Ahad, 14 September 2014

Apakah Kesan Ambil Ubat Tahan Sakit

Apakah Kesan Ambil Ubat Tahan SakitUbat tahan sakit juga dikenali sebagai analgesik. Secara umumnya ada dua jenis analgesik iaitu narkotik seperti kodein dan morfin, manakala ubat bukan narkotik seperti paracetamol dan ubat antiradang bukan steroid (NSAID).
ubat tahan sakit width="300" height="250" 
  Ubat analgesik boleh didapati dalam pelbagai formulasi seperti tablet, sirup, suntikan, salap, jel dan tampalan. Pemilihan analgesik bergantung kepada tahap kesakitan, umur, status kesihatan dan cara kehidupan pesakit. 
 
  
Paracetamol dan sesetengah NSAID dikategorikan sebagai kumpulan C dan boleh didapati di kaunter farmasi tanpa preskripsi, manakala analgesik selain dari kumpulan itu boleh didapati hanya dengan preskripsi doktor. 

Paracetamol seperti Panadol dan Uphamol adalah analgesik paling popular dalam kalangan umum. Selain sebagai ubat tahan sakit, ia boleh digunakan untuk merawat demam.
Pelbagai jenis ubat tahan sakit ada di pasaran. Walaupun paracetamol dianggap ubat yang selamat digunakan, ia boleh meningkatkan risiko kerosakan hati jika diguna dalam jangka panjang dan dapat dikenal pasti melalui gejala seperti mata dan kulit kekuningan, kerap merasa loya dan muntah, sakit perut, urin berwarna gelap dan kepenatan melampau.
NSAID pula biasa digunakan dalam rawatan keradangan akibat terseliuh dan sakit sendi (arthritis), kesakitan ketika haid dan merawat demam. Contoh ubat NSAID ialah mefenamic acid, ibuprofen, aspirin dan diclofenac. 

Kesan jangka panjang pe­ngambilan ubat NSAID termasuk peningkatan risiko kerosakan buah pinggang, pendarahan, terutama jika diambil bersama ubat cair darah warfarin dan ulser perut. 

Antara cara mengurangkan kesan jangka panjang ubat-­ubatan analgesik ialah seperti berikut: 

• Mengambil analgesik pada masa betul dan dengan dos betul. 

• Tidak mengambil analgesik secara berterusan tanpa nasihat doktor. 

• Mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil ubat-ubatan lain bersama analgesik kerana sesetengah analgesik boleh berinteraksi de­ngan ubat-ubatan yang diambil. 

• Tidak mengambil NSAID bersama alkohol kerana dapat meningkatkan risiko ulser perut. Paracetamol juga boleh meningkatkan risiko kerosakan hati jika diambil oleh pengguna alkohol kronik. 

• Mengambil ubat-ubatan analgesik selepas makan untuk mengurangkan risiko ulser perut. 

• Digalak menggunakan analgesik dalam bentuk salap kerana kurang memberi kesan sampingan berbanding analgesik dalam bentuk oral. 

Selain analgesik, kesakitan boleh dirawat dengan cara lain seperti rawatan komplimentari dan rawatan psikologikal. Rawatan komplimentari termasuk fisioterapi, akupuntur, urut dan pemampatan ais (ice compress), manakala rawatan psikologikal membabitkan kaunseling, sokongan dan galakan rakan. 

Jika masih keliru atau ada pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre - NPCC) di talian 1800 88 6722. Pegawai Farmasi bertugas akan menjawab pertanyaan anda. 

Disediakan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan
ping merah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...