SATU fakta yang menarik mengenai perkataan Alhamdulillah ialah ia
disebut di dalam al-Quran sebanyak 38 kali. Ini jelas menggambarkan
betapa Allah SWT maha layak dipuji kerana zat-Nya, sifat-Nya,
nikmat-Nya, rahmat-Nya dan panduan kehidupan yang diberikan-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka yang mana satu di antara
nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia
dan jin)? (ar-Rahman: 13)
Ayat di atas diulang sebanyak 31 kali di dalam surah ar-Rahman. Ini
menggambarkan betapa agungnya sifat ar-Rahman atau Maha Pemurah Allah
SWT dengan menyebut nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh-Nya. Mendustakan
nikmat-nikmat Allah SWT bermaksud apabila seseorang manusia itu kufur
terhadap Tuhan mereka dengan cara menyekutukan Allah SWT melalui
sembahan selain daripada Allah SWT.
Pengulangan ayat seperti di atas sudah tentu mempunyai hikmah.
Sesungguhnya, setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT itu adalah
untuk disyukuri. Kesyukuran itu hanya boleh dilakukan dengan mengabdikan
diri kepada Tuhan yang mengurniakan nikmat-nikmat tersebut.
Syeikh Muhammad Mutawalli Al Syarawi berpendapat, pengulangan ayat
di dalam surah ar-Rahman ini adalah kerana Allah SWT ingin menegaskan
kepada kita tentang sifat pemurah dan penyayang-Nya. Bagaimana kita
mendustakan nikmat ini sedangkan kita menikmatinya terus malam dan
siang?
Sabda Rasulullah SAW: Aku telah membaca surah ar-Rahman kepada
saudara kamu daripada golongan jin. Dan mereka adalah lebih baik
jawapannyan daripada kamu". Apabila aku membaca ayat, Maka yang mana
satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan
(wahai umat manusia dan jin)? Lantas para jin menjawab, Tidak ada satu
pun nikmat Tuhan kami yang kami dustakan. Maka bagi kamu segala
kepujian". (Riwayat Tarmizi)
Inilah juga yang sepatutnya ada dalam diri kita apabila kita
mendengar al-Quran yang mana perlunya kita berinteraksi dan
mentadabburkan maknanya. Apabila kita menyaksikan ahlu iman mengambil
sikap yang sama dengan apa yang dilakukan oleh jin apabila mendengar
al-Quran, umpamanya bila disebut nama Allah SWT, mereka membalas
Subahanallah. Apabila disebut nama Rasulullah SAW, mereka menjawab
Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW). Bila disebut syurga, mereka terus
memohonnya dan apabila disebut neraka mereka berdoa agar Allah SWT
menghindarinya.
utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan