Khamis, 14 Februari 2013

Kematian Akibat Denggi Mungkin Meningkat


Kematian Akibat Denggi Mungkin Meningkat 
Kementerian Kesihatan memberi peringatan kes kematian akibat wabak denggi di negara ini akan terus meningkat sekiranya masyarakat dan semua pihak tidak memulakan usaha membersih dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan masing-masing.
 Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, peringatan itu berikutan kes kematian akibat wabak itu didapati meningkat sejak kebelakangan ini dengan ketara apabila tiga lagi kematian dicatatkan pada minggu ini iaitu dua di Johor dan satu di Kuala Lumpur.





“Peringatan ini juga dibuat kerana kadar pembiakan nyamuk aedes pada minggu lalu didapati meningkat sebanyak 3.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Kematian yang berlaku di Johor dan Kuala Lumpur perlu dijadikan sebagai iktibar untuk masyarakat memerangi nyamuk aedes habis-habisan. Jika usaha membersihkan kawasan dan menghapuskan tempat pembiakan aedes tidak dilakukan. kemungkinan kes dan kematian terus meningkat,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Lokman Hakim berkata, kes kematian baharu di tiga lokasi tersebut melibatkan dua lelaki berusia 59 dan 60 tahun yang merupakan seorang pesara dan pekerja am manakala seorang lagi mangsa yang maut ialah suri rumah berusia 77 tahun.

Menurutnya, siasatan di kawasan tempat tinggal mangsa iaitu di Bandar Baru Permas Jaya dan Taman Pasir Putih di Johor serta Taman Desa Cheras, Kuala Lumpur mendapati banyak tempat pembiakan aedes di sekitar kawasan kediaman berkenaan.

Jelas beliau, punca pembiakan adalah daripada sampah yang dibuang merata-rata dan analisa mendapati 89 peratus pembiakan ditemui di luar rumah iaitu terdiri daripada bekas plastik mewakili 18 peratus tempat pembiakan, tong (15 peratus), tayar (sembilan peratus) dan baldi (enam peratus).

“Ia kebanyakannya dijumpai di kawasan kediaman yang mewakili 55 peratus tempat pembiakan, tanah lot kosong (16 peratus), sekolah (tiga peratus) dan tempat pembuangan sampah (dua peratus),” tambah beliau.
Lokman Hakim seterusnya berkata, oleh kerana punca pembiakan tidak dapat dihapuskan maka saban hari kes denggi terus berlaku dan bagi tempoh 3 hingga 9 Februari lalu sebanyak 493 kes demam denggi dilaporkan berlaku di seluruh negara iaitu peningkatan sebanyak 32 kes berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, tujuh negeri yang menunjukkan peningkatan kes adalah Selangor sebanyak 14 kes, Kelantan 10 kes, Kuala Lumpur dan Putrajaya lapan kes, Kedah tujuh kes, Terengganu tiga kes, Sarawak dua kes dan Melaka satu kes.

“Terdapat sebanyak 77 lokaliti wabak denggi di seluruh negara dengan tiga lokaliti wabak tidak terkawal iaitu di USJ 11/14 Subang Jaya, Petaling, Selangor dan Kuaters Kerajaan Jalan Duta serta Jalan Tiong Hua di Kuala Lumpu,” katanya lagi.
mynewshub
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...