Sejak
awal munculnya alat bateri tambahan atau ‘power bank’ bagi memudahkan
pengguna telefon mudah alih untuk membawanya ke mana-mana, harganya
tidaklah murah dan kualitinya masih terjaga. Namun makin banyak
permintaannya,Kita melihat makin banyak pula pengeluar yang cuba menipu
dengan mengeluarkan produk sama tapi kualitinya ke laut. Paling penting,
harganya jauh murah tapi cuma tahan paling lama setahun saja.
Teringat kata-kata seorang penjual
telefon mudah alih di tempat yang sering kali penulis pergi, “Kalau nak
beli ‘power bank’, biar beli yang ‘ori’ (asli) dan jangan kedekut keluar
duit lebih sikit sebab ia tahan lebih lama. Memang banyak yang murah
tapi semua pakai sekali saja sudah rosak.”
Memang tak dinafikan kerana penulis
sendiri pernah terjebak dengan membeli dua jenis ‘power bank’ murah yang
kedua-duanya hanya bertahan paling lama tiga bulan saja. Kemudian ada
saja masalah yang timbul termasuk tidak boleh lagi mengecas telefon.
‘Power bank’ ialah peranti yang direka khusus untuk membantu meningkatkan jangka hayat ketahanan bateri peranti mudah alih terutamanya telefon pintar dan tablet. Peranti ini memiliki fungsi untuk menyimpan kuasa bergantung pada kapasitinya.
Fungsi ‘power bank’ ini juga selalu diistilahkan sebagai pengecas mudah
alih yang boleh diusung ke mana-mana dan membantu mengecas peranti mudah
alih tanpa memerlukan elektrik. Kemampuannya untuk menjadi pembantu
ketika pengguna mengalami masalah kehabisan bateri sudah tentu menjadi
pilihan utama golongan remaja yang langsung tidak boleh berenggang
dengan telefon bimbit masing-masing.
Dengan perkembangan pesat pengguna yang memiliki peranti mudah alih,
industri ‘power bank’ ini turut ikut sama bertumbuh dengan kadar yang
mengejutkan.
Faktor utama yang sepatutnya kita semua ambil kira ketika membeli ‘power bank’ ialah kualiti baterinya kerana terdapat banyak sangat jenama cap ayam di pasaran sekarang. Hati-hati kerana ada kes yang pernah dilaporkan bateri telefon bimbit meletup gara-gara kualitinya yang langsung tak terjamin.
Kebanyakan orang memilih ‘power bank’ kerana harganya murah tapi tidak mengambil berat mengenai sel bateri yang digunakan. Sel bateri akan menentukan berapa lama bank kuasa anda akan terus hidup.
Faktor keselamatan yang terdapat pada ‘power bank’ itu pun sewajarnya kita ambil kira. Tanyalah dulu atau paling tidak baca pada kotak ‘power bank’ itu dulu sama ada ia ada perlindungan litar pintas ataupun tidak kerana banyak kes kerosakan berlaku berpunca daripada litar pintas.
Baca tip membeli ‘power bank’ untuk memastikan kamu tidak tertipu. Kalau malas sangat, apa kata anda baca artikel Gen Y hari ini yang berkongsi beberapa perkara untuk kamu tahu sebelum beli ‘power bank’. Kesilapan membeli ‘power bank’ bukan saja mampu membuatkan kamu rugi, malah mungkin gajet kamu mungkin akan rosak dan paling penting ialah keselamatan kamu sendiri.
Apa anda perlu tahu?
Jenama. Secara kasarnya, pilihlah jenama ‘power bank’ yang sudah dikenali di seluruh dunia. Ini kerana di pasaran Malaysia khususnya sudah muncul banyak jenama yang agak meragukan. Seboleh-bolehnya, pilih jenama yang memiliki pensijilan UL untuk lebih kepastian dan keselamatan.
Rujuk terlebih dulu syarikat pengeluar atau kilang yang menghasilkan ‘power bank’ yang bakal kamu pilih sama ada benar syarikat itu memiliki kepakaran dan industri bateri atau tidak. Ini untuk mengelakkan kamu terbeli ‘power bank’ daripada syarikat yang tidak sahih kewujudannya.
Kualiti bukanlah penentu kepada prestasi ‘power bank’ itu sendiri, tapi ia akan memberi kesan kepada kepantasan dan ketepatan memenuhkan bekalan kuasa. Selain itu, jika kualiti ‘power bank’ itu sendiri sedia maklum di tahap sederhana, ia akan merosakkan kapasiti bateri pada peranti mudah alih kamu.
Untuk keselamatan, cuba pilih ‘power bank’ yang memiliki jaminan sekurang-kurangnya setahun. Jaminan itu juga perlu diteliti berkaitan terma dan syarat. Dengan itu, semasa pembelian semak di manakah boleh kamu menghantar ‘power bank’ dengan jaminan jika sebarang masalah timbul.
Sesetengah ‘power bank’ dipasarkan dengan ciri tambahan. Ini akan memberikan nilai tambah kepada ‘power bank’ itu. Ciri tambahan seperti port tambahan dan sebagainya perlu juga diambil kira selagi tidak menjejaskan fungsi utamanya.
Strategi perniagaan ‘power bank’ di pasaran ialah mengumpan pengguna dengan kapasiti yang besar tapi dijual pada harga murah. Apa yang penting, pilih kapasiti ‘power bank’ mengikut keperluan dan bukan keinginan. Ini membantu untuk mengawal rasa ingin membeli dengan cepat.
Model ‘power bank’ ialah persoalan terbesar yang akan bermain di fikiran setiap bakal pengguna. Dengan lambakan model ‘power bank’ di pasaran, pilih mengikut kesukaan kamu termasuklah dari segi saiz, fizikal, binaan, warna dan sebagainya setelah mengambil kira maklumat di atas.
Teliti mengenai maklumat bateri pada ‘power bank’ anda di nota pemberitahuan dalam kotak. Cuba dapatkan kepastian daripada pengedar yang bateri itu adalah tulen dan bukan bateri diguna semula. Rujuk kepada pelekat pemberitahuan berkenaan ketulenan bateri pada ‘power bank’ itu.
Jika boleh, pilih ‘power bank’ yang memiliki ciri keselamatan khusus yang mampu melindungi peranti mudah alih dan kamu sendiri. Usah segan bertanya kepada penjual adakah ‘power bank’ ini memiliki ciri keselamatan seperti perlindungan litar pintas, pengecasan berlebihan atau suhu.
Soal indikator, output, plug, kabel yang asli dan beberapa aspek teknikal dan perisiannya perlu kamu ambil tahu. Apa kata luangkan masa lebih lama di kedai untuk membelek kotak ‘power bank’ ini dengan teliti. Baca dan fahamkan setiap inci perincian dan peralatannya.
Tinjau harga ‘power bank’ dengan kapasiti tertentu terlebih dulu sebelum mula memantau pada pengedar atau penjual. Pastikan kamu sudah memiliki senarai secara kasar harga yang sepadan dengan kapasiti ‘power bank’ yang mahu diberli. Untuk itu, kamu masih boleh menilai adakan ia berbaloi dengan apa yang kamu mahukan.
Sama seperti ketika membeli peranti mudah alih lain seperti telefon pintar atau tablet, anda perlu lebih prihatin mengenai set yang ditawarkan secara percuma oleh pengedar ‘power bank’ itu. Contohnya, set lengkap untuk ‘power bank’ merangkumi A/C adapter, penyambung kabel, lampu indikator dan lain-lain untuk menyokong prestasi ‘power bank’ itu.
Kalau semua ini kamu pandang serius, sudah tentu kamu tidak akan tersalah memilih ‘power bank’ yang benar-benar berkualiti untuk kegunaan telefon bimbit kamu!
mummynemo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan