Kelemahan dan ketidakupayaan diri dalam menyelesaikan masalah-masalah
yang menghimpit hidup tidak seharusnya menjadi sebab untuk meranapkan
tangga-tangga harapan bagi mengecap masa depan yang lebih cerah. Lemah
tidak menandakan kita perlu putus asa walaupun berasa diri sudah
kehilangan makna bagi meneruskan hidup anugerah Allah ini. Sekiranya
persepsi begitu diprogramkan dalam benak, senang sekali cara
penyelesaiannya. Tiadalah wujud istilah ‘berjuang’ dan ‘jihad’ dalam
kamus kehidupan seseorang muslim.
Seandainya seseorang itu
mempunyai kematangan dalam bereaksi dengan kesulitan hidup ini, ‘lemah’
akan diberikan kesimpulan agar ‘perlu usaha lebih gigih’ dan bukan pula
akan ditafsir sebagai ‘gagal’, bahkan seharusnya ditafsir sebagai ‘belum
berjaya’. Jika kita perhatikan betul-betul, bukankah istilah ‘gagal’
dan ‘belum berjaya’ terdapat perbezaan maksud yang ketara? Kata hukama’,
“Kegagalan sebenar bukan ketika kau jatuh dan tewas dalam suatu
usaha , tetapi ketika kau sudah berputus asa untuk bangkit kembali.”
Seringkali emosi kesedihan melupakan kita terhadap firman Allah ini,
“Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya.”
Meletakkan
daya keterbasan dalam usaha dan kegigihan merupakan satu tindakan yang
menyebabkan kita melihat ketidakupayaan diri itu sebagai suatu kelemahan
hakiki walhal tidak. Meskipun kita tidak menafikan antara bentuk
kelemahan manusia adalah mempunyai had dan batas daya upaya, tetapi
adakah kita tahu dimana had dan batas itu? Ternyata tidak. Kegagalan dan
kelemahan dalam perkara-perkara yang seolah-olah sulit untuk
diselesaikan tidak menandakan kita sudah sampai kepada had kita,
sebaliknya memberitahu kita dimana kesilapan yang perlu diperbaiki dan
diberi tambah baik untuk melepasi had sebelumnya. Daripada situ kita
akan melihat “Kesempurnaan manusia berselindung disebalik ketidaksempurnaannya.” Kerana kesedaran terhadap sifat tidak sempurna inilah mendorong kita untuk sentiasa menuju sempurna.
Cuba
kita mengkaji latar kehidupan orang-orang yang berjaya, mereka lebih
banyak menghadapi kegagalan berbanding orang-orang yang gagal! Ini bukan
sesuatu yang ironi, ini sesuatu yang masuk akal dan rasional. Hal ini
kerana mereka telah mengumpulkan tenaga dan kekuatan melalui pengalaman
yang banyak dan mengkaji serta belajar cara untuk mengatasi titik-titik
kelemahan tersebut dengan teliti bagi terus mencari jalan untuk sampai
ke puncak. Hal ini tidak lain dan tidak bukan memerlukan azam dan
semangat tanpa padam agar langkah-langkah menuju puncak itu sentiasa
konsisten.
Fikirkan pengajaran ini baik-baik. Kegagalan adalah
berpunca daripada kelemahan diri dalam mengendalikan sesuatu perkara,
walaupunbegitu kegagalan juga merupakan platform untuk kita mengatasi
kelemahan diri tersebut. Kita tidak akan jumpa seseorang yang mencapai
hidup senang tanpa pernah melalui sebarang kesulitan dan kegagalan.
Bahkan kegagalanlah yang mengajar mereka erti berdikari dan matang.
Jika
kita menyelak kembali satu per satu lembaran sejarah sekalipun,
manusia-manusia genius yang pernah dan masih wujud di atas muka bumi ini
tidak semua yang mengecap hidup senang dengan cara yang senang.
Sebaliknya ada hidup mereka lebih sulit untuk mencapai kesenangan.
Seorang gadis yang dahulu terkenal kerna geniusnya dia, bila dihantar
belajar ke luar negara menjadi pelacur. Seorang pemuda yang sangat
genius dalam matematik waktu kecilnya, apabila dijejaki kembali kini
hanya bekerja sebagai penebar roti canai. Genius tidak memberi kelebihan
pun seandainya diri tidak bijak untuk bersikap reflektif secara kreatif
dan kritis terhadap masalah dunia yang semakin mencabar. Tiada apa yang
mampu menjadikan kita istimewa melainkan usaha dan kegigihan. Allah itu
adil. Semua manusia adalah sama.
“Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum selagi kaum itu tidak berbuat usaha untuk mengubah diri mereka sendiri” Ar-Ra’ad 13 : 11
“Bulat tidak datang bergolek, pipih tidak datang melayang”,
pepatah ini jelas mengatakan bahawa beginilah lumrah dunia yang harus
ditempuh. Segalanya bergantung pada pilihan diri dan usaha kita sendiri.
Tiada rezeki dan kejayaan yang datang secara tiba-tiba. Usaha pula
perlu kepada keazaman dan tekad yang kuat. Paling penting keyakinan dan
kepercayaan kita kepada rahmat Allah yang sentiasa menaungi! Allahlah
yang beri senang dan susah. Justeru usaha yang gigih harus tidak
mengetepikan doa dan tawakal kepada Allah. Kejayaan juga bukan akan
kekal, pasti ia akan silih berganti dengan kegagalan. Dan akhir sekali,
kita pilih hendak ke Syurga atau Neraka berdasarkan apa yang telah kita
usahakan. Kita yang melukis takdir akhir kita.
Tidaklah Allah
menghidangkan semua ini untuk main-main namun Dia ingin menguji siapakah
di antara hamba-hambaNya ini yang betul-betul ikhlas mengabdikan diri
kepadaNya. Sekiranya Allah ingin menjadikan seluruh manusia ini hidup
selesa tanpa kesusahan, memperoleh iman tanpa kepayahan dan mujahadah,
hal itu tidaklah susah bagi Allah. Cuma nanti tiadalah beza manusia dan
malaikat. Sedangkan usaha, kegigihan dan mujahadah inilah yang
membuatkan kita lebih mulia daripada malaikat kerana kita mencari iman
melalui ilmu dan ketekunan diri dengan niat yang benar. Ya. Hanya niat
yang benar (kerana Allah) sahaja akan membuatkan manusia tidak putus asa
bagi mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Kerna pekerjaan dilakukan
semata-mata mencari keredhaan Allah, bukan demi kepuasan diri yang
sebenarnya cintakan dunia.
Wallahu Ta’ala Alam~
i lu islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan