Jumaat, 11 November 2011

Jenayah siber bimbangkan Tuanku Sultan

Oleh Amelia Hashim




ALOR SETAR, 10 November - Kebawah Duli yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah melahirkan rasa bimbang terhadap merebaknya jenayah siber di kalangan masyarakat masa kini.

Kemunculan internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan maklumat.

“Namun oleh kerana tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat sama ada benar atau salah, maka idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga ponografi   disebarkan melalui internet. Pengaruh gejala ini nampaknya amat mudah mempengaruhi tingkah laku manusia khususnya golongan remaja, titah baginda pada Majlis Sambutan Maktab Mahmud 75 Tahun,

Baginda menganggap sikap manusia memang sesuatu yang sukar dikawal.

“Kita tidak boleh mengubah kelakuan seseorang melainkan orang itu sendiri yang mengubahnya,” titahnya.
Jenayah siber sering dilakukan oleh manusia yang mempunyai kelakuan yang negatif. Mereka menyerang sistem hanya sekadar suka-suka ataupun mencuba ilmu yang baru mereka pelajari. Kebanyakan mereka ini adalah remaja lingkungan 20-an. Keadaan seperti inilah yang menggawatkan dan mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat.

Baginda menyeru setiap individu terlibat membina benteng diri yang kukuh bagi mencegah diri daripada terlibat dalam sebarang kegiatan salah laku yang boleh membinasakan diri orang lain dan diri sendiri.
“Beta amat berharap agar generasi bertakwa dapat dilahir seramai mungkin bagi merealisasikan cita-cita bersama ke arah membina negara yang bertamadun tinggi sebagaimana zaman kegemilangan Islam di Kota Baghdad, Damsyik dan Cordova suatu masa dahulu.

“Generasi baru supaya melengkaplah diri dengan kemahiran-kemahiran seperti berdakwah, yang berkesan di samping menguasai ilmu berkaitan teknologi semasa bagi memudahkan penglibatan dan penyertaan dalam pembinaan nusa bangsa  mendepani cabaran globalisasi hari ini,” titah baginda.

Baginda berharap ilmu-ilmu akhirat dan dunia syumul yang ditekankan dan diterapkan ke dalam diri dan jiwa para pelajar di Maktab Mahmud dapat diterjemahkan melalui lakaran masa depan yang gemilang.

“Beta menyeru kepada semua agar sentiasa bersikap mulia dan tunjukkan contoh teladan yang terpuji kepada generasi muda dan masyarakat seluruhnya agar masa depan yang terbina membentuk persekitaran sejahtera dan negara yang maju minda takyatnya,” titahnya di hadapan lebih 3000 bekas pelajar Maktab Mahmud.

Hadir sama Menteri Besar Kedah YAB Ustaz Azizan Abdul Razak dan isteri, Yang Teramat Mulia Tunku (YTM) Bendahara dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Bendahara dan YTM Tunku Panglima Besar Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...