Khamis, 18 September 2014

Menarik - Hakikat Bismillah

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
 
OLEH kerana telefon bimbit yang kebetulan terjatuh daripada poket seluar telah menyelamatkannya daripada berlaku kemalangan yang mungkin meragut nyawa.

Berkongsi pengalaman itu, Khairul Nizam Amat Zaini, 30, berkata, kejadian berlaku ketika beliau ingin memulakan perjalanan menaiki motosikal selepas berhenti di sebuah lampu isyarat untuk menuju ke tempat kerja.

Siapa sangka telefon bimbit tersebut menjadi penyebab yang menyelamatkan nyawa penulis buku itu daripada dilanggar oleh sebuah kereta dari arah bertentangan yang melanggar lampu isyarat merah dan dipandu laju.

“Hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu yang hampir dilanggar kereta itu. Oleh kerana mengejar lampu isyarat kuning sebelum bertukar merah, kereta itu dipandu sangat laju.



“Mujur telefon bimbit yang saya letakkan di dalam poket seluar secara tiba-tiba terjatuh membuatkan saya terpaksa berhenti daripada terus berjalan setelah lampu isyarat bertukar hijau. Saya beristighfar panjang kerana mungkin kehilangan nyawa jika dilanggar kereta itu.

“Bila difikir-fikirkan, mungkin ia berlaku secara tidak sengaja, tetapi kejadian itu lebih meyakinkan saya bahawa Allah SWT ingin melindungi saya daripada kecelakaan tersebut melalui kelebihan amalan kalimah Bismillah yang saya amalkan,” kongsinya kepada Mega, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mempercayai tiada yang berlaku secara kebetulan, beliau berkata, segala perkara yang berlaku merupakan ketentuan daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, namun boleh diubah dengan meminta pertolongan dan ihsan daripada-Nya.

“Telah menjadi amalan saya sejak kira-kira dua tahun yang lalu, saya akan membaca kalimah Bismillah berserta surah tiga Qul apabila ingin keluar dari rumah atau melakukan apa sahaja dengan berharap perlindungan daripada Allah SWT.

“Alhamdulillah, walaupun kejadian kecil tetapi cukup bermakna dan membuatkan saya lebih yakin dengan kelebihan mengamalkan kalimah Bismillah sebagaimana yang diceritakan turut berlaku kepada pada ulama dan nabi terdahulu,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, bukan mengharapkan fadilat untuk melakukan amalan tersebut, sebaliknya menyakini amalan itu merupakan tuntutan untuk mencari keredaan daripada Allah SWT sebagai hamba-Nya.
Tiada yang mustahil

Kedengaran agak tidak masuk akal, namun pelbagai kisah dan keajaiban yang diceritakan berlaku terhadap individu terpilih yang mengamalkan kalimah Bismillah dalam kehidupan harian diakui benar berlaku dengan izin daripada Allah SWT.

Ahli Panel Majlis Tareqat Sufiyyah (Jalsah Turuq Suffiyyah), Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Dr. Jahid Sidek berkata, mungkin kebanyakan masyarakat umum menganggap perkara biasa, namun bagi golongan ulama dan sufi menyakini kalimah itu merupakan amalan yang penting dan istimewa.

Malah ia juga tambahnya, menjadi faktor utama yang membolehkan seseorang mencapai hakikat rukun Islam dan rukun iman sebenar dalam mencapai darjat insan sempurna yang mempunyai penuh sifat kehambaan.

“Kalimah Bismillah inilah yang pertama sekali diajarkan oleh Malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW pada pertemuan pertamanya ketika baginda sedang mengasingkan diri di gua Hira’ menerusi surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5.

“Jika difahami, konsep Bismillah yang bermaksud dengan nama Allah dengan merenungkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba berdoa di setiap pagi dan petang “Dengan nama Allah, yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi dan juga di langit dan Dia (Allah SWT) Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” baca tiga kali, maka tidak akan ada yang memudaratkannya. (riwayat Tirmizi)

“Hadis ini menjelaskan, seseorang mukmin yang seluruh zahir dan batinnya berserta dengan nama Allah SWT akan sentiasa dipayungi keselamatan dan kesejahteraan, sehinggakan tiada makhluk di bumi atau di langit mampu memudaratkannya,” katanya.

Jahid berkata, sekurang-kurangnya amalan menyebut nama Allah SWT dapat memberi ketenangan hati dan fikiran orang yang mengamalkannya, sekali gus memberikan keselesaan dan kesihatan kepada tubuh badan.
“Tahap merasai hakikat kalimah Bismillah itu berbeza mengikut amalan individu. Lebih banyak, yakin dan fokus dia bertafakur maka lebih tinggi tahapnya di sisi Allah SWT. Dan pada ketika itu, akan lahir perasaan dalam rohani bahawa semua kejadian turut berzikir menyebut nama Allah SWT.

“Kesannya, hati akan merasai mutmainnah (tenang), manakala seluruh tubuh pula akan menjadi lembut, sihat dan selesa. Begitulah kelebihan bertafakur dengan menyebut mana-mana sifat kesempurnaan Allah SWT,” ujarnya.

Rawat penyakit

Dalam pada itu, Jahid yang juga pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah berkata, menggunakan kalimah Bismillah juga, beliau merawat pelbagai penyakit pesakit yang datang ke pusat rawatannya iaitu antaranya penyakit batu karang.

Ia kongsinya, dengan membacakan sebanyak 99 kali kalimah Bismillahirrahmanirrahim kepada 10 botol air mineral bersaiz 1.5 liter dan juga tiga biji tembikai yang dijadikan jus untuk diminum dengan kaedah dan dalam tempoh yang tertentu.

“Menyebut Bismillah adalah salah satu kalimah yang penting ketika ingin menjalani rawatan. Contohnya, dengan hanya membaca kalimah ini, ia dapat menyembuhkan penyakit batu karang secara semula jadi.
“Dalam kes terbaru, seorang yang menderita sakit batu karang sejak beberapa tahun lalu datang untuk mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Manarah. Alhamdulillah, setelah diberikan air penawar yang dibacakan nama Allah SWT, penyakit yang dihadapinya itu sembuh.

“Pesakit itu pada mulanya tidak percaya, tetapi setelah melakukan pemeriksaan doktor, terbukti penyakit batu karang yang dihadapi disahkan telah tiada,” katanya
 http://epondok.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...