Jumaat, 11 Mac 2016

Kisah Mualaf Dan Daging Babi


Pengalaman Dan Coretan Aliya (Mualaf)

"Babi sedapkah?"
 
"Apa rasanya?"
 
"Mengapa orang Cina suka makan daging babi?"

Apabila saya menceritakan kepada suami cara memasak 'Tao-Yu Bak' (Daging Babi masak kicap), resipi yang diwarisi daripada nenek saya, wajahnya akan berubah, geli gelaman dan loya. Biasalah orang Melayu, dibesarkan dari kecil untuk membenci babi. Tapi bagi saya yang hidup makan daging babi selama lebih 3 dekad, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sudah tahu tekstur daging itu, dan sudah boleh bezakannya daripada daging ayam serta lembu.
 

Setiap kali juga, apabila ditujukan soalan tentang pemakanan daging ini oleh mereka yang baru memeluk Islam kepada mereka yang lahir Islam, kebiasaannya akan disuruh elak. Haram makan makanan tidak halal. Dosa besar.

Tapi bagaimana nak elak makan sekiranya mualaf itu masih tinggal dan bergantung kepada keluarganya yang bukan Islam, serta sudah menjadi kebiasaan makan bersama? Nak makan daging? Daging bagi keluarga Cina dan Hindu adalah daging babi, bukan daging lembu. Mana boleh makan, haram. Nak makan ayam yang tidak disembelih cara Islam, haram juga. 

Habis nak makan apa? Ikan? Tapi.. kata ustaz kalau makanan dimasak dalam periuk atau kuali yang tidak disamak tetap haram hukumnya. Tidak boleh dimakan.


Tao-Yu Bak


Habis, nak makan apa? 

Ahhh, dilema yang dihadapi ramai mualaf yang masih belum mengkhabarkan pengislaman mereka kepada keluarga masing-masing. 

Mengapa belum?

Kerana kebanyakan mereka golongan pelajar sekolah dan kolej, mahasiswa, atau yang tidak ada pendapatan tetap atau kediaman lain. Mereka yang bergantung kepada keluarga untuk sara hidup, pendidikan dan tempat perlindungan.

Bila mereka nak beritahu keluarga bahawa mereka dah Islam?

Entah, mereka masih mencari jalan. Masih berikhtiar untuk menyampaikan berita tersebut dengan lembut. Kerana tahu bahawa kelaurga tidak akan merestui pengislaman mereka.

Perlu mengambil masa, agar tidak terputus hubungan kekeluargaan. Agar ibu bapa yang sudah tua dan uzur tidak diserang sakit tenat akibat terkejut dan sakit hati dengan berita tergempar itu. 

Tapi bagaimana mereka nak hidup sebagai orang Islam kalau belum beritahu keluarga? Kalau sudah peluk Islam, kenalah beritahu. Haram makan makanan tidak halal. Wajib mengerjakan solat. Kena puasa pada bulan Ramadhan. Yang wanita, perlu jaga aurat. Apa status mereka?

Itulah masalahnya. Anda dilahirkan sebagai sebagai orang Islam, anda tak alami sendiri masalah mereka yang baru memeluk Islam. Mereka yang kita gelar 'closet Muslim' atau 'mualaf sembunyi' kerana belum mengisytiharkan pengislaman mereka. Ramai yang muda belia. Mereka berani kerana memeluk Islam setelah belajar Islam dan benar-benar yakin bahawa Islam agama benar, dan walaupun mereka mungkin menghadapi amcaman dihalau oleh keluarga masing-masing dan ditamatkan pembiayaan pengajian kolej atau universiti sekiranya keluarga mereka mengetahuinya.

Mereka ini semakin ramai tetapi kerana ada yang belum mendaftarkan diri sebagai orang Islam di jabatan agama Islam, kita tiada data. Tak dapat dikesan kecuali mereka sendiri memberitahu.

Makanan? Terpaksalah mereka pandai-pandai pilih makanan yang halal. Berusaha mengelak daripada makan daging babi bila bersama keluarga. Kita boleh dengan mudahnya berkata bahawa berdosa makan makanan yang tidak halal tetapi ingatlah bahawa mereka yang baru berstatus mualaf "sembunyi" tidak ada banyak pilihan, terutama bagi mereka yang keluarganya kuat beragama atau berpegang pada adat resam. Mengaku orang Islam bermakna bakal dihalau dari rumah, terputus hubungan kekeluargaan untuk sementara waktu, dan akan mengakibatkan keluarga sendiri dipulaukan dan dikecam hebat oleh jiran dan saudara mara yang juga bukan Islam.

Solat? Yang sudah belajar akan cuba lakukan secara sembunyi-sembunyi. Satu risiko. Yang muslimah, mungkin terpaksa solat dengan skaf panjang dan kain batik menggantikan telekong kerana kain telekong bukti nyata bahawa mereka sudah Islam. Yang belum pandai solat dan berisiko tinggi, hanya mampu berzikir dan berselawat. 

Puasa? Sama juga, yang dapat berpuasa akan berusaha untuk puasa. Yang sudah menjadi kelaziman makan tengah hari dengan keluarga, tahu-tahu sahaja. Sudah tentu mereka sedih kerana tidak mampu berpuasa seperti muslim yang lain. InsyaAllah, mereka akan bayar fidyah apabila berjaya hidup bebas nanti.

Sampai bila nak diamkan diri? Hidup dalam kepuraan? Mereka kena beritahu keluarga!

Sampai mereka bersedia untuk memberitahu. Atau sehingga Allah swt tentukan sendiri bahawa masanya sudah tiba untuk keluarga mengetahuinya. Kalau anda anggap hidup dengan membohongi keluarga tersayang sebagai satu kesalahan dan satu dosa yang tidak patut dilakukan oleh Muslim, bayangkan pula tekanan batin mereka yang melaluinya.
Kena pilih antara cara hidup Islam dan keluarga yang masih kafir. Menghitung hari sehingga mereka dapat berdikari dan bebas hidup sebagai orang Islam.

Saya pernah tujukan permasalahan ini kepada beberapa orang kawan dan ustaz yang saya kenali, yang lahir Islam. Jawapan mereka adalah perlu beritahu keluarga. Tak ada jalan lain.

Jawapan saya kepada mereka yang bertanya (pendapat saya), berusahalah hidup sebagai orang Islam setakat mana yang termampu. Sentiasa berdoa dan memohon ampun daripada Allah. Elakkan makanan yang tidak halal atau sekurang-kurangnya kurangkan pengambilan. Dapatkan sokongan moral dan nasihat mereka yang memahami agar diri tidak terlalu tekanan dengan kehidupan dua identiti ini. Sambil-sambil itu, berikhtiar juga agar dapat memberitahu keluarga tentang pengislaman masing-masing dengan cara terbaik. 

Kita yang sudah Islam selalu beranggapan bahawa tugas membantu golongan mualaf dan mereka yang berminat pada Islam adalah tugas dan tanggungjawab NGO dan agensi Islam. Tanggapan itu perlu dikikis kerana kerap kali, (maafkan saya) pertubuhan begitulah yang sering merosakkan nama baik Islam. Ada segolongan pegawai yang cepat membuat andaian (peluk Islam mesti nak kawin, mudah menghukum halal-haram, tak boleh itu dan ini, kena buat begini kalau tidak tak sah solat bla3), cakap tak serupa bikin (mewakili nama Islam tetapi bercakap kasar, acuh tak acuh dan tidak sabar).

Mualaf 'sembunyi' lebih memerlukan sokongan moral dan bantuan kewangan (bagi yang masih menuntut) supaya mereka lebih bersedia dan berani mengisytiharkan pengislaman mereka dengan lebih awal. Mereka tidak perlukan tekanan lagi dengan kita memberitahu bahawa tindakan mereka terus makan babi bersama keluarga dan meninggalkan amalan lain adalah berdosa.

Kita sering menganggap permasalahan mereka sebagai perkara lekeh dan kecil, yang dibesar-besarkan. Selalu kita tegaskan, kalau dah Islam kenalah buat cara Islam. Tak alami maka tak ketahui, seterusnya tak fahami, tak dapat berempati.

Ia sama seperti seorang yang tidak pernah dibedah, tentu sekali tidak akan tahu bagaimana sakit anggota badan setelah ubat bius habis, betapa susahnya menjaga luka agar tidak dijangkiti kuman. Hanya boleh membuat teori dan andaian. Mudah menyalahkan pihak lain dengan tuduhan sengaja mengada-ngada.

Janganlah kita golongan seperti itu. Letakkan diri kita di tempat mualaf 'sembunyi'. Sekurang-kurang yang boleh kita lakukan adalah mendoakan mereka agar Allah perkuatkan iman mereka. 

Sekurang-kurangnya mereka ini walaupun belum dapat mengisytiharkan diri sebagai orang Islam, mereka sudah beriman pada Allah swt. Mereka berusaha untuk mendalami Islam, makan makanan halal, mendirikan solat dan puasa. Tidak seperti golongan tertentu yang beridentitikan Muslim tetapi dengan rela dan sukacitanya menghirup arak, makan daging babi, meninggalkan solat dan berpesta makan pada siang Ramadhan.

Nabi s.a.w mengambil masa bertahun tahun lamanya uantuk membina keimanan dan akidah. Sedangkan pada waktu itu para sahabat masih lagi meminum minuman yang mengharamkan dan memakan makanan yang mengharamkan. Contohnya ada sahabat yang bersolat dalam keadaan mabuk tetapi Nabi s.a.w. tidak menegur sehingga Allah s.w.t. menurunkan ayat mengharamkannya.

Ramai penda'ii mengislamkan yang bukan Islam terus mengharap si Mualaf fi Qulub itu meninggalkan segala yang diharamkan dan terus pandai bersolat. Mereka ingin si-mualaf terus menjadi seperti orang orang Melayu disekeliling mereka. Masyarakat berterusan memberikan tekanan emosi dan mental keatas mualaf dan saudara baru. Masyarakat menjadikan saudara baru itu Melayu lebih dari Islam dari segi berpakaian, pemakanan, percakapan, tingkah laku dan sebagainya.

*sumber http://zharifalimin.blogspot.my/ / detik islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...