Sabtu, 12 Mac 2016

Bedak talkum Johnson & Johnson selamat digunakan - Ketua Pengarah Kesihatan

Bedak talkum Johnson & Johnson selamat digunakan - Ketua Pengarah Kesihatan
Talkum tidak disenaraikan sebagai bahan larangan di dalam formulasi produk kosmetik dan digunakan dalam sesuatu sediaan kosmetik kerana mempunyai ciri seperti menyerap kelembapan, agen pelincir, penyejuk dan pembawa bahan pewangi. -Gambar fail
 
PUTRAJAYA: Formulasi bedak talkum yang dipasarkan di Malaysia oleh syarikat Johnson & Johnson mematuhi keperluan yang ditetapkan dalam Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bedak talkum diperbuat daripada talkum yang juga dikenali sebagai 'hydrated magnesium silicate' yang wujud secara semulajadi.

"Talkum boleh dikelaskan kepada gred industri dan gred kosmetik/farmaseutikal dan talkum gred kosmetik/farmaseutikal lazimnya lebih tulen dan tidak mengandungi asbestos (bahan yang dipercayai boleh menyebabkan kanser)," katanya.


Noor Hisham mengulas laporan media antarabangsa dan tempatan baru-baru ini serta kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang semalam berhubung bedak talkum dikaitkan dengan kejadian barah.

Menurut beliau, talkum tidak disenaraikan sebagai bahan larangan di dalam formulasi produk kosmetik dan digunakan dalam sesuatu sediaan kosmetik kerana mempunyai ciri seperti menyerap kelembapan, agen pelincir, agen penyejuk dan agen pembawa bahan pewangi.

Katanya, bahan itu digunakan secara meluas dalam produk kosmetik di seluruh dunia termasuk di negara Eropah, Kanada, Amerika dan Asia.

Sehingga kini, tiada sebarang kesan advers dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah yang melibatkan isu keselamatan penggunaan bahan tersebut di dalam produk kosmetik.

Di samping itu, katanya terdapat satu kajian kohort propektif daripada Women’s Health Initiative (WHI), yang mendapati tiada kaitan antara penggunaan talkum kosmetik dan risiko kanser ovari.

"Sebarang maklumat terkini yang berkaitan dengan isu keselamatan sesuatu produk akan dinilai dan Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan regulatori yang sewajarnya jika diperlukan.
"Kementerian juga akan terus prihatin dengan mana-mana kajian semasa yang dikeluarkan dan memantau keadaan dengan teliti untuk sebarang perkembangan terbaharu," katanya.
awani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...