Khamis, 15 Disember 2011

Bersenam jauhkan osteoporosis


SELAIN pengambilan kalsium dan bersenam, pemeriksaan kekuatan tulang juga perlu dilakukan secara berkala untuk memastikan tulang sentiasa sihat.


SETIAP hari, sebanyak 74 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia akan menghabiskan masa duduk bermula dengan menaiki kereta ke pejabat, duduk bekerja dan di rumah ketika menonton televisyen.

Gaya hidup yang dikenali sebagai sedentari itu terkenal di negara-negara maju dan kini sudah mula merebak ke negara-negara membangun seperti Malaysia. Tahukah anda bahawa gaya hidup tidak sihat itu boleh menyebabkan obesiti, diabetes dan osteoporosis?

Osteoporosis adalah sejenis penyakit yang dipanggil pembunuh senyap kerana penghidapnya tidak akan dapat melihat kesan serta-merta tetapi, ia akan berlaku dalam satu tempoh masa.

Ia berlaku apabila tulang yang mengalami proses penguraian tidak sempat membentuk semula tulang kerana kurang penyerapan kalsium.

Menurut Pakar Perunding dan Pembedahan Ortopedik dan Trauma, Gleneagles Intan Kuala Lumpur, Dr. Chin Chee Howe, selain faktor semula jadi, terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan osteoporosis.

"Merokok, kurang mengambil makanan berkhasiat selain gaya hidup sedentari adalah faktor-faktor yang boleh menyebabkan osteporosis berlaku pada individu yang tiada sejarah penyakit tersebut," katanya dalam sebuah bengkel anjuran Fonterra Brands iaitu pengeluar susu Anlene di Bangsar, Kuala Lumpur.

Dalam bengkel tersebut, Chee Howe turut berkongsi cara untuk mengelakkan kehilangan jisim tulang iaitu dengan mengamalkan diet yang seimbang dan gaya hidup yang sihat.

"Kita perlu bersenam secara sederhana, mengamalkan tabiat makan yang sihat dan memastikan kita mendapat keperluan kalsium yang mencukupi," terangnya.

Terangnya, dengan berjalan selama 30 minit sehari dapat membantu tulang mengurai dan membentuk semula. Mengambil susu berkalsium tinggi atau pelbagai produk tenusu adalah cara paling mudah.

Dinasihatkan supaya setiap individu mengambil dua gelas susu setiap hari yang mempunyai sukatan empat skop susu bagi setiap 100 milimeter air.

Pada bahagian akhir bengkel tersebut, para hadirin turut membuat pemeriksaan kekuatan tulang secara percuma dan mendapat nasihat untuk memastikan tulang sentiasa sihat. - ADLAN JAAFAR

kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...