Di kebanyakan negeri, harga ayam ketika ini dilaporkan dijual RM8
hingga RM8.50 sekilogram malah ada sesetengah kawasan dijual pada harga
RM9 sekilogram.
Harga itu jauh lebih tinggi berbanding RM6.50 hingga RM7.60 sekilogram sebelum ini.
Kenaikan harga yang disifatkan tidak munasabah itu menyebabkan
pengguna kini bimbang perlu menanggung kos lebih tinggi sepanjang
Ramadan ini seterusnya dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Di Kelantan, tinjauan di beberapa pasar di Kota Bharu
mendapati, harga ayam mencecah RM7.50 hingga RM8 sekilogram sejak
seminggu lalu berbanding sekitar RM6.50 sekilogram sebelum ini.
Di Selangor, harga ayam juga didapati meningkat sejak seminggu lalu
dan dijual RM8.50 sekilogram di pasar sekitar Shah Alam berbanding
RM6.50 hingga RM7 sebelum ini.
Di Perak, harga ayam meningkat 30 sen hingga 90 sen dalam
tempoh kurang dua minggu sehingga mencecah RM8.50 sekilogram berbanding
hanya sekitar RM7.60 hingga RM8.20 sebelum ini.
Di Pulau Pinang, harga ayam naik mendadak sehingga RM9.50 sekilogram berbanding hari-hari biasa yang dijual RM8 hingga RM8.50 sekilogram.
Kenaikan harga ayam turut berlaku Johor selepas harganya di
kebanyakan daerah di negeri ini dicatatkan RM8 sekilogram berbanding
antara RM7.50 dan RM7.80 sebelum ini.
Di Negeri Sembilan, tinjauan di Pasar Besar Seremban
mendapati, meskipun harga ayam naik dengan mendadak, orang ramai tidak
mempunyai pilihan selain membelinya dengan harga yang telah ditetapkan
iaitu daripada RM7.50 sekilogram kepada RM8.50 sekilogram.
Di Kedah, tinjauan di beberapa pasar Alor Setar mendapati ada dalam kalangan peniaga menjual ayam siap proses sehingga RM9 kilogram.
Sementara itu, di sebalik isu kenaikan mendadak harga ayam sejak
kebelakangan ini, seorang peniaga di Pasar Besar Alor Setar, tetap
menjualnya pada harga RM7.20 sekilogram.
Mohd. Zahir Zainal Abidin, 59, yang merupakan pemilik gerai E.D Ayam
memberitahu, dia tetap memperolehi keuntungan memuaskan walaupun
menawarkan ayam dengan harga tersebut.
"Saya jual murah kerana mahu meringankan beban kewangan pengguna lebih-lebih lagi pada Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.
"Kebanyakan penjual mendapatkan bekalan ayam daripada berlapis-lapis
pembekal yang menyebabkan harga akhir kepada pengguna meningkat,''
katanya di sini.
Menurut Mohd. Zahir, bagi mengelakkan kos meningkat, dia hanya mendapatkan bekalan daripada seorang pembekal.
"Menjual pada harga lebih rendah adalah strategi pemasaran dan pada masa yang sama, dapat membantu pelanggan,'' katanya lagi.
Tinjauan di beberapa pasar di bandar raya ini mendapati, ada dalam
kalangan peniaga menjual ayam siap proses sehingga RM9 kilogram.
Di Perlis, harga ayam turut naik 20 sen hingga 30 sen dalam tempoh seminggu sebelum ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata peniaga di
sekitar negeri ini menjual ayam RM8 hingga RM8.50 bagi setiap sekilogram
berbanding sebelum ini antara RM6.50 dan RM7 sekilogram.
Di Melaka, harga ayam turut mengalami kenaikan mendadak mencecah RM2 berbanding harga asal RM6.50 sebelum ini.
Di Sarawak, harga ayam di negeri ini tidak mengalami sebarang
perubahan mendadak seperti di Semenanjung yang mana peniaga didapati
masih mengekalkan harga lama RM8.50 hingga RM9.50 sekilogram.
Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum
ini membuka serta merta permit import ayam bulat bagi menstabilkan
harganya di pasaran sekali gus memenuhi permintaan yang meningkat sekali
ganda menjelang musim perayaan.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian
menggalakkan pengimportan ayam bulat dari negara lain seperti Australia
dan benua Eropah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan ayam
tempatan.
utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan