Berpisah setelah bernikah amatlah menyiksakan bagi pasangan terutama sekali yang perempuannya. Semua wanita yang telah bergelar isteri sentiasa ingin bersama suaminya. Jika boleh sepanjang masa setiap saat berkepit disebelah suaminya.

Bagi suami pula yang mindanya boleh fokus dan menyibukkan dengan tugasannya, hanya akan terasa sunyi rindu kepada isterinya apabila hendak tidur malam.

Namun demi tugas, mencari ilmu dan kerjaya, mereka terpaksa berpisah jua. Adakah di sana jalan penyelesaian? Berikut adalah tip untuk mengurangkan kebimbangan, kerisauan, keperitan perpisahan antara anda berdua.




1. Suami ada rancangan dan kelihatan berusaha bersungguh-sungguh untuk tinggal bersama-sama nanti. Anda berdua tetapkan tarikh “keramat” penamat duduk berasingan itu. In sya Allah, yakinlah, isteri itu pasti akan menanda “the count-down” memangkah hari demi hari “looking forward” tarikh yang dinantikan. Jiwanya ada harapan sedikit dan dia bertambah tenang melihat “count-down” itu.


2. Sebaik-baiknya jangan berpisah lebih daripada 3 bulan. Naluri wanita terasa sangat gelisah jika ditinggal suami lebih 3 bulan. Semasa zaman pemerintahan Saidina Umar ra, beliau telah mengarahkan semua tentera di perbatasan pulang ke rumah selepas 3 bulan. Oleh itu, usahakan untuk bertemu melepaskan rindu dendam paling setiap 3 bulan.

3. Pertemuan ini hendaklah khas berjumpa memadu kasih berdua sahaja. Bukan pulang ke kampong bersama menziarah ibubapa mertua di kampong. Pertemuan ini tidak memberikan nilai tambah kepada pasangan. Malah dikhuatiri bertambah stres kerana terpaksa melayani ibubapa mertua yang juga merindui anaknya yang terpisah ini.

4. Contoh: Suami belajar di Australia, isteri kerja di Malaysia. Buat pertemuan 3 bulan sekali di Bali atau yang seumpama dengannya (ikut kemampuan baget) selama 3 hari 2 malam. Selepas itu pulang semula ke tempat masing-masing.

5. Jika kedua pasangan berada di Malaysia, tempah menginap di hotel-hotel kegemaran dahulu dalam 2-3 hari sebelum bertandang ke rumah mertua atau rumah yang diduduki isterinya sekarang. Suasana bilik hotel yang romantis boleh menambah nilai cinta berahi menampung keperitan kerinduan perpisahan itu.

6. Setiap kali pertemuan bersejarah itu, digalakkan memberi hadiah kepada isteri satu cenderamata istemewa secara ala-kadar sebagai ingatan pertemuan di tempat itu. Jika suami ini orang berada, dicadangkan hadiahkan kepada isteri gelang “Pandora” atau yang sewaktu dengannya. Setiap kali pertemuan cinta ini, isteri itu pula akan membeli “Charm” tersendiri untuk mengingati peristewa tersebut.


7. Semasa berpisah, buatkan S.O.P. (Standard Operating Procedures) komunikasi antara anda berdua. Contoh setiap malam atau setiap dua malam (terpulang mengikut persetujuan anda berdua) waktu tempatan antara jam 11-12 akan hubungi melalui Skype atau App yang sewaktu dengannya “without fail”. Jika ada hari-hari yang terlepas, maka diwujudkan denda yang boleh menambah nilai kasih sayang antara anda berdua seperti beli hadiah yang bernilai lebih RM50 kepada pasangan.

8. Waktu solat semasa sujud, jangan lupa mendoakan si dia agar Allah menetapkan iman dan menyatukan hati-hati anda berdua di atas jalan perkahwinanNya walaupun tinggal berjauhan.

9. Sekiranya isteri mendapat berita yang kurang enak daripada sumber ketiga, abaikan sahaja. Terimalah yang sah daripada suami anda sendiri walaupun hati terasa gundah akan jawapannya. Yakinlah, itu bisikan syaitan yang bijak merosakkan kasih sayang anda berdua. Tidak perlulah anda menjadi spy merungkai “password” suami anda. Serahkan kepada Allah kerana “password”nya Allah yang tahu.


Sumber: PAK UTIH / mingguan wannita