Sabtu, 12 November 2011

Pindah wakaf surau sudah dirujuk kepada Majlis Fatwa Negeri

ALOR SETAR - Cadangan pemindahan surau wakaf Salihiah Kanchut adalah selepas perkara tersebutdirujukkan kepada Majlis Fatwa Negeri Kedah dan ia tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya
 memandangkan surau tersebut adalah harta yang diwakafkan oleh individu tertentu.

Demikian penjelasan yang diberikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato' Ir Amiruddin Hamzah kepada Warta Darul Aman.

Menurut beliau, apabila cadangan pembangunan Kompleks Tunku Yaakob melibatkan tanah premis Madrasah Salihiah yang dijadikan surau maka beliau bagi pihak kerajaan negeri, berjumpa dengan Mufti Kerajaan Negeri Kedah yang mengetuai Majlis Fatwa; bagi mendapatkan pandangan.

Hasilnya, pihak jawatankuasa Fatwa yang bermuzakarah membenarkan surau tersebut dipindahkan ke lokasi lain dengan kaedah 'Istibdal' iaitu lokasi baru yang dipindahkan mendapat manfaat yang lebih besar dari lokasi asal.

"Contoh yang mudah ialah jika surau wakaf lama hanya dimakmurkan oleh 10 orang tetapi jika dipindahkan ia boleh dimakmurkan oleh 100 orang bersama lain-lain manfaat yang lebih besar, maka tempat wakaf asal itu boleh untuk dipindah atau ditukarganti ke tempat lain," ujar Amiruddin.

Apa yang berlaku terhadap surau Salihiah itu, kata Amiruddin, ia hanya menjadi tempat berjemaah untuk jumlah yang kecil iaitu para pekerja di sekitar itu sahaja. Surau tersebut tidak terletak di kawasan perkampungan atau taman perumahan.

Menurut Amiruddin, pihak kerajaan telah berunding dengan pemaju supaya membina sebuah surau dengan keluasan yang lebih besar (dari surau asal) dalam kompleks tersebut.

"Pihak pemaju telah bersetuju untuk membina surau tersebut di aras bawah kompleks bagi memudahkan umat Islam mengerjakan solat berjemaah serta lain-lain aktiviti," ujarnya.

Katanya, bagi pandangan Majlis Fatwa, oleh kerana tempat asal tersebut adalah surau, maka 'imej surau' hendaklah dikekalkan pada binaan kompleks baru bagi memaklumkan kepada umat Islam bahawa terdapat surau di situ.

"Hal tersebut juga turut dipersetujui oleh pihak pemaju," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, surau tersebut bukanlah ganti wakaf kepada surau asal. Ganti wakaf kepada surau asal akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam Kedah yang menjadi pemegang amanah kepada surau tersebut setelah diberikan pampasan oleh pihak pemaju sebanyak RM1.6 juta.

"Majlis Agama nanti yang akan mengenalpasti dan menguruskan tapak wakaf baru yang akan memberi manfaat lebih besar dari yang asal," katanya.

Mengenai kenyataan pihak pengurusan surau tersebut yang masih mempertahankan fatwa bahawa surau asal tidak boleh dirobohkan, Amiruddin memberitahu bahawa apabila terdapat fatwa baru yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa maka dengan sendirinya ia memansuhkan fatwa yang terdahulu.
warta kedah 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...