Assalamualaikum , beruntunglah jemaah haji yang terpilih ALLAH untuk tahun 2014 apabila Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan wukuf jatuh pada hari Jumaat yang diyakini bakal menjadi Haji Akbar. Haji Akbar ini adalah haji yang ditunggu umat Islam seluruh dunia. Para ulama’ menyatakan bahawa wuquf di Arafah yang jatuh pada hari Jumaat membawa kebaikan. Antara kebaikannya adalah seperti berikut:
- Haji yang dilakukan adalah seumpama haji yang telah dikerjakan oleh Rasulullah SAW kerana ketika Nabi menunaikan haji wada’ , wuquf di Arafah jatuh pada hari Jumaat.
- Jumaat merupakan penghulu bagi segala hari dan ia merupakan saat dan waktu yang doa seseorang mudah diperkenankan.
- Hari Arafah merupakan hari ‘raya’, dan begitu juga hari Jumaat dianggap sebagai hari ‘raya’. Jadi apabila Arafah berlaku pada hari Jumaat, maka sudah tentu kebaikannya amat banyak.
“Dan inilah satu makluman dari Allah SWT dan Rasul-Nya kepada manusia pada hari Haji Akbar, bahawa Allah SWT melepaskan diri dari perjanjian dengan orang Musyrikin” – Surah at-Taubah ayat 3
Ibn al-Qayyim telah menyenaraikan beberapa kebaikan yang terdapat pada hari wuquf yang jatuh pada hari Jumaat. Antaranya ialah:
- Bertemunya dua hari (Arafah dan Jumaat) yang merupakan sebaik-baik hari.
- Hari yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.
- Bersamaan dengan hari wuquf Rasulullah saw ketika mengerjakan haji wada’.
- Pertemuan besar manusia di Arafah pada hari wuquf, ditambah pula pertemuan pada hari Jumaat untuk khutbah dan solat Jumaat.
- Kedua-dua hari tersebut merupakan hari ‘raya’.
- Ketaatan dan amalan soleh yang dibuat pada hari Jumaat mempunyai nilaian dan kelebihannya yang tersendiri.
- Bersamaan dengan Hari Perhimpunan Agung di akhirat kelak. Rasulullah saw juga telah menyatakan bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat.
Berdasarkan tulis Ustaz Noehas dalam entrinya “Haji Akbar Haji Mabrur” , Para Ulamak mempunyai banyak pendapat tentang maksud dari haji akbar. Semua pendapat tersebut berasaskan hujah masing-masing dan termasuk dalam kategori khilaf muktabar yang boleh diterima. Bersyukur kepada yang mendapat peluang mengerjakan Haji Akbar dan paling bersyukur apabila ALLAH pilih untuk kembara rohani membersihkan jiwa menyempurnakan rukun Islam yang ke lima. Bukan semua yang mempunyai keinginan tinggi untuk berkusut masai mengerjakan ibadah haji dipilih oleh ALLAH kerana itu kepada yang terpilih tiada nilai yang boleh dinilai dengan wang ringgit yang dibayar.
Semuga semua jemaah haji yang dipilih ALLAH mendapat haji Mabrur dan mendapat keampunan daripada Maha Esa. Kepada yang tidak terpilih berazamlah kita untuk menyempurnakan ibadah korban biar pun hanya satu bahagian lembu sahaja. Semuga pengorbanan kita yang sedikit itu bakal dilihat terlalu besar di sisi ALLAH.
denai hati
Tiada ulasan:
Catat Ulasan