas[28:81-82]).
Manusia jahil hanya sedar kebodohan dan kejahilan mereka setelah melihat kemusnahan Qarun yang ditelan bumi. Jauh bezanya dengan orang berilmu yang sudah lama melihat betapa kekayaan Qarun hanyalah pinjaman yang boleh ditarik Allah pada bila-bila masa sahaja.
Jika Qarun musnah ditelan puluhan tahun selepas dia keluar menayang kekayaannya, bermakna orang jahil begitu jauh ketinggalan dalam melihat hakikat kebenaran berbanding orang berilmu yang sudah sedar lama sebelum ia terjadi.
Inilah caranya al-Quran mendidik kita agar menjadi manusia berilmu. Rugi sekali jika kita masih terpaku kagum melihat timbunan harta tetapi culas dan liat untuk menghadiri majlis ilmu. Ketahuilah, harta adalah lambang kesombongan Qarun, manakala ilmu pula lambang kemuliaan para Rasul.
Qarun ditelan bumi kerana hartanya, manakala Nabi Musa a.s. ditinggikan darjatnya kerana ilmu. Pilihlah mana satu idaman hati. Jika mahu kagum dengan si kaya atau si alim, ikutlah panduan sabda Rasulullah ini. Insya-Allah kita semua akan selamat:
“Tidak boleh berhasad dengki, kecuali iri hati pada dua keadaan, iaitu; seorang lelaki yang dikurniai Allah (kemahiran dan kefahaman) al-Quran, lalu dia menegakkannya (mengamal, mengajar, menghayati) sepanjang malam dan sepanjang siang, juga seorang lelaki yang dikurniai Allah harta kekayaan lalu dia membelanjakannya (pada jalan kebaikan) sepanjang siang dan malam,” – Sahih Bukhari dan Muslim
https://epondok.wordpress.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan