Maksud kekayaan yang biasa kita baca datangnya daripada hati. Kekayaan sebenar adalah suatu kekayaan yang akan buat kita rasa kaya walau belum kaya. Kita masih senyum dan gembira saat kita tidak punya banyak harta.
“Bukan kekayaan itu, dengan banyakknya kita punya kaya, harta yang disimpan, bukan itu (tetapi) orang yang kaya ialah hatinya kaya. Dengan yang ada cukup makan hari ini. Alhamdulillah, esok (sentiasa) ada rezeki saja.” – Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid



Kisah Penulis Cabuk Menjadi Usahawan Sibuk

Dulu, ada kenalan yang makanannya hanya bijiran, Milo dan pisang. Ketika belajar di kampus, sebungkus nasi tidak dapat dia beli. Kesusahan mengajar dia erti berdikari. Mencari dan mendapatkan apa-apa peluang untuk buat duit. Andai dibandingkan dengan orang lain, kehidupannya tidak sesusah mana.

Namun, dia adalah seseorang yang tidak suka meminta duit daripada ibu bapa. Dia lebih suka berusaha sendiri. Lama-kelamaan setelah 3 tahun memulakan perniagaan, dia mula menemui kekuatan dalam dirinya iaitu penulisan.

Dengan penulisan, dia memulakan perniagaan. Daripada 3 angka sehingga 5 angka hasil daripada penulisannya dia pernah capai. Namun, semakin lama dia sedar yang apabila dia semakin banyak duit, dia menjadi orang yang kedekut. Kedekut untuk bersedekah.

Dia adalah pengguna Apple – Iphone, Macbook Air. Ketika dia mempunyai laptop murah yang bukan jenama Apple, dia tidak kisah andai tinggal sahaja di mana-mana laptop itu. Selepas menggunakan barang-barang mahal, dia tidak tenang selagi barang itu tiada berdekatan dengannya.

Dalam hatinya sentiasa ada kegusaran dan ketakutan,

“Barang itu hilang.”

Hanya apabila barang itu berdekatan di sisinya, dia akan tenang. Bukankah itu antara sindrom (petanda) kemiskinan jiwa? Walau dia ada harta (wang dan barang-barang yang mahal), jiwanya tidak tenang kerana risau akan kehilangan barang-barangnya yang bernilai.

Sumber Kekayaan Sebenar

Ia terletak kepada sistem kepercayaan kita. Contoh, andai kita beri kanak-kanak kecil antara RM100 dengan gula-gula, yang mana satu mereka akan ambil? Kebiasannya, mereka akan mengambil gula-gula. Kerana itu sistem kepercayaan mereka. Mereka percaya gula-gula itu lebih bernilai daripada RM100.
Berlainan untuk manusia dewasa. Sistem kepercayaan mereka berkata, RM100 lebih bernilai daripada gula-gula itu.

Cara Perbaiki Sistem Kepercayaan

Antara perkongsian dalam Seminar Ibrah Surah Al Khaf oleh Akademi Sinergi Ikhlas adalah,
Sayyid Qutb di dalam Tafsir fi Dhilal al-Quran menyatakan bahawa Surah al-Kahf membentengi manusia, daripada fitnah Dajjal kerana ia menjalankan tiga fungsi berikut:
  • Membetulkan kepercayaan (تصحيح العقيدة)
  • Membetulkan cara melihat dan berfikir (تصحيح منهج النظر و الفكر)
  • Membetulkan sistem nilai berteraskan kepercayaan (تصحيح القيم بميزان العقيدة)
“Andai tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua.”
Bagi mereka yang baru menjinakkan diri dengan surah al-Kahf, andai tidak mampu habiskan satu surah, memadai mulakan untuk konsisten 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir. Apabila telah sebati, tingkatkan peringkat demi peringkat.
Oleh sebab, perubahan yang dilakukan secara drastik ada potensi tidak kekal lama.
Nabi S.A.W bersabda: “Barangsiapa yang menghafaz 1-10 ayat dari surah Al-Kahfi di pelihara dan di selamatkannya dari Fitnah Dajjal.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, An-Nasaie)
Pada hadits yang diriwayatkan dari Imam Ahmad dari Abu Darda r.a bahwa Nabi S.A.W berkata:
“Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.”
 http://www.notapositif.com