Selasa, 1 November 2011

Perkampungan Tradisional Gunung Keriang diserahkan kepada AHMSH

Oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR – Perkampungan Tradisional Gunung Keriang diberikan kepada Abdul Halim Muadzam Shah Holdings (AHMSH) untuk menyelenggara dan mengurus aset pelancongan tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, YB. S. Manikumar, ini diputuskan di dalam mesyuarat Exco dan satu majlis penyerahan produk ini oleh pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK) kepada syarikat itu.

“Dalam pada itu, ada beberapa permasalahan yang dihadapi oleh syarikat tersebut semasa penyerahan itu dibuat. Contohnya, seperti produk itu tidak diselesaikan sepenuhnya mengikut spesifikasi yang telah ditentukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pelancongan, YB. Dato’ Seri Dr. Ng Yen Yen berhubung Perkampungan Tradisional Gunung Keriang yang sehingga kini belum beroperasi walau penyerahan pusat budaya bernilai RM6.4 juta itu kepada Kerajaan Negeri dibuat sejak tahun 2009.

YB. S. Manikumar menjelaskan, pelbagai kekangan dihadapi untuk meneruskan kerja-kerja promosi dan meletakkan produk ini dalam industri pelancongan di negeri ini.

Walaubagaimanapun, katanya, syarikat AHMSH tidak pernah putus asa dan sentiasa memberi komitmen untuk menjayakan aspirasi Kerajaan Negeri bagi menghidupkan semula aktiviti-aktiviti pelancongan dipersekitaran perkampungan itu.

“Kita ingin melihat perkampungan itu menjadi salah satu tempat pelancongan di negeri ini dalam usaha mempertengahkan aset pelancongan yang unik ini kerana ia mampu menarik pelancong untuk datang ke sini,” ujarnya.

Tambahnya, sebarang cadangan ataupun elemen penambahbaikan amat diperlukan dalam usaha bersama-sama memajukan produk pelancongan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...