Ahad, 20 Mac 2016

Bayi Susah Tidur Siang? 5 Cara Ini Boleh Membantu

tidur
Bayi anda meragam dan asyik menangis kerana mengantuk tetapi enggan tidur? Adakah anda pernah berhadapan situasi ini? Tidak semua bayi yang akan tidur walaupun mereka berasa mengantuk. Jadi, apakah yang patut ibu lakukan?

Mungkin anda boleh cuba teknik berikut jika si kecil jenis yang bermasalah tidur pada waktu siang.



1. Tidurkan bayi di tempat yang sama
Biasakan mereka tidur di tempat yang sama mereka tidur pada waktu malam. Secara tidak langsung ia membantu bayi memahami bahawa sudah tiba waktu tidurnya. Berikan bayi peluang untuk tidur di tempat yang sama sebanyak mana yang boleh. Jika bayi anda dihantar ke pusat penjagaan atau ke rumah pengasuh, pastikan dia tidur di tempat yang sama apabila dia berada di rumah

2. Tetapkan rutin
Rutin yang sama boleh membantu bayi mengetahui apa yang dijangka. Secara tidak langsung anda telah membiasakan bayi tentang rutinnya untuk tidur, mandi, bermain dan sebagainya. Dengan cara ini mudah untuk anda menidurkannya.

3. Tidurkan bayi apabila dia letih
Sebaiknya jangan tunggu bayi menangis dengan kuat sebagai tanda dia sudah semakin mengantuk. Tidurkan bayi apabila dia mula menunjukkan ciri-ciri sudah mengantuk seperti menggosok-gosok mata, merengek atau merenung kosong ke satu arah. Ini kerana apabila dia terlalu letih dan mengantuk, bayi semakin sukar untuk tidur.

4. Masa tenang berdua
Masa senyap dan tenang diperlukan oleh bayi untuk tidur tidak kira sama ada tidur malam ataupun tidur siang. Baca buku, menyanyi atau berzikir untuk menandakan waktu tidur sudah tiba boleh dilakukan sebagai petunjuk kepada bayi anda.

5. Ajar bayi tidur sendiri
Ia mungkin kedengaran sukar tetapi ia bukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan. Seawal usia tiga bulan, anda boleh mengajar bayi bagaimana menenangkan dirinya sendiri untuk tidur.

Ia boleh jadi dengan menghisap jari, memeluk selimut atau mainan kegemarannya atau sekadar menutup mata dan tidur apabila dia rasa letih. Sebaik sahaja bayi belajar untuk bergantung kepada dirinya sendiri, dia mungkin boleh tidur lebih lama.

Semoga salah satu cara tersebut berkesan kepada bayi anda dan tiada lagi masalah sukar tidur di siang hari. Ini kerana tidur yang cukup sangat penting dalam perkembangan sihat tumbesaran si comel.

Sememangnya mendisiplinkan bayi tabiat tidur yang baik memerlukan kesabaran dan masa yang panjang. Tetapi jika dapat dilakukan dengan betul semasa usia bayi, tidak mustahil anak anda akan ada pola tidur yang berkualiti pada masa akan datang.
pama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...