PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Jumaat
menjelaskan pengharaman buku komik 'Ultraman The Ultra Power' dibuat
kerana kandungannya merujuk watak Ultraman King yang digelarkan sebagai
“Allah”.
Menurut Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran KDN, kandungan
seperti itu dikhuatiri boleh merosakkan akidah anak-anak umat Islam
dengan menyamakan “Allah” dengan Ultraman.
Dan jelas Bahagian itu lagi, oleh kerana watak ultraman menjadi
kesukaan kanak-kanak, kandungan yang merujuk watak Ultraman King sebagai
“Allah” akan dikhuatiri akan memudaratkan ketenteraman awam dan
menggemparkan fikiran orang ramai.
Bagaimanapun jelas KDN, pengharaman berkenaan hanya dikenakan
terhadap terbitan ‘Ultraman The Ultra Power’ sahaja tanpa melibatkan
komik atau watak ultraman lain.
"Alasan kenapa buku ini dikenakan perintah larangan adalah kerana
kandungan buku itu menggunakan watak Ultraman King yang digelarkan
sebagai “Allah”.
"KDN mengenakan perintah larangan terhadap bahan penerbitan ini
disebabkan watak Ultraman menjadi idola kepada kanak-kanak yang boleh
mengelirukan pemikiran kanak-kanak terhadap sifat “Allah” yang disamakan
dengan Ultraman King.
"Kalimah Allah merupakan kalimah suci bagi umat Islam di Malaysia.
Kalimah Allah juga merupakan kalimah sensitif dan boleh mencetuskan
provokasi bagi umat Islam sekiranya disalahgunakan oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab jika tidak dibendung. Ia boleh memudaratkan
ketenteraman awam dan boleh menggemparkan fikiran orang ramai," demikian
menurut kenyataan itu.
Buku berbahasa Melayu itu adalah terbitan Resign Publications, manakala pencetaknya dibuat oleh Network Printers.
Mengikut kenyataan tersebut, warta perintah larangan berkenaan
berkuatkuasa pada 18 Februari lalu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin
Cetak dan Penerbitan 1984.
“Adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak
dan Penerbitan 1984 sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport,
menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar,
mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya
bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan,"
kata kenyataan itu.
Pihak yang disabitkan melakukan kesalahan boleh dikenakan penjara
tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau
kedua-duanya sekali.
mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan