Sabtu, 20 Februari 2016

Tips - Perangai Pelik Isteri Hamil Yang Suami Mesti Tahu

 Suami mana yang tak gembira dan bersyukur bila isteri tersayang disahkan sudah mengandung.

Namun para suami terutama yang pertama kali bakal bergelar ayah perlu bersedia mental dan emosi untuk berhadapan dengan bermacam perangai 'pelik' si isteri.

Suami jangan cepat marah isteri kalau perangainya agak pelik dan 'mengada-ngada' daripada biasa. Itu lumrah isteri yang hamil.

Berikut beberapa perangai pelik isteri yang mengandung.



1. Tak boleh masuk dapur

Entah kenapa bila sahaja 'mabuk' mengandung menyerang, dapur seperti menjadi kawasan larangan. Bukan semua masalah ini melanda ibu hamil tapi bagi yang mengalaminya, dapur seolah-olah kawasan yang sangat busuk dan memualkan.

Jadi, diharap suami dapat memahami dan tidak mendesak isteri atau menuduh orang rumah mengada-ngada. Biasanya perangai pelik ini akan berakhir dengan sendirinya apabila 'mabuk' mengandung hilang selepas tiga bulan kehamilan.

2. Malas mandi

Ini bukan main-main dan saja-saja tapi rasa malas itu datang tidak semena-mena. Entah kenapa badan terasa sakit bila terkena air paip. Bau bilik mandi juga menambahkan lagi rasa malas hendak mandi. Tapi suami jangan risau, biasanya selepas berakhir alahan, isteri akan kembali normal.

3. Benci dengar bunyi telefon

Di awal kehamilan, ada ibu hamil yang benci mendengar bunyi telefon. Rasa seperti mengganggu ketenteraman dan makin membuatkan rasa pening kepala.

4. Tak suka bau wangi

Kalau dulu pantang bau busuk, pewangi memang satu kewajipan. Tetapi bila awal mengandung, bau wangi seperti musuh ketat. Memang ibu akan tutup hidup ketat-ketat!
5. Bawa tisu ke mana-mana

Mungkin tak ramai yang mengalaminya tetapi bagi yang melaluinya ia adalah pengalaman perit sepanjang hamil. Bayangkan sepanjang sembilan bulan mengandung, tisu adalah peneman setia mesti ada dalam beg tangan.

Kegunaan tisu adalah untuk membuang air liur/ludah yang sentiasa bertakung di mulut. Perubahan hormon dalam badan membuatkan ada ibu hamil yang mengalami pengeluaran air ludah terlalu banyak dan perlu dibuang setiap masa.

6. Pantang bau masakan

Bau jiran sebelah rumah menumis bawang dan cili sudah cukup membuatkan ibu  hamil termuntah-muntah. Ia bukan mengada-ngada tetapi tindakan tersebut berlaku secara spontan.

7. Tak suka makan makanan kegemaran

Entah kenapa sebaik sahaja disahkan hamil, tekak rasa loya dan tak lalu hendak menjamah makanan kegemaran. Jika dulu, pantang sebut, mesti tak sabar hendak makan. Tetapi bila awal hamil, makanan kegemaran menjadi makanan tidak digemari.

8. Tak boleh bau suami

Ini paling sukar difahami. Tetapi ia berlaku kepada sesetengah orang. Tiba-tiba bau badan suami menjadi bau yang kurang enak dan boleh membuatkan mual dan hendak muntah. Jika isteri anda berperangai sebegini, banyakkan bersabar!

9. Tak boleh minum air masak

Di awal kehamilan, ramai bakal ibu yang tidak boleh minum air masak. Tekak yang payau semakin menjadi-jadi apabila terpaksa minum air masak. Lebih teruk, ada yang sampai muntah-muntah jika dipaksa minum juga.

10.Tak suka masuk rumah/bilik sendiri

Pelik tapi benar. Perasan tidak suka itu bukan dibuat-buat tetapi secara tiba-tiba rumah atau bilik tidur sendiri seperti menjadi kawasan paling tidak digemari.

Mujurlah perangai pelik isteri hamil ini biasanya berakhir sebaik usia kandungan masuk empat bulan. Kalau tidak jenuh juga suami hendak berhadapan dengan perangai pelik isteri sepanjang sembilan bulan.

Apa pun, suami perlu banyak bersabar dengan kerenah si isteri kerana ia hanyalah bersifat sementara sahaja. Fikirkanlah kesukaran yang dihadapi isteri anda untuk melahirkan zuriat tersayang.
pama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...