Oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Kedatangan
bulan Ramadhan walaupun menjadi suatu kebiasaan kepada kebanyakan
orang, tetapi sebenarnya ianya menjadi suatu mercu tanda kepada
orang-orang yang ingin mencapai kepada matlamat penghidupan yang
sebenarnya iaitu seperti yang disebutkan oleh Allah swt;
Hai
orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana
diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa
(Al-Baqarah:183)
Khususnya dalam kontek kita berpuasa disebutkan sebagai “La‘al lakum tattaqun”
maksudnya dengan berpuasa kamu akan memperolehi darjat ketaqwaan kepada
Allah swt. Menjadi suatu yang agak lumrah kepada insan, biasa disebut,
di hafal dan diingati kalimah ini “La‘al lakum tattaqun”, tetapi pernahkah, sampaikah kita ke tahap “tattaqun” itu bila sampai Ramadan dan berakhir Ramadan?
Sampaikah kita kepada apa yang nabi sebut kepada isteri-isterinya dan kepada sahabat-sahabatnya iaitu“Faya ‘ajaban liman adraka ramada na fala yughfarulah”, iaitu maksudnya “Alangkah
hairannya (ajaibnya) bagi orang yang telah sampai umurnya kepada
menjelang Ramadan, apabila habis Ramadan hairan kalau dia tidak
mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-dosanya”.
Tidak
ada insan yang tidak berdosa melainkan nabi yang maksom. Kita lihat
dizaman ini banyak perkara yang terpaksa kita telan dan kita tempuh.
Akibatnya kita terpaksa menerima kemurkaan-kemurkaan Allah swt. kepada
hamba-hambanya. Kita lihat dari bala bencana, musibah demi musibah, kita
lihat dari berbagai-bagai kejadian yang tidak menyenangkan menunjukkan
bahawa adanya kemurkaan Allah. Allah tidak akan murka melainkan kerana
besarnya dosa manusia. Kerana itu datang ramadan, memanglah boleh
menghairankan orang yang sempat hidup sampai Ramadan, apabila habis
Ramadan dosa dia tidak terampun.
Sebab itu Siti Aisyah radiaAllahhu anha ingin sangat untuk bertemua peluang dengan malam Qadar (Lailatul Qadar), dia bertanya kepada nabi “Bilakah berlaku malam Qadar?”. Nabi bertanya kepada Aisyah semula “Apakah kamu nak buat bila kamu bertemu dengan malam Qadar?”. Aisyah menjawab “Saya tak tahu” kemudian Aisyah bertanya lagi “Apakah yang patut saya buat bila bertemu dengan malam Qadar itu?”. Nabi berkata kepada Aisyah “Malam itu malam yang amat baik untuk beramal dimalamnya dan amat mudah dimakbul Allah doanya”. Aisyah bertanya lagi “Apakah doa yang paling baik untuk aku berdoa pada malam itu?” Nabi jawab “ Kalau kamu sempat berjumpa dan mengetahui malam itu ialah malam Qadar berdoalah
“Allah
humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah
dosa-dosa ku).
Sebenarnya Nabi dah tahu yang Aisyah itu akan masuk syurga ertinya
dosanya telah diampunkan oleh Allah tetapi kenapa Nabi masih menyuruh
Aisyah untuk memohon kepada Allah agar diampunkan dosa?. Sedangkan
Aisyah memang layak untuk tidak dimasukkan ke dalam neraka, hanya layak
ke syurga. Soal dosa dan pahala dia dah tak kisah sangat tapi nabi masih
menyuruhnya berdoa supaya Allah ampunkan dosa.
Saya nak kaitkan dengan satu kisah iaitu bila Allah bagi tahu kepada nabi Muhammad s.a.w. iaitu ada insan yang akan lahir dikalangan Tabiin (“Tabiin” maknanya satu kumpulan insan yang tidak sempat berjumpa dengan nabi tetapi hanya sempat berjumpa dengan sahabat nabi sahaja. Kalau orang yang sempat berjumpa dengan nabi, itu dipanggil “Sahabat”. Kalau orang yang lahir kedunia ini setelah nabi wafat tetapi sempat berjumpa dengan Sahabat ia dipanggil Tabiin).
Saya nak kaitkan dengan satu kisah iaitu bila Allah bagi tahu kepada nabi Muhammad s.a.w. iaitu ada insan yang akan lahir dikalangan Tabiin (“Tabiin” maknanya satu kumpulan insan yang tidak sempat berjumpa dengan nabi tetapi hanya sempat berjumpa dengan sahabat nabi sahaja. Kalau orang yang sempat berjumpa dengan nabi, itu dipanggil “Sahabat”. Kalau orang yang lahir kedunia ini setelah nabi wafat tetapi sempat berjumpa dengan Sahabat ia dipanggil Tabiin).
Nabi berpesan kepada Umar dan Ali, “Akan lahir dikalangan Tabiin
seorang insan yang doa dia sangat makbul nama dia Uwais al-Qarni dan dia
akan lahir dizaman kamu”
Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu
orang-orang yang telah disenaraikan sebagai “al-Mubasyirun bil Jannah”
iaitu mereka dah dijamin masuk syurga.
Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali, “Dizaman kamu nanti akan
lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah
cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dbesarkan di Yaman. Dia
akan muncul dizaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia mintak
tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”
Sama juga macam kisah Siti Aisyah tadi, Umar dan Ali bertanya kepada
nabi soalan yang sama iaitu “Apakah yang patut saya mintak daripada
Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? Nabi menjawab “Kamu mintak kepadanya
supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian”.
Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan nabi, mintak sesuatu yang
baik kepada mereka, nabi menjawab “Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah
swt.” Jadi topik al-Maghfirah (keampunan) ini menjadi topik yang begitu
dicari yang begitu relevan, hatta kepada orang yang telah disenaraikan
sebagai ahli syurga. Kalau logiknya ahli syurga macam dah tak perlu
kepada ampun dosa kerana mereka dah dijamin masuk syurga, tetapi tidak,
nabi masih tekankan supaya mintak Allah ampunkan dosa.
Siti Aisyah telah bertemu dengan malam Qadar, dia telah berdoa
sepanjang malam sampai ke subuh dengan doa yang nabi ajarkan iaitu
“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni”
(maknanya Ya Allah, Kamulah Tuhan yang sangat suka mengampun,
ampunkanlah dosa-dosa saya).
Memang benarlah firasat seorang nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di
zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Memang mereka tunggu dan cari
kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu
mereka dengan Uwais al-Qarni.
Dengan pandangan mata luar, tidak mungkin dia orang yang nabi
maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan insan-insan biasa atau
orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah menganggapkan
dia seorang yang akal tidak sempurna (wire short), sesuatu yang macam
tidak betul pada pandangan orang. Tetapi dia ada sesuatu…..
Asal usul Uwais al-Qarni
Dia asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang
tidak digemari. Walaupun dia sopak tetapi dia seorang yang soleh,
terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah
begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal
dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya
menjaga dia sampai dia dewasa.
Satu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk
pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan
mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji.
Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari
perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk
pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta
yang dipasang diatasnya “Haudat”. Haudat ini seperti rumah kecil yang
diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan,
selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan
yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.
Ibu Uwais semakin uzur maka ibunya mendesak dan berkata kepada anaknya
“Anakku mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu,
ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”.
Uwais mendapat suatu ilham, dia terfikir apa nak dibuat. Dia membeli
seekor anak lembu yang baru lahir dan dah habis menyusu. Dia membuat
sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah
tinggi (Dia buat rumah untuk lembu itu di atas bukit).
Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik
ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal”
untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya
dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu
makan.
Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dia ini gila.
Memang pelik, buatkan rumah untuk lembu diatas bukit, kemudian setiap
hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit.
Tetapi sebenarnya niatnya baik. Kalau lembu kita buat begitu pagi
sekali petang sekali daripada lembu yang beratnya 20kg, selepas enam
bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot (muscle) tangan dan badan
Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat
100kg turun dan naik bukit.
Selepas lapan bulan dia buat demikian telah sampai musim haji,
rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa
ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke
Mekkah dengan kedua tangannya. Dibelakangnya dia meletakkan
barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang
beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat
sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua
tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang
Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua
tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah pulang semula ke rumah dia di Yaman, Ibu dia berkata kepada dia
“ Uwais, apa yang kamu berdoa sepanjang kamu berada di Mekah?”. Uwais
menjawab “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa
ibu”. Ibunya bertanya lagi “Bagaiman pula dengan dosa kamu”. Uwais
menjawab “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu
redha dengan saya maka saya juga masuk syurga”.
Ibunya berkata lagi “Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan
sakit putih (sopak) kamu ini”. Uwais kata “Saya keberkatan untuk berdoa
kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah,
macam saya tidak bersyukur dengan Allah ta’ala”. Ibunya menanbah “Kalau
nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, Ibu perintahkan engkau
berdoa”.
Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan
berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibu dia minta supaya Allah sembuhkan
putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Tetapi kerana dia
takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa “Tolonglah Ya Allah kerana
ibu aku suruh aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan
tinggalkan sedikit”
Allah swt. sembuhkan serta merta, hilang putih sopak diseluruh badannya
kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling ditengkuknya. (Kalau
bagi nabi, baginda ada Khatam Nubuwah iaitu tanda kenabian, tanda pada
nabi bersinar) Tanda tompok putih pada Uwais sebab dia mintak agar
jangan dibuang kesemuanya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka nabi
sebut kepada Umar dan Ali akan tanda ini. Tandanya kamu nampak
dibelakang dia ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa
dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni.
Selepas tidak lama Uwais berdoa yang demikian, ibunya telah meninggal
dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia
telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya disisi Allah. Doa dia
cukup makbul hatta penyakit sopak pun boleh sembuh. Mengikut al-Quran,
Nabi Isa Alaihisalam yang pernah berdoa untuk kesembuhan penyakit sopak
dizamannya.
Berbalik kita kepada point asal, Sayidina Umar dan Sayidina Ali dapat
berjumpa dengan Uwais ini minta satu sahaja iaitu minta supaya doakan
supaya Allah swt. mengampun semua dosa-dosa mereka.
Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata “Aku datang
ini dari Yaman ke Madinah kerana aku nak tunaikan wasiat nabi kepada
kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. Aku datang ini nak
tunaikan wasiat itulah”. Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka
berdua.
Doa yang paling utama di malam Qadar
Seperti yang saya sebutkam dipermulaan tadi “Faya
‘ajaban liman adraka ramada na fala yughfarulah”, Memang hairan orang
yang dapat hidup sampai Ramadan ini, tetapi dosa dia tidak diampun.
Kalau malam ini malam Qadar, fokus kita selalunya memanglah nak minta
hal-hal keduniaan. Kalau kita dapat rasakan dalam perasaan dalaman
seorang insan kecil hamba Allah ini apa yang hendak kita mintak di malam
Qadar? Saya rasa orang tidak begitu berminat untuk minta supaya
diampunkan segala dosa, mereka akan minta yang lain pula, minta saham
naik, perniagaan laris, dapat kahwin lagi dua, kaya, mesti pilihan
mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, sedangkan “Wallah yuridul
akhirah”. Allah dan RasulNya lebih mengutamakan penghidupan akhirat
itulah yang paling mustahak sekali.
Selama ini pun kita tidak tahu bahawasanya terampunkah dosa-dosa yang
telah kita buat? walaupun kita rasa macam dosa itu Allah telah ampunkan.
Ada peluang yang macam ini iaitu malam Qadar atau berpeluang berjumpa
dengan orang-orang yang konfirm macam tadi iaitu doa-doa mereka makbul
seperti orang-orang yang soleh dan seumpamanya doa yang paling utama dan
besar diminta ialah minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa
kita.
Bukan kata orang lain sebagai contoh besar, hatta nabi yang dikatakan
“Ghoforollah hu mat taqadaman”, Allah ta’ala ampunkan dosa dia yang
telah lalu (jika ada) dan juga ampun untuk yang akan datang.
Tetapi kenapa nabi masih berdoa kepada Allah tiap-tiap hari tidak
kurang dari seratus kali iaitu “Astagh firruka humma waatubu ilaih”.
Sehari seratus kali , sembahyang baginda, berdoa panjang-panjang sampai
dikataka juga (hadith Aisyah) sampai bengkak kaki nabi. Sampai Siti
Aisyah berkata kepada nabi, “Ya Rasulullah, kenapalah sampai kamu
teruk-teruk beribadah hingga bengkak kaki, sembahyang lama-lama,
menangis lama-lama, tidakkah Allah telah ampunkan dosa kamu dahulu dan
kemudian?”. Nabi menjawab “Kalau demikian adanya mengapa aku tidak
menjadi hamba yang bersyukur”.
Syukur maknanya melakukan ibadah kepada Allah swt. Inilah yang saya
katakan tadi, datanglah sistem yang Islam kemukakan kepada ummah,
seluruh aktiviti-aktiiti ibadah, penumpuan kepada persiapan-persiapan
yang dikatakan “Wa tazau wadu” kesemuanya ditujukan ke arah pembersihan
diri, hati, akal dan budi daripada yang dipanggil “al-khush” (yang tidak
baik).
Al-Quran memberikan satu analogi iaitu Bumi kalau sudah cantik dan
subur dia mudah menumbuhkan pokok-pokok yang bermanfaat dan bagi bumi
yang kotor (bagi maksud tidak sesuai ditanam tumbuhan) seperti tempat
berbatu dan berpasir, tanam apapun tak tumbuh, kalau tumbuh pun dia tak
jadi seperti tempat yang lain.
Maksudnya sama seperti insan, kalau yang disimpan dalam diri kita ini
kotor (benda yang jijik) maka tidak akan keluar melainkan yang kotor
juga. Kalau dalam diri kita baik, dia akan menumbuhkan yang baik, amal
dia baik, kata-kata dia baik, akhlak dia baik, muammalah dia baik dan
dia dikatakan orang yang baik.
Allah itu baik, Dia tidak terima amalan melainkan amalan yang baik
juga. Sebab itu dari awal Islam datang dah ada sistem seperti contoh
ayat-ayat al-Quran yang awal turun surah Al-Mudatsir, firman Allah yang
bermaksud “Wahai orang-orang yang sedang tidur, bangunlah kamu beri
peringatan kepada manusia (maknanya bergerak dalam satu wadah
perjuangan, mengerakkan jiwa diri sendiri dan jiwa insan) dan kepada
Tuhanmulah kamu wajib membesarkanNya, jangan mengagungkan yang lain,
agungkan Allah swt. sahaja.
Caranya diberikan beberapa analogi seperti apa yang kamu pakai iaitu
pakaian biasa, rumah tempat tinggal, kereta yang dinaiki dan apa
sahajalah mestilah yang bersih, kamu kena sucikan dia. Sebab ini sangat
kena dengan ayat yang nabi hayati. Diantara pakaian yang nabi suka pakai
ialah pakaian putih yang melambangkan suci dan bersih. Walaupun
kadangkala nabi pakai warna merah dan hitam didalam peperangan tetapi
yang paling nabi sukai ialah warna putih.
Sebab itu kita lihat, pakaian haji putih, kain kafan putih (tak pernah
nampak lagi kain kafan warna hijau, kain kafan biru lagi tak pernah
nampak). Ditempat saya masjid-masjid gunakan kain putih sebagai alas
tempat sujud. Serban umumnya putih. Serban nabi putih kadangkala ada
yang hijau.
Apabila diluar memakai pakaian putih bersih maka didalam diri perlu
buang segala kekotoran. Islam mengajar agar diluar bersih sehingga
kedalam diri juga bersih. Kalaulah inilah yang nabi buat dari pada mula
memanglah bulan Ramadan ini yang utama ialah untuk membersihkan diri.
Dengan puasa yang kita buat, malam kita bertarawih, berdoa secara
bersistematik dari awal ramadan sampai akhir ramadan iaitu doa;
“Allah
humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah
dosa-dosa ku).
Kalau dibuat setiap malam dari awal ramadan sampai akhir ramadan
pastilah kita jumpa dengan satu malam yang mana malam ini ialah malam
Qadar. Sebab dia pasti datang setiap tahun dibulan ramadan. Kalau kena
malam itu maka sampailah tujuan tadi kita dapat memohon daripada Allah
swt. minta yang paling berharga iaitu bermohon agar Allah mengampunkan
semua dosa-dosa kita. Kalau bertemu demikian kita sampailah kepada
matlamat tadi iaitu “La’al lakum tat takun” dengannya kamu bertaqwa,
dengannya kamu sampai kepada matlamat yang dikatakan tadi.
“Ya ‘ajaban”,
memang menghairankan orang yang sempat datang Ramadan kepadanya dia
tidak manfaatkan ramadan itu untuk Allah ampunkan semua dosa-dosanya.
Semua krisis-krisis dunia, semua masalah yang insan hadapi didunia,
yang kita hadapi hari ini dalam semua masalah, pergaduhan, hutang yang
banyak, akan berakhir bila orang itu mati. Kita berjanji dengan orang,
bertelagah, bergaduh, semua krisis-krisis dunia ini kepada seorang insan
dia habis bila dia mati.
Tetapi krisis dosa dengan Allah ta’ala khasnya krisis keimanan, krisis
kerana kita menyimpan dosa yang melibatkan iman dan sebagainya, didunia
dia tidak menampakkan masalah tetapi sebenarnya ia akan bermula apabila
telah hampir nak mati, masuk kubur lagi masalah, alam barzakh lagi
masalah, sampai kepada alam mahsyar lagi bermasalah puncanya balik
kepada dosa tadi.
Sebab itu nabi telah bagi satu garis panduan yang cukup senang kita
faham. Kita tidak disuruh minta dimalam Qadar supaya turun emas dari
langit, minta agar dikasihani oleh semua orang, minta agar dijadikan
ketua selama-lamanya, untung berniaga, bukan itu yang patut diminta.
Sebaliknya nabi bagi contoh kalau ini dapat kamu capai walaupun dunia
kamu susah sekejap tetapi kamu akan berakhir krisis dunia ini bila kamu
mati.
Jika kamu ada dosa ini mati bermula suatu penghidupan yang perit, malah
dari sejak nak mati sekalipun sudah bermula, sampai kepada peringkat
orang-orang yang “Zalimi an fusu hum” orang-orang yang menzalimi
diri mereka dalam kehidupan ini kerana membiarkan dosa, banyak melakukan
dosa, tidak cuba untuk membuang dosa, bila nak mati akan datang
malaikat kepada mereka dengan pemukul untuk pukul muka, belakang hingga
ke punggung mereka. Ia bermula daripada nyawa nak keluar,
tergantung-gantung diantara langit dan bumi, diantara barzakh dengan
tidak barzakh, masuk kubur terseksa.
Sebab itulah nabi nak lepaskan kita daripada seksaan ini semua, nak
pastikan kepada isteri dia Siti Aisyah pun berpesan “Kalau kamu dapat
malam Qadar jangan minta yang lain selain daripada minta supaya
diampunkan Allah segala dosa”.
Ingatlah juga ketika nabi berpesan kepada orang yang dia sayangi iaitu
Umar (bapa mertuanya) dan Ali (menantunya) kalau kamu berjumpa dengan
Uwais al-Qarni mintalah supaya Allah ampunkan segala dosa kamu. Begitu
juga nabi berpesan kepada sahabat-sahabat yang lain supaya bermohon
supaya Allah ampunkan segala dosa.
http://madah-tazkirah.blogspot.com
Itulah sebaik-baik doa..
BalasPadam